BTC USD 86,443.8 Gold USD 4,331.11
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sejarah Awal Kedah

Menteri Besar Kedah mula dilantik sejak 1 Februari 1948 iaitu selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu. Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, jawatan Menteri Besar terus wujud iaitu perlantikan yang diperkenankan oleh Sultan Kedah. Lazimnya Menteri Besar dipilih oleh parti politik yang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah.

Daftar Menteri Besar Kedah
Haji Mohamad Sheriff Bin Osman 1948 - 1954 UMNO
YTM Tunku Ismail Bin Tunku Yahaya 1954 - 1959 UMNO
Tan Sri Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin 1959 - 1967 UMNO
Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin 1967 - 1978 UMNO
Dato' Seri Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin 1978 - 1985 UMNO
Tan Sri Haji Osman Bin Haji Aroff 1985 - 1996 UMNO
Tan Sri Sanusi Bin Junid 1996 - 1999 UMNO
Dato' Seri Haji Syed Razak Bin Syed Zain Barakhbah 1999 - 2005 UMNO
Dato' Haji Mahdzir Bin Khalid 2005 - 2008 UMNO
YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Bin Abdul Razak 2008 - sekarang PAS
 
64sh5r848t9jsh3w46x4.gif

Peta Daerah Dalam Negeri Kedah

Negeri Kedah atau juga dikenali sebagai Kedah Darul Aman merupakan salah satu daripada 14 negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia dan memiliki keluasan 9,425 km. Negeri Kedah juga dikenali sebagai "Negeri Jelapang Padi" kerana hasil pertanian dalam sektor padi.

Penduduk
Kebanyakan penduduk Kedah adalah orang Melayu, dan sedikit orang Cina dan India. Anggaran populasi mengikut kaum pada 2003 ialah: Melayu (1,336,352), Cina (252,987), India (122,911), Bukan warganegara (35,293), Lain-lain (27,532).

Negeri Kedah terbahagi kepada 11 daerah iaitu :-

* Baling
* Bandar Bahru
* Kota Setar
* Kuala Muda
* Kubang Pasu
* Kulim
* Langkawi
* Padang Terap
* Pendang
* Sik
* Yan

Bandar utama di Kedah adalah Alor Setar (ibu negeri), Kulim, Jitra, Sungai Petani, Kuah dan Kuala Nerang.

Kedah_state_fl_n5143.PNG

Bendera Negeri Kedah

Bendera negeri Kedah memaparkan anak bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning yang tanda negeri ini beragama Islam, dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri Kedah yang turun-temurun dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam.

Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.
 
Last edited:
Bukit Kayu Hitam
Bukit Kayu Hitam merupakan bandar sempadan utama di Sempadan Malaysia-Thailand. Bukit Kayu Hitam merupakan penghujung Lebuhraya Utara-Selatan, jalan raya terpanjang di Malaysia yang bermula dari Johor Bahru, Johor di selatan hingga ke sempadan Bukit Kayu Hitam.

Sejarah
Sejarah Bukit Kayu Hitam bermula dari zaman kemaraan tentera Siam menyerang Kedah pada tahun 1824. Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Bukit Kayu Hitam ini asalnya diberikan oleh tentera Siam semasa berehat di sebuah bukit. Mengikut cerita, dalam perjalanan untuk menyerang Kedah, tentera Siam telah singgah di sebuah bukit dan berkampung di situ sementara meneruskan perjalanan ke Kedah. Mereka telah memasak nasi disitu dan menggunakan sebatang kayu sebagai senduk. Tanpa disedari, setelah nasi tadi masak, ia berubah menjadi kehitaman, maka tentera Siam tadi kehairanan dan mereka cuba mencari sebab kenapa nasi boleh menjadi hitam. Maka, mereka dapati ia berpunca dari kayu yang digunakan sebagai senduk tadi. Mereka menyiasat dari mana asalnya kayu tersebut dan apabila ditemui tempat kayu itu diambil mereka dapati sekitar pokok tersebut bewarna kehitaman. Pokok tersebut adalah Pokok Komoi. Maka dari situlah wujudnya Bukit Kayu Hitam di mana dalam bahasa Siam disebut Kuan Mhai Dam.

