Viere
CG Top Poster Club

- Messages
- 26,579
- Joined
- Aug 8, 2008
- Messages
- 26,579
- Reaction score
- 179
- Points
- 123
AZIS Yacub (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok jenama Malimbo yang cuba diseludup keluar dan berjaya dirampas pihak Kastam Selangor semasa sidang media di Wisma Kastam Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, semalam.
PELABUHAN KLANG 22 Dis. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 510,000 karton rokok putih bernilai RM51.1 juta termasuk cukai yang cuba diseludup ke Mesir melalui negara ini selepas menahan 10 kontena milik sebuah kapal dagang di Pelabuhan Barat, di sini Isnin lalu.
Kejayaan rampasan rokok jenama Malimbo yang dipercayai terkenal di Mesir itu merupakan yang terbesar di negara ini.
Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai ejen yang menguruskan kemasukan kapal tersebut.
Pengarah Kastam Selangor, Datuk Azis Yacub berkata, penahanan kapal CSAV Pyrennes yang singgah di Pelabuhan Klang sebelum menuju ke Pelabuhan Alexandria, Mesir itu dibuat pukul 2.30 pagi hasil maklumat dan risikan pihaknya selama dua minggu.
Beliau berkata, kapal tersebut yang datang dari Vietnam dan terlebih dahulu singgah ke Pulau Pinang sebelum tiba ke Pelabuhan Barat itu dipercayai membawa 12 kontena yang isi kandungannya mencurigakan.
Menurut beliau, hasil semakan kesemua 12 kontena di dalam kapal tersebut telah diikrar mengandungi batu-bata.
"Bagaimanapun kita telah membuat keputusan untuk menahan kapal tersebut dan mengarahkan agar kesemua kontena di dalamnya dibawa turun.
"Selepas pemeriksaan dibuat, kita dapati 10 daripada kontena itu mengandungi 510,000 karton atau 102 juta batang rokok putih jenama Malimbo yang kesemuanya bernilai RM51.1 juta termasuk cukai.
"Hanya dua kontena sahaja mengandungi batu marbel. Ini bermakna mereka telah menipu ikrar dan melanggar Akta Zon Bebas," kata beliau kepada pemberita di Wisma Kastam Pelabuhan Barat di sini petang ini.
Azis memberitahu, kes rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (g) Akta Kastam 1967 iaitu menipu ikrar dan jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 (1) (iii) akta yang sama.
"Kita juga menyiasat kes itu di bawah Seksyen 19 Akta Zon Bebas," jelas beliau.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kesemua kontena itu adalah syarikat tempatan berdaftar dan seorang kakitangannya yang berusia 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan.