BTC USD 86,243.0 Gold USD 4,173.62
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sejarah Terkait Khurasan

TokCu

Legendary Member
gem
Messages
11,155
Joined
Jul 25, 2011
Messages
11,155
Reaction score
542
Points
161
untitledkhurasan_zps222ca45e.jpg


Tok Khurasan

KOTA BHARU, Ibu Negeri Cik Siti Wan Kembang sekitar awal abad 20 yang lalu, mencatat sejarah gemilang sebagai pusat pengajian hadits yang ulung, bukan sahaja di Kelantan Darul Naim, tetapi juga di seluruh Asia Pasifik ini.

Tidak pernah terfikir samada pemimpin politik mahupun rakyat biasa, negeri Kelantan bertuah menerima kehadhiran seorang muhaddits besar dari Khurasan, sebuah negeri kecil di bawah kerajaan Republik Islam Iran yang seuatu ketika dahulu melahirkan ribuan pengembara hadits dan ulamak dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Muhaddits ini, sekitar tahun 1911 dan 1912 Masehi tiba-tiba tergerak hatinya untuk merantau ke Kelantan dan berdagang mencari rezeki yang halal. Ia memilih kampung Sireh, sebuah desa yang terletak di pinggir sungai Kelantan, pada mulanya sebagai tempat berteduh, tetapi akhirnya berkembang menjadi sebuah halaqah hadits yang bergema padanya istilah-istilah hadith seperti "Haddatsana" atau "Akhbarana". Halaqah ini kemudiannya makin makmur apabila di kunjungi ratusan ulamak dari seluruh negeri yang cintakan ilmu dari sumbernya yang asli dan jernih. Nama-nama kitab seperti "Misykaatul Mashoobih" karya Imam Waliyuddin Attabriizi (wafat 737H), "Assunanun Sittah" dan sumber-sumber bacaan yang lebih terautoriti tidak kerap diperdengarkan dalam mana-mana halaqah yang pernah diadakan sebelum ini, kerana kitab-kitab yang sering ditatap, ditadah dan ditela'ah adalah berkisar sekitar kitab-kitab karangan ulamak mutaakhirin (kebelakangan) dan ulamak Nusantara (dalam bahasa melayu). Manakala kitab-kitab karangan ulamak mutaqaddimin (yang dahulu) terbatas sekali penggunaannya.

Nama penuh tokoh ini ialah Sayyid Hasan bin Sayyid Noor Hasan Al-Khurasaani, dilahirkan di Pakistan pada tahun 1875M, dan meninggal dunia di Kelantan pada tahun 1944M. Pangggilan ringkas ialah Tok Khurasan atau disebut Maulana sahaja. Beliau mendapat pendidikan awal dan lanjutan di Diuband India, sebuah pusat pengajian hadits yang ulung dari aliran Hanafi, satu aliran yang lebar pengaruhnya di benua kecil India. Pengasas pusat pengajian ini ialah Maulana Muhammad Qasim Annaanuutuwi (1831M -1879M) bersama-sama murid kanannya Mahmud Al-Hasan yang akhirnya dikenali dengan jolokan Syeikh Al-Hindi (1851M-1920M). Jalan sanad dan salsilah hadith bersambung kepada Imam Al-Mujaddid Syah Waliyyullah Addahlawi(1703-1763M) melalui Syah Abdul Ghani Al-Mujaddidi (meninggal 1227H). Tok Khurasan merupakan salah seorang murid kepada Syeikh Al-Hindi ketika di pusat pengajian itu dan seperguruan Maulana Ubaidillah Assanadi(1870-1943M) yang pernah diburu penjajah Inggeris dan juga guru kepada Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Wan Musa (1900-1935M), seorang ahli hadits dan ulamak besar dari Kelantan.

Sumber-sumber riwayat menyebutkan Tok Khurasan pada mulanya dikenali sebagai seorang peniaga kain dalam sebuah syarikat yang di urusnya besar bersama kawan-kawannya, termasuk sepupunya yang juga berasal dari Khurasan. Pasaran perniagaan meluas hingga keseluruh negeri Kelantan (lihat Ismail Cik Daud, Maulana Tok Khurasan, Pengasuh bilangan 489). Tidak ramai pelanggannya yang mengetahui siapa sebenarnya penjual kain dari keturunan Khurasan itu, walaupun pengurusan dan hubungannya dengan pelanggan berbeza dengan penjual-penjual kain yang lain. Keilmuannya tentang hadits Rasulullah S.A.W dan urusan jual beli yang berpandukan jual beli secara Islam, mungkin antara faktor yang menarik lebih ramai pelanggan yang datang ke kedainya. Antara mereka yang sering berkunjung ialah Haji Nik Wan Musa bin Ab. Samad, mufti kerajaan Kelantan yang juga seorang ulamak besar dan ahli sufi yang disegani dari Tarikat Ahmadiyyah. Hubungan antara Haji Nik Wan Musa dengan Tok Khurasan menjadi lebih erat apabila mereka dipertemukan atas landasan Al-Qur'an dan As-sunnah. Haji Wan Musa mengkagumi kebolehan dan keilmuan Tok Khurasan dalam hadits hingga akhirnya beliau datang dengan beberapa orang sahabatnya seperti Haji Yaakub bin Haji Ahmad, Haji As'ad Hj Daud, Haji Nik Mat Alim dan lain-lain untuk hadhir menadah kitab-kitab hadits yang belum ada pengajian seumpamanya di Kelantan sebelum itu.

Pengajian Islam di Kelantan sebelum kehadhiran Tok Khurasan sudah lama wujud dan beropersai dengan baik, tetapi sayangnya pengajian itu tertumpu kepada ilmu-ilmu Nahu Arab, Feqah dan Tasawuf, manakala Ilmu Hadits yang meliputi kajian sanad dan matan, penyelidikan tentang shohih dan dhaif, layak dan tidak layak dijadikan dalil sekali dipelajari. Untuk melihat betapa melesetnya pengajian hadits di Kelantan dalam tempoh ini, sila perhatikan kitab-kitab seperti Manjatul Qariibul Mujiib, karangan Tuan Tabal atau nama sebenarnya Ab. Samad bin Muhammad Saleh (1840-1891M) dan Jauharul Mauhuub karangan Hj Wan Ali Kutan bin Wan Ab. Rahman Kutan (1912M). Kandungan kitab-kitab ini menunujukkan nasib pengajian hadits begitu malang jika dibandingkan dengan nasib pengajian Tarikat dan Tasawuf yang bercampur aduk dengan tiori-tiori falsafah. Jika tidak kerana keterbatasan ruangan, penulis akan memetik beberapa perenggan daripada kitab-kitab itu, sekadar membuktikan betapa pengajian hadits yang betul jauh terpinggir dalam tulisan-tulisan mereka. Pada penilaian penulisan, kandungan dua buah kitab di atas tidak mencerminkan kesegaran pengajian hadits ddalam penyelidikan dua orang ulamak besar dari Kalantan itu.

Perubahan dalam masyarakat Islam di negeri Kelantan dan peningkatan tahap pencapaian ilmu serta kematangan berfikir dikalangan ulamak selepas zaman Tok Khurasan begitu ketara, apabila ulamak rata-rata mencari penyelesaian hukum melalui hadits. Mereka juga mula mempersoalkan nilai-nilai hadits yang dijadikan dalil atau hujjah, samada shohih atau dhoif, malah kelahiran kaum-kaum tua dan muda di Kelantan dalam dekad 30an yang lalu, adalah hasil kesedaran ilmiah yang dicetus pada mulanya dalam halaqah hadits yang dibimbamg oleh Tok Khurasan dan kemudiannya tersebar melalui murid-muridnya seperti Haji As,ad Kangkong, Haji Yaakub Gajah Mati, Haji Nik Mat Alim, Haji Abdullah bin Haji Nik Wan Musa dan lain-lain. Antara tajuk yang sering dipolimikkan ini, walaupun kelihatan remeh, tetapi hakikatnya menunjukkan suatu kesedaran telah bermula kearah kebebesan berfikir serta menjadi keputusan hukum syariat daripada mata airnya yang jernih, iaitu Al-Qur'an dan Assunatun Nabawiyyah.
 
