ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Taji ayam yang dirampas dalam serbuan di kawasan belukar di Kampung Bukit Tanah, Pasir Puteh kelmarin
PASIR PUTEH - Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, menangkap tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti judi sabung ayam menerusi Ops Sepadu petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, serbuan hasil maklumat orang ramai bertumpu di kawasan belukar di Kampung Bukit Tanah, berhampiran Gong Kulim yang dijadikan sebagai gelanggang menyabung ayam.
Katanya, tujuh lelaki yang berusia dari 17 hingga 46 tahun itu adalah penduduk tempatan, dari Bachok dan Jerteh, Terengganu.
“Kita menemui satu botol berisi taji ayam salah seorang daripada mereka yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.
“Hasil ujian air kencing yang dibuat mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis pil kuda,” katanya.
Kesemua yang ditangkap direman selama tiga hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 44 (1) (g) Akta Binatang 1953.
Mohd Kamal berkata, kumpulan terbabit dikatakan gemar menyabung ayam pada hari Jumaat dan tidak mempunyai ‘gelanggang’ tetap kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.
“Mereka juga memilih kawasan tersembunyi dan terpencil selain mempunyai kaedah tertentu untuk meloloskan diri, sekiranya diserbu namun kecekapan anggota polis menyebabkan mereka terperangkap.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa memberi maklumat kepada pihak polis bagi membendung kegiatan seperti ini,” katanya.