BTC USD 63,928.5 Gold USD 4,469.33
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS

1728286514207.webp


Ringgit dibuka tinggi sedikit pada Isnin dalam persekitaran sentimen lemah berikutan peniaga menilai semula pendirian mereka terhadap kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengambil masa lebih lama untuk menurunkan kadar faedah, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2150/2240 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2240 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 102.572 mata. Begitu juga, nota Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun melonjak 22 mata asas kepada 3.92 peratus.

Beliau berkata peniaga sedang menilai semula pendirian mereka mengenai langkah Rizab Persekutuan AS seterusnya berdasarkan kemungkinan yang tinggi kepada senario pertumbuhan ekonomi lembap tanpa menghadapi risiko kemelesetan dalam masa terdekat.

“Data terkini menunjukkan sokongan yang positif terhadap dolar. Oleh itu, ringgit dijangka mencatatkan penurunan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data terkini AS menunjukkan ekonomi masih berkembang pada kadar yang baik, dengan senarai gaji bukan ladang (NFP) mencatatkan lebih tinggi daripada jangkaan kepada 254,000 pada September daripada 159,000 yang disemak semula pada Ogos berbanding 142,000 sebelum ini.

Kadar pengangguran menurun secara berperingkat kepada 4.1 peratus pada September manakala kadar penyertaan tenaga kerja kekal pada 62.7 peratus selama tiga bulan berturut-turut.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6239/6337 daripada 4.6484/6578 pada Jumaat lepas. Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8329/8391 daripada 2.8779/8839 sebelum ini dan naik berbanding pound kepada 5.5309/5427 daripada 5.5505/5617.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6406/6797 daripada 12.7549/7861, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2301/2373 daripada 3.2489/2557 pada Jumaat lepas.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 sejak Jumaat lepas dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.48/7.50 sebelum ini.

-- BERNAMA
 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi​

d27bec80802b9a9f6d2fc3bceba552cf668e1a055171c

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi sejajar dengan prestasi Wall Street yang positif selepas senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) pada September mengatasi jangkaan, menunjukkan ekonomi kekal kukuh.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.46 mata kepada 1,634.43 daripada 1,629.97 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.61 mata kepada 1,633.58.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 218 berbanding 123 manakala 239 kaunter kekal tidak berubah, 1,838 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 170.99 juta unit bernilai RM83.69 juta.

Senarai gaji bukan ladang AS meningkat sebanyak 254,000 pekerjaan pada bulan lepas selepas semakan semula kepada 159,000 pada Ogos; pengangguran susut kepada 4.1 peratus pada September.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peniaga memantau dan membeli saham teknologi terpilih berdasarkan sentimen positif Wall Street dan ringgit yang rendah sedikit.

“Selain itu, lonjakan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah dijangka meningkatkan minat pelabur terhadap sektor minyak dan gas serta perladangan,” katanya.

Menjelang Belanjawan 2025, katanya peniaga turut dijangka melabur dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot dua sen kepada RM10.48 dan RM14.26. CIMB berkurangan satu sen kepada RM7.19 manakala Public Bank menambah empat sen kepada RM4.57 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.25.

Daripada kaunter aktif, OCR Group merosot setengah sen kepada tiga sen manakala Velesto Energy meningkat satu sen kepada 21.5 sen, 99 Speed Mart menambah enam sen kepada RM2.35, Capital A naik 1.5 sen kepada 88 sen dan Sanichi tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 38.08 mata kepada 12,247.57, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 47.27 mata kepada 12,161.48, Indeks FBMT 100 menambah 36.60 mata kepada 11,937.17, Indeks FBM 70 menokok 68.35 mata kepada 17,354.76 dan Indeks FBM ACE naik 16.33 mata kepada 5,125.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 8.72 mata kepada 19,199.40, Indeks Tenaga naik 12.49 mata kepada 905.17, Indeks Perladangan menokok 21.96 mata kepada 7,207.74 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.24 mata kepada 176.34.

-- BERNAMA
 
Back
Top
Log in Register