untitledkhorasan_zpsa8833c59.jpg


Wilayah Khurasan

Wilayah Khurasan yang dimaksudkan meliputi kawasan Kabul, Afghanistan, Uzbekistan, sebahagian kecil Iran, sebahagian kecil Pakistan, memanjang ke Barat China meliputi wilayah Xinjiang sampai ke Yunnan. Khurasan Raya merupakan wilayah sangat luas membentang meliputi; kota Nishapur dan Tus (Iran); Herat, Balkh, Kabul dan Ghazni (Afghanistan); Merv dan Sanjan (Turkmenistan), Samarkand dan Bukhara (Uzbekistan); Khujand dan Panjakent (Tajikistan); Balochistan (Pakistan, Afghanistan, Iran). Islam mulai masuk dan berkembang di wilayah ini di zaman khalifahan Umar bin Khattab r.a..

Dari Saidina Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda; ‘’(Pasukan yang membawa) bendera hitam akan muncul dari Khurasan. Tak ada kekuatan yang mampu menahan laju mereka dan mereka akhirnya akan mencapai Yerusalem, di tempat itulah mereka akan mengibarkan benderanya.’’ (al-:Tirmidzi).
i. Kabul, Afghanistan.

Kabul merupakan pangkal Khurasan. Ketika ini perang saudara sedang berlaku di antara puak-puak mujahidin yang saling bertentangan. Puak syiah yang disokong Iran dan wahabi sokongan Arab Saudi sedang berentap bermati-matian.

Mereka telah berjuang lama untuk membebaskan Afghanistan dari penjajah Komunis Rusia, dan mereka berjaya mengusir komunis. Malangnya mereka terus berperang sesama sendiri. Kini Afghanistan dikuasai oleh Taliban.
Di celah-celah berkecamuknya perang saudara itulah bakal munculnya golongan Asoib sepertimana yang dinyatakan oleh hadis. Golongan ini tidak terlibat dalam krisis tetapi memendam kekuatan. Untuk mereka ada tugas besar mengibarkan panji-panji hitam yang dijadualkan. Mereka inilah yang akan mudah menerima orang Timur.

ii. Pakistan
Hanya sebahagian kecil sahaja yang termasuk di dalam peta Khurasan, iaitu wilayah-wilayah yang dekat dengan Kota Islamabad.

iii. Yunnan
Yunnan adalah salah sebuah wilayah di China yang penduduknya banyak menganut Islam selain Xinjiang, Gansu, Ningxia dan Qinghai. Di Yunan terdapat sekitar 4 juta umat Islam. Malangnya Islam di sini begitu lemah hingga kebanyakan umatnya telah lupa syahadat dan lupa nama Islam mereka. Ini akibat kelalaian ulama mereka yang kemudian disambung dengan kedatangan Komunis. Walaupun demikian, jika dibanding dengan agama-agama lain, Islam masih hidup dan terus membara di China. Akar tunjang aqidah umat Islam tetap tidak tercabut. Islam terus bangkit setelah negeri China mengamalkan dasar terbuka. Kini masjid-masjid tumbuh mercup sedang kuil-kil tidak lagi dibina. Mereka masih inginkan Islam dan amat senang sekali menerima kedatangan orang Islam dari luar.

iv. Uzbekistan
Bekas jajahan kesatuan Soveit Union. Wilayah-wilayah utamanya ialah Samarkhand, Bukhara, Tirmez dan lain-lain. Ibukotanya Tashkent.
Selain pernah menjadi pusat ilmu pengetahuan Islam, ia berkembang sebagai pusat ilmu sains, matematik, optik, geografi, astronomi dan lain-lain lagi.

Di segi keIslaman, ilmu dan pengamalan muslimnya lebih baik dari muslim di Yunnan. Uzbekistan lebih mampu melahirkan kader-kader perjuangan Islam yang berpotensi dan berkualiti. Lebih-lebih lagi ia berhampiran dengan kawasan-kawasan umat Islam yang lain seperti Tajikistan, Kazakhstan, Turkmenistan dan Khirghiza. Kembalinya negara-negara ini kepada Islam secara total sangat dibimbangi oleh Barat.

