Iskandar Zulkarnain A.S
NAMANYA disebut dalam al-Quran pada baris-baris surah al-Khaf, tetapi Allah SWT sekadar memperkenalkan nama serta secebis pengalamannya dalam menempuh episod panjang kehidupan di dunia ini.
Lalu, keseluruhan sejarah hidup lelaki itu terus kekal misteri dan menjadi tanda tanya di kalangan ilmuwan dan umat Islam umumnya. Ia sekali gus mendorong kajian profil dan penyelidikan arkeologi dijalankan terus-menerus untuk menyingkap rahsia siapa lelaki itu sebenarnya.
Pastinya beliau seorang tokoh agung kerana Allah memilih untuk menceritakan pengalamannya dalam kitab suci. Jasa dan tanggungjawab lelaki itu besar sekali kepada umat manusia.
Peranan dan tugasnya di dunia ini tidak mampu atau tidak sanggup dilakukan mana-mana manusia biasa lantaran ia suatu peristiwa besar dan teramat penting dalam rahsia perjalanan hidup manusia di dunia ini.
Allah menceritakan kisah lelaki itu seperti firman-Nya dalam surah itu: Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh
suatu jalan.
Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka. Berkata Zulkarnain: Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya (ayat 83 hingga 87)
Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu, (ayat 89
dan 90).
Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu
orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?.
Zulkarnain berkata: Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi.
Hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu.
Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak bisa (pula) melubanginya. Zulkarnain berkata: Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar (ayat 92 hingga 98).
Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila
dunia terlalu hampir dengan kiamat.
Masih menjadi misteri yang tidak putus-putus diperbincangkan.
Dalam cubaan merungkai persoalan mengenai identiti Zulkarnain, ilmuwan cuba merujuk silang kisah al-Quran mengenai lelaki itu dengan tokoh pemerintah lampau yang diketahui menerusi penemuan arkeologi.
Sehingga kini terdapat tiga tokoh sejarah lampau yang dikaitkan sebagai Zulkarnain seperti disebut al-Quran,
tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan mana-mana daripada tiga tokoh berkenaan sebagai Zulkarnain ,seperti disebut al-Quran adalah tokoh yang tersendiri.
Apa yang kita perlu tahu adalah Zulkarnain seperti disebut dalam al-Quran adalah seorang pemerintah yang berperibadi mulia; beliau adil, beriman kepada Tuhan yang satu (Allah SWT), pembebas kezaliman dan menegak keadilan serta seorang pemerintah yang agung.