Kesesakan CAC bukan gambaran sebenar - Dr Adham
KUALA LUMPUR: Kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Selangor seperti tular baru-baru ini, bukan menggambarkan situasi sebenar dialami di lokasi berkenaan setiap hari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebaliknya situasi itu berlaku pada waktu tertentu, terutama apabila pusat terbabit menerima kehadiran pesakit yang dihantar pihak pengurusan beberapa sektor secara serentak.
"Kita mampu mengambil semua mereka ini dengan urusan yang teratur dan memastikan bahawa ia berjalan secara tersusun selain mengikut protokol kesihatan awam.
"Jadi kalau mereka datang beramai-ramai, itu disebabkan ada beberapa sektor pembuatan menghantar pekerja mereka dengan bas, secara serentak.
"Pada hari biasa, memang tiada sebarang masalah dan tak berlaku kesesakan seperti ditularkan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Dr Adham berkata, perkara sama turut berlaku di CAC Taman Sri Andalas kerana kehadiran ramai individu yang berisiko dan mahu membuat penilaian.
Jelasnya, petugas kesihatan berusaha membantu sebaik mungkin memberikan perkhidmatan dan pengasingan untuk memastikan sama ada mereka perlu menjalani kuarantin di hospital atau di rumah.
Ditanya berhubung gesaan pihak tertentu supaya kerajaan membuka lebih banyak CAC kecil, Dr Adham berkata, Selangor sudah memiliki sebanyak 35 CAC setakat ini dengan yang terbesar adalah di Stadium Malawati.
"Kita sentiasa menambah baik kemudahan sedia ada untuk memastikan setiap individu yang hadir diberi perkhidmatan sempurna.
"Jadi kita ingin memaklumkan kepada penduduk berkaitan, datanglah ke CAC berhampiran mereka bukan hanya bertumpu di dua itu sahaja (Stadium Melawati dan Taman Sri Andalas) kerana kita memiliki 35 CAC di Selangor," katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video kononnya ratusan individu beratur dan bersesak sementara menunggu untuk dinilai di CAC Stadium Malawati, Shah Alam.
Manakala satu video yang dikongsi penduduk di Taman Sri Andalas memaparkan, kawasan taman perumahan itu sesak dengan kenderaan pesakit yang ingin ke CAC berkenaan.
Penduduk yang merakam video berkenaan juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) membuka CAC di kawasan berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi, Dr Adham berkata perkara itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.
"Sebelum ini saya sudah mengeluarkan kenyataan. Jadi kena tunggu. Kita akan memaklumkannya nanti," katanya.