Negara-negara ini punya kekuatan ekonomi, bahan mentah, tenaga manusia dan senjata. Tetapi kekuatan yang lebih digeruni oleh Barat ialah Islam.Negara “Ma waraa unnahar”-negeri di sebalik sungai ini kini sedang marak pengamalan Islamnya.

Keadaan yang tidak bergolak dengan peperangan memudahkan lagi Islam diamalkan setelah lama berada di bawah Komunis. Di bumi inilah panji-panji hitam akan diterima, dan di sini juga terdapat figure yang dikenali sebagai Al Haris Harras yang tersebut di dalam hadis.

Berdasarkan hadis, kebangkitan Islam di akhir zaman umpama satu badan. Timur adalah nadinya, sementara Khurasan adalah tulang belakangnya. Timur adalah pemimpin, pencetus dan pendorong kepada kemaraan ini, sedangkan Khurasan adalah penyokong dan pembantu utama kepada Timur. Kedua-duanya akan bergabung seperti bergabungnya nadi dan tulang belakang. Kemudian barulah tubuh Islam itu kuat dan lebih aktif bergerak. Ertinya, bila Islam di Timur dan Khurasan bersatu, Islam akan mendapat kekuatan baru seperti yang ditunggu-tunggu selama ini.

Penyatuan ini tepat seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW, sama ada dari segi masa, tokoh yang terlibat, cara dan bentuknya. Ini berita baik untuk Timur, untuk Khurasan dan untuk seluruh dunia amnya.

Bumi Khurasan ini telah pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Muslim, Imam Nasa’i, Imam Tirmidzi, Imam Nakha’i ,Ibnu Sina, Al Farabi, Al Biruni, Ibnu Rusyd, Ali syir dan Umar Khayyam, Sheikh Farid Al-Din Attar, Imam al-Ghazali, Syeikh Bahaudin al-Naqsyabandi, Al-Khazini dan ramai lagi.
 
Peranan keluarga Barmaki Dalam Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah.

Keluarga Barmak adalah berbangsa Parsi dan berasal dari Khurasan. Perkataan ‘Barmak’ berasal daripada nama datuk mereka, iaitu penjaga rumah berhala Majusi di Balk. Khalid bin Barmak memeluk Islam selepas Qutaibah bin Muslim menakluki Khurasan pada tahun 85 Hijrah. Keluarga Barmak mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka di Khurasan semenjak Qutaibah memimpin pasukan tentera di Khurasan.


Antara peranan yang dimainkan oleh keluarga Barmaki dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah ialah menghapuskan pengaruh puak-puak Syiah. Khalid bin Barmak telah dilantik sebagai Ketua Jabatan al-Kharaj dan Jabatan Hal Ehwal Ketenteraan oleh Khalifah al-Saffah (132-136H). Beliau merupakan orang Barmak dan berkhidmat sehingga Al-Saffah meninggal dunia. Khalid telah dilantik sebagai menteri (wazir) apabila Abu Salamah al-Khalali terbunuh kerana kecemerlangan dan kelebihannya dalam menjalankan tugas.


Khalid telah dilantik sebagai menteri ketika pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur (136-158H). Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Gabenor di Al-Ray (Tehran dan kawasan sekitarnya) kerana menteri-menteri lain berasa cemburu dan hasad dengki dengan beliau. Di samping itu, Khalid dan anaknya Yahya, juga telah berjaya mematahkan pemberontakan di Mausil, manakala anaknya dilantik sebagai gabenor di Azarbaijan.


Yahya bin Khalid telah dilantik sebagai wazir oleh Khalifah al-Mahdi (158-169H) dan menyerahkan anaknya Harun al-Rasyid untuk dipelihara. Yahya telah membesarkan Harun bersama anak-anaknya, malah ada riwayat mengatakan isteri Yahya telah menjadi ibu susuan Harun. Ketika al-Hadi (saudara Harun) ingin menyingkirkan Harun daripada jawatan Putera Mahkota, Yahya telah berperanan memberikan hak kepada Harun al-Rasyid sebagai khalifah.


