BTC USD 86,314.2 Gold USD 4,328.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Music Search Sedia 'Takluk', Gegarkan JB 25 November 2023

TXT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgemgemgem
Messages
459,644
Paid Membership
Joined
Mar 15, 2010
Messages
459,644
Reaction score
38,262
Points
2,836

Search sedia 'takluk', gegarkan JB​


24 November 2023 03:08pm

2436005.jpg

Din (tengah) bersama anggota Search dan XPDC selepas mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Search Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di sebuah hotel di Iskandar Puteri, pada malam Khamis


KUMPULAN Search sudah sedia 100 peratus untuk 'menakluk' dan menggegarkan menerusi konsert Search Voyage of Asia yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Educity di sini pada malam Sabtu.

Menariknya, kumpulan legenda rock kelahiran Johor itu akan membuat persembahan sulung dengan vokalis baharu mereka di Johor Bahru iaitu Denden Gonjalez dari Indonesia yang sudah pun dua tahun bersama Search.

Menurut pemain gitar Search, Nordin Mohd Taib atau lebih dikenali sebagai Din, mereka sudah bersedia untuk menghiburkan peminat yang bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi juga dijangka dari seluruh negara.

"Search akan membawakan 18 lagu selain lagu-lagu medley.

"Pastinya penonton yang hadir akan berpuas hati dan terhibur dengan persembahan yang merupakan antara konsert berharga Search tahun ini.

"Kita tidak akan lupa untuk menyajikan lagu-lagu popular Search termasuk Isabella dan Fantasia Bulan Madu kerana itu adalah permintaan wajib peminat apabila Search mengadakan persembahan," katanya.

Beliau yang terkenal dengan jolokan 'King Of Rhythm' berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Search Voyage of Asia dan Hari Rock Negara Edisi Selatan di sebuah hotel di sini pada malam Khamis.

Mengenai penampilan dan keserasian Denden bersama Search, Din berkata, sudah pasti ada yang membandingkannya dengan vokalis terdahulu, Amy, namun vokalis dari negara seberang itu bijak membawa diri dan menambat hati peminat.

"Ada juga kritikan kita terima, tetapi kita ambil secara positif sahaja.

"Denden juga sentiasa buat yang terbaik dan tambah baik prestasinya.

"Kini, beliau sudah serasi bersama Search.

"Konsert ini adalah persembahan pertama Denden di Johor Bahru, tetapi ia persembahan besar keenam beliau bersama kami, ini bukti beliau sudah boleh diterima peminat," katanya.


2436004.jpg


Anggota Search dan XPDC bersama Kombat (kanan sekali) dan pihak pengurusan konsert Search Voyage of Asia sedia 100 peratus untuk persembahan di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri pada malam Sabtu.


Selain Search yang menampilkan Din dan Denden, Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram) akan turut beraksi, konsert Search Voyage of Asia turut menyaksikan penampilan khas kumpulan rock XPDC yang akan membuat persembahan pembukaan.

Pemain dram XPDC, Amy pula berkata, kumpulan itu akan tampil selama 45 minit pertama konsert dengan lima hingga enam lagu akan disajikan.

"Kita akan persembahkan lagu-lagu XPDC yang jarang kita mainkan, tetapi sudah pasti peminat tahu akan lagu itu.

"Ini juga kali kedua penampilan Ary selaku vokalis selepas persembahan pertama kami di Singapura sebelum ini," katanya.

Sementara itu, wsakil penganjur C&M Music Centre Sdn Bhd, Adib Abdullah berkata, pihaknya yakin kapasiti 4,000 dalam stadium tersebut mampu dipenuhi pada malam Sabtu bukan sahaja oleh peminat Search, tetapi penggemar muzik rock tanah air.

Katanya, persiapan pentas juga sudah siap hampir 80 peratus dengan penjualan 'merchandise' juga yang mendapat sambutan.

"Setakat ini kita menerima maklum balas ramai yang ingin membeli tiket secara 'walk in', jadi kita sudah bersedia untuk menjual semua tiket yang tinggal terutamanya bagi tempat duduk kategori VIP.

"Kita yakin menjelang malam konsert (esok), semua tiket akan habis dijual," katanya.

Dalam pada itu, pengasas Hari Rock Negara, Kombat dari Kombat Records berkata, penganjuran Hari Rock Negara adalah bagi menyatukan kembali kumpulan rock tanah air bagi mengubat kerinduan peminat.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang Hari Rock Negara Edisi Selatan adalah zumba, persembahan kumpulan rock dan 'busker' tempatan, forum, pelancaran Tabung Palestin selain reruai jualan, katanya.

"Selain kita bawakan kumpulan rock lama, ini antara cara kita membantu mereka juga untuk menjana pendapatan dengan berniaga. Jadi, pengunjung bukan sahaja boleh saksikan beberapa kumpulan lama membuat persembahan, tetapi boleh juga bertemu mereka di gerai jualan mereka.

"Kita mahu orang ramai bertemu pemain atau peminat muzik rock dengan lebih dekat, sekali gus dapat membuang persepsi buruk terhadap komuniti 'rockers' yang sering dipandang tidak baik," jelasnya.


