- Ringgit diniagakan hampir mendatar terhadap dolar AS pagi ini pada 4.4250/4315 berikutan sentimen berhati-hati pelabur terhadap prospek ekonomi semasa dan laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan keluar malam ini.
- Rizab Persekutuan AS dijangka menjadi tumpuan dengan unjuran dasar monetari 2025 manakala pasaran meramalkan penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas telah diambil kira.
- Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain, termasuk rendah terhadap pound dan euro, tetapi mengukuh berbanding yen Jepun.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4250/4315 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4300 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang tempatan dijangka terus diniagakan berhati-hati menjelang laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan malam ini.
Beliau berkata pada masa yang sama, tumpuan akan tertumpu kepada Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk melihat sama ada ia akan meneruskan pelonggaran dasar monetarinya pada tahun depan mengambil kira Trump 2.0.
“Unjuran suku tahun mereka akan menunjukkan sama ada mereka berhasrat untuk menyemak semula perancangan mereka bagi 2025. Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu depan adalah mengenai hala tuju dasar monetari pada 2025 manakala penurunan 25 mata asas telah diambil kira," katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Mohd Afzanizam menjangka MYR/USD akan terus turun naik antara RM4.42 dan RM4.43 hari ini.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia rendah berbanding pound kepada 5.6547/6630 daripada 5.6432/6496 pada Selasa dan merosot berbanding euro kepada 4.6600/6668 daripada 4.6595/6648 semalam, bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9143/9187 daripada 2.9189/9224 sebelum ini.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia diniagakan hampir mendatar berbanding dolar Singapura kepada 3.2988/3041 daripada 3.2988/3028 semalam dan menunjukkan prestasi yang sama berbanding rupiah Indonesia kepada 278.7/279.3 daripada 278.7/279.2 pada Selasa.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1189/1487 daripada 13.1006/1236 semalam.
BERNAMA