Setelah Siam kalah, orang-orang Melayu mula mendirikan perkampungan di sekitar Bukit Kayu Hitam dengan kegiatan utamanya pertanian disamping peranannya sebagai pintu masuk ke Siam untuk menjual hasil pertanian mereka. Akhirnya ia semakin berkembang yang kemudian berubah menjadi sebuah pekan kecil dimana penduduknya semakin bertambah. Dengan ini kegiatan perdagangan antara Kedah dan Siam semakin rancak disini.

Namun begitu, Bukit Kayu Hitam terpaksa ditutup sepenuhnya pada tahun 1948 berikutan keadaan Darurat 1948 dimana meningkatnya kegiatan Komunis pada masa ini. Semua penduduk, polis dan kastam diarahkan berpindah ke Changloon dan tidak dibenarkan tinggal di Bukit Kayu Hitam. Ini menyebabkan Bukit Kayu Hitam kembali menjadi hutan dan dipenuhi semak.

Pada tahun 1972, Bukit Kayu Hitam dibuka semula oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan membuka sebuah ladang getah di Bukit Kayu Hitam iaitu Ladang Rakyat Laka Temin. Pada masa ini juga nama Bukit Kayu Hitam telah hilang dan diganti dengan panggilan Laka Temin. Setelah pembukaan ladang ini, penduduk Laka Temin semakin bertambah. Pada tahun 1981, nama Laka Temin ditukar kembali kepada Bukit Kayu Hitam dan dengan persetujuan pihak Perancang Bandar, Bukit Kayu Hitam dikenali sebagai Bandar Bukit Kayu Hitam hingga kini.
 
Baling
Baling merupakan salah satu daripada jajahan dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Kawasan Parlimen Baling di negeri Kedah Darul Aman, negara Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia.

Baling terkenal dengan air terjunnya, seperti Lata Bayu dan Bukit Hijau; serta buah-buahan tempatannya, seperti durian dan langsat.

Selain itu, Baling juga terkenal dengan perkampungan asli yang terletak di Mukim Siong, di mana terletaknya kolam air panas yang dipanggil Kolam Air Panas Legong. Ada 3 kolam air panas yang berbeza suhu.

Di pinggir pekan Baling terdapat gunung batu yang dikenali dengan nama Gunung Baling. Di sebelah belakang gunung itu terdapat beberapa buah kampung. Antara kampung-kampung itu adalah Kampung Padang Cik Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Charok Bakong dan Kampung Becah Tok Bulan.

Asal-usul nama
Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka "Ban-Lin" yang bererti "kera". Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi "Baling".

Sejarah Baling
Baling sebuah daerah yang terkenal dengan pelbagai susur galur sejarah yang juga mewarnai sejarah tanah air. Baling merupakan tempat di mana Parti Komunis Malaya, Kerajaan Malaysia, dan British berjumpa pada tahun 1955 untuk menamatkan Darurat. Tunku Abdul Rahman, yang ketika itu merupakan ketua kerajaan, memujuk ajar komunis menyerah secara aman dan berjanji tiada tindakan keras akan diambil terhadap mereka. Tetapi, Chin Peng yang merupakan ketua Parti Komunis Malaya mendesak agar kerajaan dan pihak British mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang sah supaya ia boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya di Malaysia. Permintaan ini ditolak dan menyebabkan tiada perjanjian dicapai.

Mukim
Terdapat 7 mukim di daerah Baling iaitu Mukim Siong, Mukim Baling/Bongor, Mukim Pulai, Mukim Kupang, Mukim Tawar, Mukim Teloi Kanan dan Mukim Bakai. Terdapat 183 kampung, serta berpuluh taman perumahan di daerah ini. Bandar atau pekan yang berada di daerah Baling ialah Bandar Baling, Malau, Kampong Lalang, Kota Baling Jaya, Kupang, Tawar, Kuala Pegang, Parit Panjang dan Kuala Ketil.

