ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
NAJIB TUN RAZAK menunjukkan buku laporan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR 21 Mei - Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menjadi pelonjak terakhir sebelum memasuki gelanggang negara maju memberi tumpuan kepada pembangunan untuk kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan inklusif dan mengambil kira keperluan setiap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, justeru, pelan pembangunan bagi tempoh 2016-2020 ini bukan sahaja membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju seperti mana dari segi definisi pendapatan per kapita malah lebih daripada itu, membangunkan sebuah tamadun holistik.
Katanya, untuk itu, RMK-11 yang menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM260 bilion iaitu tambahan RM30 bilion berbanding RMK-10 dibentangkan dengan enam strategi tumpuan iaitu inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur dan inovasi serta produktiviti dengan enam pemacu perubahan digariskan bagi memastikan strategi tersebut dapat mencapai matlamat.
Antara yang banyak diberi penekanan dalam RMK-11, golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau dipanggil B40 dengan pelbagai perancangan disusun bagi melonjakkan pendapatan kelompok tersebut daripada RM2,500 sebulan pada 2014 kepada lebih RM5,000 pada 2020 selain penekanan terhadap strategi menangani kos sara hidup rakyat.
“Ke arah ini, kerajaan akan mengambil usaha yang intensif antaranya merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti dengan sasaran mengecilkan pekali Gini daripada 0.401 pada 2014 kepada 0.385 pada 2020 yang mencerminkan pengagihan pendapatan yang lebih saksama dalam kalangan rakyat,” katanya ketika berucap membentangkan RMK-11 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam RMK-11 juga, Najib berkata, kerajaan terus menzahirkan pemerkasaan ekonomi bumiputera sebagai agenda nasional yang bukan sahaja harus tetapi wajib dilaksanakan dengan keazaman untuk menyasarkan pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera berjaya dicapai menjelang 2020.
Katanya, sebagai langkah untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera, pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat tabungan minimum.
Selaras dengan prinsip inklusif, Perdana Menteri turut menggariskan komitmen kerajaan menerusi beberapa perancangan dalam membantu semua rakyat tanpa mengira etnik, geografi dan latar belakang termasuk warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Bagi masyarakat luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak, pembangunan prasarana asas diteruskan manakala dari aspek pembangunan wilayah, Najib mengumumkan kerajaan akan mewujudkan Malaysian Vision Valley meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson yang merupakan satu lagi projek pembangunan bersepadu baharu bertujuan melengkapi pembangunan di Lembah Klang.
Sementara itu, Najib menegaskan, kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya dan oleh itu, aspek penjagaan kesihatan dan agenda pemilikan perumahan rakyat terus diberi tumpuan di samping menyasarkan sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan dalam tempoh RMK-11.
“Turut diberi perhatian utama soal pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi dalam mencapai status negara maju termasuklah pembinaan lebuh raya, kemudahan Transit Aliran Massa (MRT), loji jana kuasa elektrik, loji rawatan air, dan inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global, bandar-bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di bawah RMK-11,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Najib menegaskan, walaupun mutakhir ini pelbagai dugaan dan rintangan dihadapi, beliau dan kerajaan memilih hanya satu jalan, iaitu terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.
“Justeru, saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia, sekiranya kita bersabar, seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan, juga keyakinan di dada, bertawakal kepada yang Maha Kuasa, kelak akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita. Begitulah, kita wajib menghitung doa dan berharap bahawa RMK-11 ini, akan disokong dan memanfaati semua lapisan,” jelasnya.