PETALING JAYA: Audit kerajaan mendedahkan bahawa Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menganugerahkan kontrak katering tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendapati syarikat itu, yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender untuk membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027.
Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian dengan status Dapur Utama yang telah mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.
Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal, disebabkan ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP)
Menurut jawatankuasa, syarikat itu juga gagal dalam penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman serta tidak mempunyai bilangan pramusaji dan troli makanan yang mencukupi untuk pesakit.