Aktiviti ekonomi
Sumber utama pendapatan penduduk di daerah Baling ialah pertanian, perniagaan,bekerja dengan kerajaan dan swasta serta pekerjaan berasaskan kemahiran seperti pertukangan dan vokasional. Kuala Ketil merupakan pekan yang berkembang pesat aktiviti ekonominya di daerah ini. Ini disebabkan Kuala Ketil berada dalam kawasan segitiga perindustrian iaitu Kulim-Sungai Petani-Kuala Ketil. Kuala Ketil berada pada kedudukan 10 km dari Sungai Petani dan 42km dari Butterworth Pulau Pinang. Terdapat sebuah pekan kecil, iaitu Parit Panjang yang mempunyai lebih 55 premis perniagaan.Uniknya kesemua peniaga adalah kaum bumiputra melayu,sesuatu yang unik di Malaysia.Kebiasaannya perniagaan di pekan dan bandar dikuasai oleh peniaga berketurunan cina.
 
d8xj0x7wddaozt6u67i.jpg

Istana Anak Bukit

Anak Bukit adalah sebuah bandar diraja di Kawasan Parlimen Kuala Kedah di negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Anak Bukit merupakan sebuah pekan yang terletak berhampiran dengan Alor Merah dan Kepala Batas.

Asal usul
Terdapat sebuah bukit atau changkat yang tinggi sedikit di kawasan sawah padi yang luas terbentang. Dengan itu, bukit kecil ini jelas kelihatan pada waktu pagi kerana ketinggiannya berbanding dengan sawah padi yang rata dan rendah.

Istana Anak Bukit merupakan kediaman rasmi Sultan Kedah iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Sir Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, GCB, KStJ. Baginda dilahirkan pada 28 November 1927 dan telah ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke 27 sejak 15 Julai 1958.

Penghormatan
Tuanku Abdul Halim memegang pangkat Marshal of the Royal Malaysian Air Force.

Anugerah
Anugerah yang telah dikurniakan kepada baginda ialah:
* Collar of the Order of the Chrysanthemum-1970
* Collar of the Star of Mahaputra-1st Class of Indonesia-1970
* Collar of the Order of Pahlavi-1971
* Knight of the Order of St John (KStJ)-1972
* Knight Grand Cross of the Order of the Bath (GCB)-1972
* Collar of the Order of Rajamitrabhom of Thailand-1973
* Grand Cross of the Order of Charles III of Spain (w/Collar)-1974
* Nishan-i-Pakistan (Order of Pakistan), 1st Class-1974

Penghargaan lain kepada baginda

* Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim di Alor Setar, Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Pulau Pinang, Hospital Sultan Abdul Halim dan Sultan Abdul Halim Teachers' Trainee Institute di Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di Jitra, Kedah semuanya dinamakan sempena nama Baginda.
* Lapangan terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas, Kedah dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) di Jitra, juga dinamakan sempena nama Baginda.
 
Last edited:
Yan merupakan sebuah bandar dan daerah yang terletak di Kedah, Malaysia. Ia terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Alor Setar dan 30 kilometer dari Sungai Petani.

Daerah ini mempunyai kawasan-kawasan peranginan dan rekreasi yang menarik untuk dilawati bagi menghilangkan ketegangan di waktu hujung minggu.

Antara kawasan yang terdapat di daerah ini ialah: Gunung Jerai, Pantai Murni, Air Terjun Titi Hayun, Tanjung Dawai, Air Terjun Puteri Mandi, Tangga Kenari (laluan utama untuk pendaki berjalan ke puncak Gunung Jerai), tempat sejarah seperti Air Terjun Alur Naga, Batu Kapal, Padang Tok Syeikh, Sejadah Tok Syeikh dan Telaga Tok Syeikh dan lain-lain kawasan yang terdapat di daerah ini.

Dari Tanjung Dawai, para pengunjung dapat menaiki bot untuk mengelilinggi pulau-pulau dan kawasan sekitar kawasan pantai. Selain itu, para pengunjung juga dapat menaiki bot untuk beriadah di kawasan Pantai Merdeka yang terletak di daerah Kuala Muda.

Antara pulau tarikan yang terdapat di daerah ini ialah, Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsang. Selain daripada itu, terdapat juga perkampungan tradisional yang menarik pelancong, iaitu Perkampungan Sungai Raga serta terdapat juga perkampungan nelayan yang dapat menarik pelancong datang ke daerah ini, iaitu Tanjung Dawai, Pulau Sayak, dan Telok Nipah.

Di daerah ini juga terdapat hutan-hutan lipur dan reakreasi yang menarik dengan kawasan air terjun yang boleh dijadikan kawasan beriadah. Antara hutan lipur yang terdapat di daerah ini ialah:

1. Hutan Lipur Gurun Kuari
2. Hutan Lipur Perigi
3. Hutan Lipur Sungai Teroi
4. Hutan Lipur Sungai Kunyit
5. Hutan Lipur Sungai Badak (lebih dikenali dengan Hutan Lipur Batu Hampar)
6. Hutan Reakreasi Sri Perigi
7. Hutan Rekreasi Batu Hampar
8. Teroi Dee Tok Chen Lubuk Kawah

Oleh yang demikian, daerah Yan merupakan satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi dan beriadah bersama keluarga. Ini adalah kerana daerah ini mempunyai kawasan alam semulajadi yang indah, iaitu kawasan laut (pantai) yang indah, kawasan air terjun, sungai, gunung dan perkampungan Melayu yang belum pernah diubah.
 
Last edited:
Sungai Petani (Jawi: سوغاي فتني)(singkatan Sg. Petani atau "SP") merupakan sebuah bandar perindustrian di negeri Kedah yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Sungai Petani ialah bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar.

Perumahan
* Terdapat banyak kawasan-kawasan perumahan di bandar sungai petani ini diantaranya termasuklah taman ria,taman ria jaya,taman intan,taman bunga raya, taman pahlawan, taman kelisa ria, taman batik, taman bandar baru, taman keladi, taman PKNK, taman mutiara,taman peruda, taman sejati indah dll.

Pengangkutan
* Bandar Sungai petani dapat dihubungi melalui jaringan jalan raya, lebuh raya iaitu lebuhraya utara selatan dan keretapi.

Pendidikan
* Terdapat banyak institut pendidikan awan dan swasta di kawasan sungai petani iaitu merangkumi sekolah rendah dan menengah,institut Teknologi Cosmopiont dll.

Rekreasi
* Pantai Merdeka iaitu pantai peranginan yg terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar sungai petani dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan dan resort.
* Taman Jubli Perak merupakan taman awam yang terletak dipinggir bandar Sungai Petani yang sering dikunjungi pada sebelah petang dan hujung minggu, disini juga terdapat mini zoo serta bersebelahan dengan Perpustakaan awam dan masjid.
* Rekreasi Air Terjun Tupah merupakan tempat perkelahan dan mandi manda yang popular bagi penduduk sungai petani.
 
Pendang merupakan salah satu daerah jajahan Negeri Kedah Darul Aman. Ia meliputi kawasan sawah yang luas dan mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Penduduk di daerah ini terdiri daripada Melayu, Siam, Cina dan India. Nama Pendang berasal daripada perkataan "pendiat" yang bermaksud parit atau lubang yang dibina khas untuk menangkap gajah.

Tempat-tempat menarik

Kawasan sejarah dan rekreasi menarik yang terdapat di daerah ini adalah seperti:

* Kubur Panjang
* Kawasan peranginan Sungai Rambai dan lain-lain lagi.
* Taman Kekal Pengeluran Makanan Bukit Perak

Kubur Panjang
Kubur Panjang merupakan salah satu tinggalan sejarah yang masih terdapat di daerah ini. Ia terletak di sebuah kampung yang terletak lebih kurang 15 minit dari pekan Pendang. Kampung ini diberi nama bersempena dengan tinggalan sejarah tersebut iaitu Kampung Kubur Panjang. Ukuran panjang kubur ini akan bertambah dari sehari ke sehari dan kawasan kubur berkenaan telah dijadikan kawasan Tanah Perkuburan Islam agar kubur berkenaan dapat dipelihara dan dijaga untuk dijadikan satu kawasan tinggalan sejarah di Daerah Pendang khususnya dan Negeri Kedah Darul Aman amnya.

Kampung Bukit Jambul
Kampung Bukit Jambul terletak lebih kurang 8KM dari pekan Pendang. Bukit Jambul di beri nama sejak sekian lama dahulu apabila berlakunya perang di Jambu Pattani Thailand yang dahulunya merupakan Kerajaan Kedah Tua, penduduk di Jambu yang rata-ratanya berketurunan Raja Jambu telah lari dari perang antara Kedah dan Siam. Apabila sampai di Bukit Jambul mereka telah tinggal di situ dan menamakan Bukit Jambu kerana di situ mempuyai bukit. Lama - kelamaan Bukit Jambu telah di gelar dengan gelaran Bukit Jambul. Kebanyak penduduk Bukit Jambul sekarang berketurunan Raja Jambu. Terdapat sebuah kubur lama yang boleh dijadikan sejarah kerana menurut penduduk kampung kubur itu merupakan kubur orang kedua sampai di Bukit Jambul.

