BTC USD 63,223.5 Gold USD 4,475.50
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Royalti pasir Selangor cuma RM31j

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
SHAH ALAM 3 Jun - Dakwaan kerajaan negeri bahawa ia mampu menjana royalti sebanyak RM127 juta setahun hasil perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) sebenarnya hanya omong kosong.

Hakikatnya, anak syarikat kerajaan negeri itu hanya mampu menyumbang kira-kira RM31 juta dalam bentuk royalti hasil jualan 17 juta tan pasir setiap tahun.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed yang turut menegaskan bahawa walaupun dicampur dengan keuntungan syarikat hasil aktiviti lain, ia hanya mampu menyumbang sekitar RM60 juta setahun kepada kerajaan negeri.

"Sejak menyertai KSSB pada Ogos 2008, angka RM127 juta itu adalah misteri. Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya dari mana angka itu diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) di sini ini.

Selcat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chiang Khim itu berlangsung selama tiga hari hingga esok setelah Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mencetuskan kontroversi dan mendakwa berlaku perbuatan rasuah dalam kegiatan melombong pasir yang dikendalikan oleh KSSB.

Ramli memberi jawapan demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd. Azmin Ali yang meminta penjelasan kerana hasil negeri RM120 juta daripada perlombongan pasir telah dinyatakan pada sidang DUN pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, unjuran angka itu memang di luar pengetahuannya kerana makluman itu dihebahkan kepada umum pada Jun 2008 sedangkan beliau menyertai KSSB, dua bulan kemudian.

Tambahnya, beliau menggunakan perkataan 'misteri' bagi menggambarkan unjuran angka itu kerana sekiranya ia menjadi kenyataan, negeri Selangor akan musnah sama sekali.

"Bagi mendapatkan RM127 juta untuk royalti, kita perlu melombong 66 juta tan pasir setahun atau menjual pasir sebanyak 5.5 juta tan sebulan.

"Jika ini dilakukan akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang begitu besar dan rakyat tidak ada tempat untuk tinggal," ujarnya.

Ramli juga memberitahu Selcat bahawa keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat itu memperoleh RM8 juta.

Katanya, sebanyak RM1.3 juta pula telah diberikan kepada kerajaan negeri dan difahamkan jumlah itulah digunakan untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sementara itu, Pengerusi KSSB, Abdul Shukor Nagor yang menyambung keterangannya semalam memberitahu, lapan orang termasuk Ahli Lembaga Pengarah, Pengerusi, Penasihat KSSB menerima bonus empat bulan sepanjang sembilan bulan bekerja di syarikat itu yang ditubuhkan pada Jun 2008.

Keterangan tersebut membuatkan Chiang Khim mempersoalkan bahawa tindakan itu tidak bersifat amalan korporat yang baik apabila pemberian bonus hanya berdasarkan unjuran keuntungan dan sebilangan besar iaitu 26 kakitangan lagi daripada golongan sokongan hanya mendapat satu atau dua bulan bonus.

Abdul Shukor yang mempertahankan perkara itu berkata, golongan terbabit mendapat bonus yang tinggi kerana mereka bekerja keras serta terdedah dengan ancaman dalam melancarkan aktiviti perlombongan pasir di negeri ini.

"Pemberian bonus diluluskan oleh Lembaga Pengarah yang turut dianggotai oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Arif Abd. Rahman," jelasnya sambil memberitahu sepanjang beliau terlibat dalam dunia korporat tidak pernah berlaku pemberian bonus yang begitu tinggi kepada Ahli Lembaga Pengarah.
 
Back
Top
Log in Register