izack1981
Legendary Member

- Messages
- 10,374
Paid Membership
- Joined
- Feb 15, 2007
- Messages
- 10,374
- Reaction score
- 61
- Points
- 120
Anggota forensik memeriksa mayat S. Lecheme yang dibunuh di Taman Seri Andalas, Klang, semalam.
KLANG 11 Jun - Seorang wanita maut selepas ditetak dan ditikam bertubi-tubi oleh suaminya dengan pisau dapur selepas berselisih faham di rumah mereka di Taman Seri Andalas di sini hari ini.
Sebelum ditikam kira-kira pukul 9 pagi, mangsa, S. Lecheme, 47, dikatakan dikejar oleh suaminya yang berusia 54 tahun sehingga ke lorong belakang rumah mereka sebelum mangsa diseret tanpa belas kasihan.
Dua anak perempuan Lecheme berusia 14 tahun dan 23 tahun yang cuba membantu ibu mereka turut cedera akibat terkena libasan pisau bapa mereka yang dikatakan mengalami gangguan mental.
Selepas menyedari Lecheme tidak bernyawa, suspek bergegas meninggalkan tempat kejadian bersama tiga anaknya yang berusia 10 tahun, 11 tahun dan 13 tahun dengan menaiki kereta jenis Proton Tiara bernombor pendaftaran WGT 8569.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pihaknya yang tiba di tempat kejadian menemui mayat mangsa terbaring di lorong belakang yang terletak kira-kira 20 meter dari pintu belakang rumahnya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah disebabkan tikaman dan tetakan pada leher, perut, dada, belakang badan dan tangan.
Menurut beliau, polis yang menjalankan gerakan memburu suspek berjaya memberkasnya di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa kira-kira pukul 3.55 petang ini.
''Ketika diberkas, suspek sedang memandu kereta seorang diri selepas menghantar tiga anaknya ke rumah seorang rakan di Taman Sentosa.
''Kita kini sedang menyiasat motif kejadian kerana berdasarkan maklumat daripada penduduk sekitar kawasan rumahnya, suspek dan mangsa kerap bergaduh dan tidak suka bercampur dengan jiran,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Mohamad memberitahu, mangsa adalah isteri pertama suspek sementara isteri keduanya telah meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu dan hasil dua perkahwinan itu suspek dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 10 hingga 23 tahun.
Difahamkan, isteri kedua suspek meninggal dunia selepas menggantung diri ekoran masalah keluarga.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Nurfateha Abdul Hamid, 19, memberitahu, beliau terkejut apabila terdengar jeritan dan nampak kelibat seorang lelaki mengejar seorang perempuan kurus dengan pisau, disusuli dua lagi perempuan di belakangnya.
''Apabila saya tengok luar tingkap dapur, saya nampak lelaki yang merupakan jiran saya itu mengheret isterinya melalui lorong belakang rumah saya sambil dua anak perempuannya menangis.
''Kemudian saya lihat, lelaki itu menikam leher isterinya lebih tiga kali dengan pisau panjang sebelum dia masuk ke dalam rumah dan membawa lari tiga anak berusia 10 tahun, 11 tahun dan 13 tahun,'' katanya.
Menurut pelajar Kolej Segi itu lagi, dia dan tiga lagi adiknya hanya memerhatikan dari tingkap kejadian yang berlangsung kira-kira lima minit itu dan keluar sebaik sahaja suami mangsa melarikan diri.
''Saya pergi lihat keadaan makcik Lecheme dan nampak tiga lubang di lehernya sementara baju dan seluarnya berlumuran darah. Dua anaknya hanya menangis dan memberitahu saya, ibunya sudah mati,'' ceritanya lagi.