 

Search imbas kegemilangan lima dekad, cipta fenomena baharu​


26 November 2023 02:29pm

Search memukau pentonton dengan 17 lagu khusus untuk konsert Search Voyage of Asia di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, pada malam Sabtu.

Search memukau pentonton dengan 17 lagu khusus untuk konsert Search Voyage of Asia di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, pada malam Sabtu.


KONSERT Search Voyage of Asia di Kompleks Sukan Educity di sini pada malam Sabtu mencipta fenomena baharu malah berjaya mengimbas kegemilangan legenda rock itu sejak lebih lima dekad lalu.

Konsert kemuncak sempena Hari Rock Negara Edisi Selatan itu merupakan 'bingkisan' daripada gabungan dua gergasi rock iaitu Search dan kumpulan undangan XPDC yang beraksi dalam satu pentas berlangsung selama hampir tiga jam.

Kumpulan rock jemputan, XDPC menaiki pentas kira-kira jam 8.45 malam dengan diiringi efek bunyian petir dan bom sebelum mereka 'menguak' tirai persembahan dengan membawakan lagu Tak Nak Jadi Soh Chai.

XDPC menyambung untaian lagu dengan mempersembahkan Hamba Abdi, John Jenin, Talam Dua Muka, Pelesti Mata Sebelah dan Kita Peng Yu, semuanya diambil daripada album-album yang pernah mengangkat nama mereka pada awal 90-an.

Kira-kira 4,000 penonton pelbagai peringkat usia itu dilihat seakan masih belum cukup terangsang dengan enam buah lagu dibawakan XPDC yang jarang dipersembahkan mereka dalam konsert sebelum ini.

XPDC menampatkan persembahan selepas 40 minit namun sekumpulan peminat tegar depan pentas masih belum puas dan mahukan beraksi lagi, mereka yang hampir meninggalkan pentas memainkan lagu terakhir Selendang Merdeka sebelum keadaan menjadi gawat seketika.

Search muncul dengan mendendangkan Pelesit Kota - pembukaan dengan petikan gitar serta ketukan dram yang rancak sambil bunga-bunga permainan gitar bass lagu itu cukup untuk mengejutkan seisi stadium tersebut dengan 'getaran' tersendiri.

2438249.jpg

Persembahan kira-kira 40 minit daripada XPDC sebagai kumpulan jemputan untuk konsert Search Voyage of Asia di Johor.


Band rock ditubuhkan yang di Johor Bahru sejak 1981 itu dianggotai Denden Gonjalez (vokal); Din (gitar kedua); Kid (gitar utama); Yan (bass) dan Minn (dram) terus memeriahkan acara dengan dua lagi lagu klasik mereka Bencana dan Mentari Merah di Ufuk Timur.

Menteri Merah di Ufuk Timur yang merupakan lagu malar segar mereka menyaksikan penonton menyanyi bersama-sama dan selepas selesai Denden buat pertama kali berbicara dengan penonton untuk konsert sulungnya di Johor itu.

"Terima kasih kerana terus setia bersama Search, malam kini kami telah pilih lagu-lagu yang istimewa, kita 'enjoy' sama-sama. Ok kita terus lanjut (teruskan persembahan)," ujar Denden sebelum menyampaikan lagu keenam Di Pintu Sepi.

Selepas 'menerobos masuk' Di Pintu Sepi, Search meneruskan keasyikan malam minggu itu dengan lagu Emanuelle sebelum dibawa ke terowong waktu kegemilangan mereka pada era 80-an apabila membawakan dua lagi lagu berhantu Fantasia Bulan Madu dan Purnama.

Peminat yang datang selepas 'dibuai' Fantasia Bulan Madu dan Purnama terus senada menyanyikan lagu berikutnya Rock N Roll Pie dan tiga buah lagu 'medley' iaitu Gadis Misteri, Kejora dan Gadisku sehingga membuatkan stadium bergema.

Denden yang merupakan vokalis Search menggantikan Amy sejak dua tahun lalu sebelum membawakan Rock N Roll Pie berkata, kumpulan itu berbesar hati kerana dapat melakukan persembahan di Johor Bahru dan mahukan penonton terus menyanyi bersama mereka.

Kumplan itu yang menempuh pelbagai pengalaman dan jatuh bangun dalam industri muzik tempatan meneruskan persembahan dengan Pembakar Perasaan, seterusnya memainkan lagu-lagu lama dan baharu iaitu Teguh, Panggung Khayalan serta Asli dan Tulus sebelum menyambung bicara dengan penonton.

"Adakah anda puas hati," tanya Denden kepada penonton sebelum meminta mereka menyanyikan bersama-sama lagu Isabella dan stadium bertukar shahdu dan melankolik dengan cahaya suram daripada telefon bimbit dan pemetik api dinyalakan apabila lagu itu dilantunkan.

Walaupun berada di penghujung persembahan dan 15 lagu popular sudah dibawakan secara energetik, Search dilihat sama sekali tidak mengendurkan momentum persembahan mereka dengan dua lagu terakhir bertajuk Pasti dan Fenomena.

Dua lagu tersebut menjadi penutup konsert anjuran C&M Music Centre Sdn Bhd itu yang hebat dengan permainan cahaya dan paparan skrin LED termasuk sistem bunyi daripada setiap instrumen amat memuaskan.
 
Back
Top
Log in Register