ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Nasir sedang membaiki kasut pelanggannya.
Zulkifli membaiki kasut pelanggannya.
BUKAN mudah seperti yang disangka. Misalnya seorang tukang kasut menceritakan nasibnya yang kerap ditipu pelanggan.
Zamri Arisum berkata, sepanjang 11 tahun berniaga di kaki lima kedai di Seksyen 18, Shah Alam, dia pernah ditipu pelanggan yang membuat helah enggan membuat bayaran selepas mendapatkan perkhidmatannya.
“Sepanjang 18 tahun pakcik membaiki kasut di sini, kerap juga ditipu. Pelanggan hantar kasut untuk dibaiki, tetapi bila dah siap, dia terus ambil kasut. Janji nak bayar kemudian, tapi akhirnya tak bayar langsung.
“Ada yang cakap, tiada duit dan mahu ke bank dengan membawa sekali kasut yang sudah siap dibaiki. Mereka janji kembali ke sini (tapak kaki lima), tetapi tak datang lagi,” katanya.
Tambah Zamri, bukan itu sahaja, ada pelanggan tidak mengambil semula kasutnya setelah dibaiki.
“Kami akan simpan dulu kasut-kasut ini kerana takut pelanggan datang bila-bila masa sebab sebelum ini, ada pelanggan yang datang ambil kasut selepas dua bulan.
“Tetapi, kalau kasut itu dah rosak dan tak boleh digunakan, kami terpaksa buang dalam tong sampah,” katanya.
Menurut Zamri, setiap hari dia bekerja seawal jam 9.30 pagi untuk membaiki kasut seperti menampal tapak, tumit dan menggam kasut sehinggalah ke 9 malam.
“Waktu tengah hari baru pakcik datang bantu saya dan dia kadang kala balik awal kerana tidak larat disebabkan faktor usianya.
“Biasanya, upah jahit selipar atau kasut, kami ambil dalam RM3 hingga RM18 bergantung pada jenis kasut. Untuk gam kasut, RM1, tampal tapak dan ganti tumit kasut pula dalam RM5 ke RM6,” katanya.
Dapat RM30 hingga RM40 sehari
Seorang lagi tukang kasut, Nasir Kiri berkata, dia bersyukur mampu memperoleh RM30 hingga RM40 sehari hasil membaiki kasut pelanggan di kaki lima kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman (Tar) di Kuala Lumpur.
Sepanjang 25 tahun bertukang di situ, Nasir berkata, pelbagai pelanggan terdiri daripada orang awam dan pihak penguat kuasa pernah mendapatkan khidmatnya untuk membaiki kasut.
“Kerja begini tak tentu sebab kadang kala, banyak kasut yang dihantar dan kadang kala hanya sedikit saja kasut untuk dibaiki.
“Biasanya, dalam sehari adalah dua pasang kasut yang dihantar untuk dibaiki. Kadang kala pelanggan hanya mahu gam kasut saja, dapatlah (duit) sikit hari itu,” katanya.
Nasir berkata, walaupun pernah terlintas di fikirannya untuk membuka kedai membaiki kasut sendiri pada suatu hari, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kekangan kewangan.
“Bagaimanalah mahu buka kedai kalau pendapatan dalam sehari pun hanya cukup-cukup makan saja.
“Ketika mula-mula saya nak baiki kasut, saya hanya keluarkan modal RM50 untuk beli jarum, benang, alas tapak kasut dan gam,” katanya.
Menurutnya, dia mengenakan upah RM10 untuk menjahit kasut, jahit tapak kasut wanita (RM6) dan jahit tapak kasut lelaki (antara RM10 hingga RM15).
Tidak mampu sewa kedai
Sementara itu Zulkifli Buyung, 43 tahun yang berasal dari Padang Indonesia berkata, dia menjadi tukang kasut di Jalan Tar lebih dari 20 tahun.
Dia yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan dikurniakan empat orang anak berkata sewa kedai yang mahal dan meningkat setiap tahun menyebabkan dia memilih untuk berniaga di kaki lima.
“Sudah 20 tahun saya berniaga tetapi belum mampu untuk menyewa kedai walau isteri saya layak menyewa kedai kerana dia penduduk tempatan.
“Lagi satu jika saya sewa juga kedai mungkin perbelanjaan kami tidak stabil kerana anak-anak masih bersekolah dan kecil sekali mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Ditanya mengenai pendapatan seharian sebagai tukang kasut Zulkifli berkata dalam sehari dia mampu memperoleh RM150 sehari bergantung kepada rezeki.
“Pendapatan yang saya dapat ini akan digunakan untuk persekolahan anak-anak, belanja rumah serta sewa rumah,” katanya.
Menurutnya upah yang diambilnya untuk membaiki kasut adalah berpatutan dan tidak mengenakan kadar tinggi kepada pelanggannya.
"Kalau jahit kasut lelaki saya ambil upah RM15 hingga RM18 sepasang, manakala kasut wanita RM12," katanya.