ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KUALA LUMPUR 24 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan untuk menjadi pencelah dalam prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung arahan pemilihan semula parti tersebut.
Dengan keputusan berkenaan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu akan disenaraikan sebagai responden dalam prosiding terbabit.
Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke, keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Asmabi Mohamad selepas berpuas hati bahawa Saravanan mempunyai kepentingan dalam permohonan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di kamar hakim di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut peguam R. Thayalan yang mewakili kesemua pemohon, Hakim Asmabi menolak permohonan serupa oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), S. Ananthan.
Ini berikutan bekas Pengerusi MIC Kedah itu tidak pernah memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan CWC yang lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Ananthan membayar kos RM6,000 kepada semua pihak yang terlibat.
Semakan kehakiman itu difailkan oleh Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan beberapa pemimpin parti tersebut pada Februari lalu.
Dua permohonan difailkan secara berasingan oleh pemimpin MIC iaitu yang pertama difailkan pada 23 Februari oleh anggota CWC MIC, A.K. Ramalingam, 47, yang menamakan ROS dan Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah sebagai responden.
Ramalingam memohon untuk membatalkan kenyataan responden menerusi surat bertarikh 5 dan 31 Disember tahun lalu serta 6 Februari lalu dan memohon deklarasi bahawa kenyataan dikeluarkan itu adalah mala fide (niat jahat) dan ultra vires (melampaui batasan undang-undang).
Pada 24 Februari lalu pula, Palanivel bersama-sama dua Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas Setiausaha Agung parti itu, A. Prakash Rao memfailkan permohonan kedua dengan menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan dan Prakash Rao memohon, antara lain, satu pengisytiharan bahawa perkara berkaitan dengan pemilihan parti tertakluk kepada perlembagaan parti dan tidak boleh berasaskan pendapat ROS.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan mesyuarat agung tahunan MIC pada 30 November 2013 adalah sah dan berkuat kuasa.
Mereka juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC atau mengeluarkan arahan kepada parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.