ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
HALIMAH (empat dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Othman (enam dari kanan) sambil diperhatikan Abd Latif (tiga dari kanan) dan Amer (lima dari kanan) ketika Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Kampung Sempadan, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Johor Bahru: "Saya terharu kerana pemberian ini mengurangkan beban kami sekeluarga apatah lagi pendapatan saya sebagai penjual sayur yang tidak menentu," kata Othman Joned selepas menerima bantuan kediaman bernilai RM40,000 sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7), di sini, semalam.
Othman, 42, berkata, kebakaran kira-kira dua tahun lalu menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menyewa rumah berhampiran.
"Ketika kejadian saya sekeluarga memancing di sungai berhampiran dan kira-kira jam 10 malam saya menerima panggilan daripada jiran berhubung kebakaran rumah kami.
"Mujur datuk saya yang berada di rumah berjaya diselamatkan jiran dan kejadian itu berpunca daripada lilin yang dipasang," katanya yang menerima bantuan itu daripada Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique di Batu 16 1/2 Kampung Sempadan Mukim Sungai Tiram Ulu Tiram, di sini.Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Pembangunan) Malaysia Datuk Amer Yusof, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Abdul Ghani Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd Latif Bandi.
Projek pembinaan rumah baru Othman dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu disiapkan pada 10 Ogos lalu membabitkan 20 pegawai dan anggota JBPM Johor.
Sementara itu, Halimah berkata, untuk tahun depan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM1.27 juta kepada JBPM untuk membina 30 rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi NBOS7.
"Pada masa sama, projek berkenaan juga akan dikembangkan untuk membaik pulih rumah masyarakat miskin yang berdaftar menerusi program e-Kasih," katanya.
Source: http://www.hmetro.com.my/node/72631