ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MURIDDAN ELIAS
MUAR 19 Mei - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri menyasarkan peningkatan pendapatan sebanyak enam peratus pada tahun ini untuk 1,119 koperasi yang berdaftar di bawah suruhanjaya itu.
Pengarah SKM negeri, Muriddan Elias berkata, semua koperasi tersebut yang mempunyai 267,000 ahli diyakini mampu mengatasi pencapaian tahun lalu yang mencatatkan pendapatan RM543 juta kerana pelbagai aktiviti baharu akan dijalankan tahun ini.
“Kita akan dorong mereka melakukan aktiviti bernilai tinggi contohnya penternakan ayam, pembangunan hartanah dan kegiatan pelancongan termasuk pembukaan hotel bajet.
“Antara tumpuan tahun ini ialah projek di tanah seluas 25.2 hektar di Bandar Penawar yang dikurniakan kerajaan negeri menerusi kerjasama koperasi dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora),” katanya dalam sidang akbar selepas program Jom Jelajah Koperasi Johor 2015 di Homestay Parit Bugis, dekat sini semalam.
Menurut Muriddan, SKM negeri ketika ini mempunyai aset bernilai RM781.5 juta dan koperasi yang berdaftar itu menjalankan perniagaan hotel bajet, pengurusan resort, restoran, agensi pelancongan dan inap desa.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada 23 inap desa seluruh negeri yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan untuk menubuhkan koperasi kerana ketika ini hanya dua daripadanya berbuat demikian.
“Apabila koperasi inap desa ini ditubuhkan, kita akan bantu mereka. Contohnya koperasi yang berdaya maju kita bantu mengembangkan produk mereka menerusi Pinjaman Tabung Modal Pusingan SKM dengan kadar faedah tahunan yang rendah.
“Pinjaman tidak melebihi RM4 juta kadar faedahnya dua hingga empat peratus setahun manakala yang lebih RM4 juta kadarnya empat hingga enam peratus setahun. Hanya koperasi yang layak selain memenuhi syarat akan diluluskan pinjaman,” ujarnya.
Antara syaratnya kata Muriddan, koperasi terbabit sudah berdaftar kira-kira 18 bulan dan dikawal selia SKM dengan pengurusan perakaunan teratur selain akaun dan penyata kewangan semasa sudah diaudit.