Keluarga Barmaki juga telah melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah. Ini jelas dilihat semasa Harun al-Rasyid menjadi khalifah. Yahya bin Khalid telah dilantik sebagai Perdana Menteri dan pengurus Baitulmal. Bukan beliau sahaja, malah anak-anak beliau juga telah dilantik sebagai pegawai tinggi kerajaan kerana sifat Yahya yang bijak dan pintar. Al-Fadhl dan Jaafar (anak-anak Yahya) telah dilantik sebagai wazir selepas Yahya bersara.


Keluarga Barmaki juga memainkan peranan penting dalam pendidikan. Contohnya, Harun al-Rasyid telah dididik oleh Yahya bin Khalid semenjak kecil hingga menjadi khalifah. Yahya juga telah membangunkan Darul Hikmah.


Keluarga Barmaki juga telah mengukuhkan kewangan di Baitulmal. Khalid bin Barmak telah dilantik sebagai Ketua Jabatan al-Kharaj. Beliau telah mengukuhkan kedudukan ekonomi dan pendapatan Negara melalui pungutan cukai di daerah dan hasil kerajaan yang lain. Semasa Al-Fadhl menjadi gabenor di Khurasan, beliau telah memajukan infrastruktur Negara dengan membina masjid, rumah-rumah kebajikan dan jalan-jalan raya.


Kesimpulannya, jelaslah bahawa Keluarga Barmaki telah memainkan peranan yang penting dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah. Mereka telah memainkan peranan dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, dan kewangan negara.
 
Gabenor Yang Hodoh

Suatu masa, wilayah Khurasan pernah ditadbir oleh gabenor Yazid bin Muhallab. Dia seorang lelaki kacak dan cantik wajahnya. Selain mempunyai jasmani yang menarik, Yazid bin Muhallab juga seorang yang pintar dalam pentadbiran, sehingga rakyat sangat menyukainya dan suka mendengarkan pidatonya.

Akan tetapi, dia tidak begitu suka tinggal di Khurasan, maka dia pun dipindahkan ke tempat lain. Sebagai gantinya, kerajaan pusat mengangkat Qutaibah bin Muslim untuk menjadi gabenor Khurasan. Dia seorang lelaki yang agak hodoh dan kelihatan tidak begitu menarik.

Seorang penyair muda telah menggubah syair tentang gabenor Qutaibah ini yang bunyinya:

Semasa Yazid mentadbir Khurasan,
semua wajah kelihatan ceria.
pintu-pintu nikmat dan kemewahan terbuka luas.
Tapi kini, diganti oleh monyet di sekitarnya
berwajah hodoh dan menakutkan.

Apabila syair itu tersiar dan sampai kepada Qutaibah, gabenor baru ini sangat marah dan memerintahkan agar penggubahnya ditangkap. Akan tetapi si penyair segera melarikan diri dan menyembunyikan diri buat beberapa masa. Akhirnya dia tidak tahan bersembunyi lama dan nekad untuk pergi berjumpa dengan ibu Qutaibah dan meminta surat jaminan daripadanya.

Setelah mendapat surat itu, dia pergi ke istana gabenor dan menyerahkan surat tersebut. Qutaibah tidak dapat berbuat apa-apa setelah menerima surat dari ibunya. “Dengan wajah apa engkau datang berjumpa denganku?” Tanya Qutaibah.

“Dengan wajah yang kugunakan untuk berjumpa dengan Tuhanku, tapi Dia lebih banyak berbuat baik terhadapku daripada aku berbuat baik kepada-Nya. Dia tidak marah. Padahal kesalahanku kepadanya lebih banyak jika dibandingkan dengan kesalahanku kepadamu.”

Qutaibah tertawa dan suka mendengarkan alasan si penyair itu, maka dia pun dibebaskan.
 
