afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
STAR dilihat masih timbang kerjasama dengan Warisan, KDM, kata penganalisis
Presiden STAR Jeffrey Kitingan memberitahu ahlinya pada satu majlis bahawa tiada perbincangan rasmi dengan Warisan atau KDM berhubung sebarang kerjasama atau pakatan politik. (Gambar Bernama)
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata penjelasan Presiden STAR Jeffrey Kitingan mungkin merupakan usaha sengaja untuk mengawal naratif politik sambil mengekalkan ruang untuk bergerak secara taktikal sehingga gambaran mengenai kemungkinan pilihan raya umum dan pembahagian kerusi menjadi lebih jelas.
Katanya, keadaan itu masih membuka ruang kepada pembentukan ‘blok tempatan Sabah’ yang melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, malah kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
Lee berkata STAR juga mungkin sedang menilai kekuatan jentera akar umbinya sebelum memutuskan untuk menyertai mana-mana pakatan.
“Saya percaya STAR juga kini sedang meninjau sokongan akar umbinya di seluruh kawasan pedalaman Kadazan Dusun Murut untuk mengukur di mana jentera mereka mampu bergerak sendiri dan di mana mereka benar-benar memerlukan sokongan rakan kerjasama,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, penganalisis Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata STAR mungkin sedang menilai sejauh mana slogan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’ serta kekuatan akar umbinya mampu diterjemahkan kepada kemenangan kerusi Parlimen sebelum memasuki rundingan pembahagian kerusi.
“Semakin kuat STAR dilihat mampu berdiri sendiri, semakin tinggi nilai rundingannya dari segi kerusi, calon, agenda MA63 dan kedudukannya dalam gabungan.
“Memasuki pakatan terlalu awal boleh menyebabkan STAR dilihat sebagai rakan junior kepada Warisan,” katanya.
Kitingan sebelum ini memberitahu anggota parti pada sambutan ulang tahun ke-10 STAR bahawa tiada perbincangan rasmi dengan Warisan atau KDM berhubung sebarang kerjasama atau pakatan politik.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata keutamaan STAR adalah memperkukuhkan parti terlebih dahulu, sambil memberi amaran supaya tidak menyertai gabungan sehingga menjadi liabiliti atau bergantung kepada kekuatan parti lain.
STAR diasaskan Kitingan pada 2016 selepas beliau keluar daripada Parti Reformasi Negeri cawangan Sabah dan ssejak itu parti berkenaan telah menyertai beberapa pakatan politik.
Parti itu terbaharu meninggalkan GRS pada 2025, sebelum PRN pada November. STAR akhirnya memenangi dua kerusi dan kemudian menyokong kerajaan negeri pimpinan GRS.
Awang Azman berkata kerjasama dengan Warisan dan KDM boleh memberi manfaat kepada STAR dengan mengurangkan persaingan antara parti tempatan serta mengelakkan perpecahan undi.
“Ia boleh membentuk blok Sabah yang lebih kuat dalam persaingan merebut 25 kerusi Parlimen di negeri itu,” katanya.
Bagaimanapun, STAR berdepan risiko dibayangi Warisan, selain kehilangan kebebasan untuk berunding dengan blok lain serta terpaksa berkompromi dalam soal pembahagian kerusi dan kepimpinan.
Bagi Lee, kerjasama dengan Warisan juga perlu mengatasi persaingan politik yang telah lama wujud antara Kitingan dan Presiden Warisan Shafie Apdal.
Selepas PRU 2018, BN dan Warisan Plus pimpinan Shafie masing-masing memegang 29 kerusi, manakala STAR memenangi dua kerusi. Sebagai penentu pembentukan kerajaan, STAR menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri dan bukannya Shafie.
Bagaimanapun, tindakan enam Adun BN keluar parti membolehkan Shafie dilantik sebagai ketua menteri.
Dalam PRN mengejut 2020, STAR yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), menyertai BN di bawah GRS untuk bertanding menentang Warisan dan Pakatan Harapan (PH).
Lee berkata episod berkenaan telah mengukuhkan lagi jurang antara kedua-dua pemimpin.
“Sebarang inisiatif baharu nampaknya perlu mengatasi rasa sangsi yang telah berakar umbi di peringkat kepimpinan dan akar umbi,” katanya.
Lee berkata sebarang kerjasama berpotensi turut perlu menyelesaikan persoalan mengenai kepimpinan.
“Siapa yang akan dilantik sebagai ketua menteri atau ketua Parlimen? Adakah mereka mahu memperkenalkan semula sistem penggiliran ketua menteri?” soalnya.
“Memandangkan kedua-dua pemimpin mempunyai pengikut peribadi yang kuat, perkara asas ini perlu dipersetujui dalam kerjasama yang bakal diwujudkan,” katanya.