ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Peserta program dan individu penting di sebalik pelaksanaan program Pengurangan Berat Badan di Kalangan Murid Sekolah.
KUALA BERANG - "Selepas ini saya tak mahu lagi dipanggil gemuk, saya sedih apabila digelar begitu sedangkan tak pernah minta saiz badan besar begini," kata Mohamad Khairul Irfan Kamal Ariffin, 12.
Mohamad Khairul Irfan ialah salah seorang murid dari SK Seri Berang yang terpilih menjadi peserta di bawah program Pengurangan Berat Badan di Kalangan Murid Sekolah-Say No To Obese dikelolakan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (KK) Kuala Berang.
Program yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu itu melibatkan seramai 47 murid dari tiga sekolah, iaitu SK Pasir Nering (11 orang), SK Bukit Gemuruh (13 orang) dan SK Seri Berang (23 orang).
Menurut Mohamad Khairul Irfan, dengan berat badannya 75 kilogram (kg) dia bukan sahaja cepat letih, tetapi begitu sedih apabila saiz badannya sering dijadikan bahan ejekan sehingga dia berasa kurang yakin pada diri sendiri.
"Badan saya besar sejak dulu dan saya memang tahu dengan umur serta ketinggian sekarang, ia tak sesuai. Melalui program ini, semua peserta akan melalui pelbagai aktiviti selepas ini termasuk melibatkan aktiviti fizikal.
"Harapan saya biarlah dapat turunkan berat badan. Bukan saja supaya tiada lagi orang yang ejek, tapi juga untuk kesihatan kerana saya tahu apabila kita lebih berat badan, penyakit akan mudah datang," katanya.
Terdahulu, perasmian program itu disempurnakan Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Dr Noriah Mahmud dan turut dihadiri Pengerusi Panel KK Kuala Berang, Amran Ahmad serta ibu bapa peserta terlibat.
Sementara itu, Amran berkata, program melibatkan peserta berusia 10 hingga 12 tahun itu bertujuan mencegah dan sebagai intervensi awal penyakit kronik pada usia muda serta mengesan masalah obes dalam kalangan murid sekolah.
"Program ini akan berlangsung sehingga September depan dengan melibatkan pelbagai aktiviti telah dirangka khusus seperti sukaneka, pendakian, ceramah menu sihat atau kaunseling makanan serta cara pemilihan makanan.
"Pemantauan terhadap peserta juga akan dilakukan dari semasa ke semasa. Melalui program ini kita ingin melihat setiap peserta mengalami penurunan berat badan sekurang-kurangnya lima peratus daripada berat badan mereka sekarang," katanya.
Tambah beliau, kerjasama daripada ibu bapa juga amat diperlukan khususnya bagi memantau cara pemakanan anak mereka di rumah.