Dusta vs Dusta


Amru bin Bahar al-Jahidz (lahir pada zaman pemerintahan khalifah al-Mahdi 159H dan wafat pada zaman pemerintahan khalifah al-Muhtadi Billah, 255H) telah menulis dalam kitabnya "Al-Bukhala' " mengenai seorang penyair yang kaki bodek. Ia telah mengarang sebuah syair memuji-muji Gabenor Khurasan dengan pujian yang melampau-lampau. Setelah selesai mendeklamasikan syairnya, Gabenor berkata, “sungguh, bagus sekali syairmu itu!”

Kemudian Gabenor berkata kepada keraninya, “berikan dia 10,000 dirham!” Gembiralah penyair bukan kepalang, terasa bagaikan terbang di awang-awangan. Melihat keadaannya yang begitu gembira, Gabenor berkata lagi, “sesungguhnya aku melihat bahawa kata-kataku tadi telah menggembirakan kamu begitu sekali. Maka aku tambah lagi jadi 20,000 dirham!”

Bertambah-tambahlah gembiranya si penyair tidak boleh digambarkan. Melihat kegembiraannya bertambah, Gabenor berkata lagi, “nampaknya kegembiraanmu bertambah dengan bertambahnya kata-kataku, maka berilah dia 40,000 dirham!” Gembiranya si penyair bagaikan mahu pengsan dibuatnya kerana terlalu gembira dengan kata-kata itu.

Kemudian kerani mengadap Gabenor seraya berkata, “Subhanallah! Penyair ini akan redha jika tuan berikan dia 40 dirham, tapi tuan perintahkan supaya diberikannya 40,000 dirham!” Jawab Gabenor: Wailak (celaka engkau)! Adakah kamu hendak memberinya sesuatu?

khurasan_zps51c93bc6.jpg

Kerani Bukankah perintah tuan mesti dilaksanakan?

Gabenor: Wahai si *****! Sesungguhnya lelaki(penyair) ini menyukakan hati kita dengan kata-katanya, maka kita sukakan hatinya dengan kata-kata juga. Lihat, ketika dia memuji aku dengan kata-katanya bahawa aku lebih elok daripada bulan, lebih gagah daripada singa, kata-kataku lebih tajam daripada pedang, perintahku lebih pantas dilaksanakan daripada mata panah, adakah dia letakkan semua itu di tanganku yang boleh aku bawa pulang ke rumahku? Bukankah kita semua tahu bahawa dia sebenarnya berdusta? Tetapi kita rasa gembira ketika dia berdusta kepada kita. Maka kita gembirakan dia dengan kata-kata juga.

Kita perintahkan dia diberikan hadiah walaupun hanya dusta. Maka jadilah dusta dengan dusta, kata-kata dengan kata-kata. Sekiranya dusta dengan benar, kata-kata dengan perbuatan, maka itu merupakan satu kerugian yang nyata!”
 
Sejarah Duka Masa Lalu

Khurasan, pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kerajaan Abasiyah di Baghdad. Namun, penduduknya menuntut untuk memerintah sendiri negeri mereka. Negeri tersebut di perintah oleh golongan pengikut mazhab Hanafi dan ditentang oleh golongan pengikut mazhab Syafie. Kewujudan dua golongan dalam negeri ini menimbulkan pepecahan dan hampir membawa kepada peperangan sesama sendiri. Akibatnya, salah seorang pengikut mazhab Hanafi telah tekad mengambil keputusan untuk meminta bantuan tentera Monggol bagi mengalahkan golongan penentang.

"Saya pengikut mazhab Hanafi. Kami mahu pengikut mazhab Syafie dihaspuskan dari Khurasan dan kami sedia membantu."

Setelah berbincang dengan ketua tentera Monggol, persetujuan berlaku antara Hulagu Khan dan Nasir Lidinillah selaku wakil dari golongan bermazhab Hanafi. Penaklukan terhadap Khurasan pun berlaku dengan mudah tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Hulagu Khan telah melantik Nasir Lidinillah sebagai pemerintah di negeri itu.