Perigi Mandi Gajah
Perigi Mandi Gajah terletak di tengah pekan Pendang. Perigi yang seperti ini yang masih wujud dan dijaga dengan baik. Tempat ini menjadi tempat gajah mandi di sekitar Pendang. Telaga ini tidak pernah kering walaupun berlaku kemarau panjang dan menjadi tempat mandi orang ramai semasa kemarau di mana perigi yang lain berkeadaan kering dan pada masa dahulu tiada bekalan air bersih yang disalurkan oleh kerajaan.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan Bukit Perak
Taman Kekal Pengeluran Makanan (TKPM) Bukit Perak ialah kawasan seluas 11.2 ha yang di khaskan untuk usahawan tani mengeluar sayuran dan tanaman kontan. Ia terletak di Mukim Padang Peliang,Daerah Pendang. Ia menempatkan 6 usahawan yang mengusahakan tanaman sayuran,jagung dan buah naga.TKPM adalah suatu usaha memenuhi Dasar Pertanian Negara (DPN3) untuk meningkat pengeluaran makanan.Kerjaan telah menyediakan kawasan yang di lengkapi dengan infrastruktur asas. Buah Naga seluas 2 hektar(Mas Suhaizal Nizam),Longan seluas 3 hektar(Razif Ahmad),Jagung seluas 2 hektar( Ismail & Asmuni). -KELUARAN SEMASA

* Buah Naga
* Cili Kulai
* Cili Padi/Melaka
* Jagung

Asal-usul nama
Daerah Pendang dahulunya adalah tempat gajah-gajah tinggal. Perkataan "Pendang" adalah istilah yang dipanggil oleh penduduk tempatan terdahulu yang bermaksud lubang atau telaga yang dibuat oleh penduduk pada masa itu untuk menangkap atau menjerat gajah. Lubang atau telaga yang digunakan untuk menjerat gajah ini masih ada lagi di sebelah Balai Polis Pendang yang kini menjadi telaga. Kubur seorang penduduk tempatan yang dipijak gajah juga masih ada lagi di Kampung Sukamari yang terletak di belakang pekan baru Pendang.
 
Sik merupakan sebuah kawasan yang masih lagi terpelihara flora dan fauna di negeri Kedah. Daerah ini masih lagi mempunyai kawasan hutan lipur dan hutan rekreasi yang banyak dan masih terpelihara. Selain daripada itu, daerah ini juga telah dijadikan sebuah "kawasan agro-pelancongan oleh Kerajaan Negeri Kedah".

Antara Hutan Lipur dan Hutan Rekreasi yang popular di daerah ini ialah:

* Hutan Lipur Lata Lembu
* Hutan Lipur Lata Mengkuang
* Hutan Rekreasi Sik
* Hutan Rekreasi Lata Mengkuang
* M.U.D.A. Resort - agro-perlancongan
* Bendang Man - agro-perlancongan

Sejarah
Sik sebenarnya berasal dari perkataan Arab "Syed". Mubaligh-mubaligh Arab yang menbuka penempatan ini. Mereka berhenti dan singgah dengan perahu di Lubuk Tok Keramat, Sg Chepir, berdekatan dengan stesen minyak Shell sekarang, di pekan Sik.

Mereka telah mendirikan perkhemahan di sebuah padang yang dikenali sebagai Padang Tok Sheikh. Tapak ini kemudian berkembang menjadi sebuah penempatan dan pondok yang pertama di daerah Sik dan mungkin yang pertama di negeri Kedah Darul Aman.

Padang Tok Sheikh sekarang ini terletak berhampiran dengan Masjid Pekan Sik dan sekarang ini dibangunkan sebagai Kompleks Pejabat Agama Daerah Sik, Kedah.

Perkataan "Sik" berasal daripada perkataan "Syed" atau "Sheikh" dan jika disebut dalam loghat petani Kelantan, ia berbunyi "Sik". Sebutan di antara bunyi Sik dan Saik.
 
Lembah Bujang
Tamadun di selatan Kedah atau di Lembah Bujang (Serpent Valley ) di awal abad Masihi hingga 20 Masihi mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India.

Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan.

Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba - Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.
 
Back
Top
Log in Register