Dengan berlakunya penaklukan yang pantas terhadap wilayah Lurs, Hashasim dan Khurasan, ini menimbulkan perasaan gerun terhadap gabenor di wilayah Anadol dan Mosul. Impaknya, kedua-dua gabenor bagi wilayah ini telah menjalinkan persahabatan dengan Hulagu Khan dan rela menyerahkan wilayah mereka untuk berada di bawah jajahan takluk tentera Monggol asalkan mereka terus menjadi gabenor. Tanpa disedari, impak yang lebih besar telah dirasai oleh Hulagu Khan apabila lebih banyak bantuan yang mampu diperolehnya dalam usaha untuk menakluki Baghdad.

Lain pula kisahnya di Baghdad. Sedang wilayah-wilayah sekitar menghadapi gejolak penaklukan tentera Monggol, Baghdad pula sedang berdepan dengan krisis dalaman khususnya dalam pemerintahan. Sistem pemerintahan di Baghdad menggabungkan tiga bangsa iaitu bangsa Arab, Turki dan Parsi. Acap kali berlaku perselisihan pendapat antara menteri-menteri sebagai wakil bagi setiap bangsa ini dalam mesyuarat yang dijalankan bersama khalifah. Setiap wakil pasti mengeluarkan pendapat yang lebih berpihak kepada kepentingan bangsa masing-masing. Akibatnya, msyuarat yang dijalankan pasti akan berakhir dengan pertikaman lidah dan membawa kepada kecelaruan Khalifah al-Musta'shim Billah.

Keadaan semakin kecoh dengan kisah pembunuhan ketua tentera kerajaan Baghdad iaitu Hurnain. Hal ini dibawa dalam mesyuarat antara khalifah dan menteri-menteri. Kesudahannya adalah sama apabila percanggahan pendapat berlaku dalam usaha untuk melantik ketua tentera yang baru.

"Jawatan yang penting itu perlu diberikan kepada bangsa Arab daripada keturunan Rasulullah."

"Kami bangsa Turki juga layak memegang jawatan ketua tentera. Tambahan pula kami yang membantu menegakkan kerajaan Abasiyah semenjak dari dahulu."

"Kami bangsa Parsi juga layak bagi memegang jawatan yang penting itu."

Situasi ini telah mencetuskan perbalahan antara mereka dan membuatkan khalifah berada dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Akhirnya, mesyuarat tersebut terpaksa ditangguh. Keadaan khalifah yang lemah dalam mentadbir pemerintahan kerajaan membawa kepada lemahnya juga kerajaan Bani Abasiyah. Jika dahulu, wilayah pemerintahan kerajaan ini amat luas merangkumi Maroko, Syria, Iraq, Persia, Turki dan India. Namun kini, wilayah tersebut telah berpecah-pecah menjadi negeri kecil dan mengisytiharkan pemerintahan sendiri. Kerajaan Bani Abasiyah hanya berkuasa di kota Baghdad dan kawasan sekitarnya sahaja. Ini menjadi salah satu punca kemungkinan tumbangnya kerajaan ini.
 
Sejarah Pemindahan Teknologi Pembuatan Kertas


Antara kejayaan saintis Islam yang tebesar adalah memajukan penghasilan kertas. Ziyad ibn al-Saleh, gabenor Samarkand di Asia Tengah telah menghantar satu angkatan tentera ke negara China pada tahun 751M. Angkatan tenteranya berjaya menawan beberapa orang banduan yang mahir membuat kertas. Banduan-banduan itulah yang mengajar orang Islam membuat kertas.

Pada tahun 794M, al-Fadl bin Yahya al-Barmaki, gabenor Khurasan telah membentuk satu proses membuat kertas dan membina kilang kertas pertama. Perusahaan ini sampai ke Syria dan Mesir pada abad ke-9, Andalusia (Sepanyol) dalam abad ke-10 dan Afrika Utara pada abad ke-11. Contoh kertas yang dihasilkan masih lagi dapat dilihat di perpustakaan Sepanyol. terutama di Escorial.
 
forumer lain yang ada perkongsian tentang Wilayah Khurasan dijemput kongsi pengetahuan di sini.

Ramai yang tahu sebut Khurasan, tetapi sekadar mengaitkan dengan peristiwa akhir zaman
tanpa tahu sejarah dan di manakah yang dimaksudkan dengan Khurasan itu
 
Back
Top
Log in Register