BTC USD 62,626.1 Gold USD 4,442.69
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Rezeki yang tiada terhitung

putra_99

Active+ Member
Messages
2,881
Joined
Jan 23, 2008
Messages
2,881
Reaction score
789
Points
81
"Dimasukkannya malam kepada siang, siang kepada malam, didatangkannya yang hidup daripada yang mati, yang mati daripada yang hidup. DiberiNya rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya dengan tiada terhitung"(Al-Imran:27)

Malam ada pada kita dan siang pun ada pada kita. Begitu juga yang hidup itu ada pada diri kita dan yang mati pun ada pada diri kita. Kita boleh katakan malam yang dimaksudkan itu ialah badan; dan siang ialah diri. Kita boleh juga katakan "yang hidup" ialah Diri(hakikat diri yakni Ruh) dan "yang mati" ialah badan. Ini adalah kerana malam itu dihubungkan dengan sesuatu yang gelap. Dan gelap itu pula dirujuk kepada sesuatu yang tidak nampak. Tidak ada sesuatu yang paling tidak nampak di alam ini melainkan sesuatu yang "adum". Dengan demikian badan itu dihubungkan dengan sesuatu yang adum. Kata Imam Ghazali ianya termasuk dalam golongan "Al-Kun Wal-Fasad" yang bemaksud suatu kejadian yang akan rosak dan binasa. Hakikatnya adalah adum atau mati. Perhatikanlah kata-katanya sebagaimana berikut;

Ketahuilah bahawa Allah Taala menjadikan manusia ini terdiri daripada dua suatu yang berbeza iaitu:

Jisim yang gelap, tebal, termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan (Al-Kun Wal-Fasad) yang tersusun, bersifat ketanahan yang tidak dapat melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
Jiwa Jauhari yang tunggal yang bercahaya, mencapai, bertindak lagi menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat (alat-alat dalam badan manusia baik yang bersifat ruhaniah seperti Ruh Haiwani, Ruh Tobie dan lain-lain atau bersifat jasmaniah seperti otak dan bahagian-bahagiannya dan lain-lainnya.

Siang dihubungkan dengan sesuatu yang cerah dan nampak kelihatan. Dalam pandangan hakikat, hanya Diri sahaja yang wujud. Selain daripadanya adalah adum dan gelap semata-mata kerana mereka adalah sentiasa binasa. Diri Yang Rahsia atau Jiwa Jauhari yang tunggal inilah merupakan sesuatu yang bercahaya dan mencapai.
Maka dengan itu orang yang diberi Tuhan rezeki yang tak terhitung banyaknya ialah mereka yang dapat mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan sebaliknya yang mati dari yang hidup. Bila siang muncul dari gelap malam, maka tebaran cahayanya menampakkan sesuatu yang sebelum ini terselindung atau samar-samar. Bila jiwa yang bercahaya ini terbit, maka mengenallah ia akan tiap-tiap hakikat yang wujud di alam ini.

Matahari siang munculnya silih berganti dengan gelap malam. Ini adalah satu ketentuan dan ketetapan Allah sebagai satu rahmat untuk sekelian alam. Sebaliknya, sekali bersinar matahari makrifat, cahayanya tidak akan terpadam lagi.

Namun demikian manakan mungkin difahami bahawa malam itu adalah isyarat kepada diri yang zhohir ini, manakan mungkin dimengertikan Diri yang hidup itu adalah hakikat kepada badan yang mati itu, dan manakan mungkin bercahaya matahari makrifat itu jika permukaannya penuh dengan tayangan gambar-gambar dunia.

- Bagaimana nak bercahaya hati itu yang gambar-gambar dunia bersimpang-siur dalam cermin hatinya;
- atau bagaimana akan berjalan kepada Allah yang kakinya masih tertambat dengan nafsu syahwat;
- atau betapa akan loba untuk masuk ke Hadirat Tuhan, sedangkan ia belum sucikan dari junub kelalaian;
- atau betapa bisa mengerti yang halus-halus dan rahsia, pada hal ia belum bertaubat dari kekeliruannya.


Diri yang sebenar adalah umpama siang yang terbit dari gelap malam. Dengan cahaya siang kita;

- Dapat melihat dengan jelas kesamaran bentuk pada waktu malam.
- Dapat melihat pelbagai cahaya yang indah-indah dan menawan,
- menikmati lunak kehijauan bukit-bukit dan gunung-ganang,
- menyapa kebiruan langit yang tinggi,
- merasai sejuknya pandangan pada air-air yang lesu mengalir.

Namun sayang, kita asyik terlalu berbimbangkan kepada sesuatu yang mati dan yang gelap. Maka gelaplah siang atau hati yang bercahaya itu.

- Dalam ibadat kita, kita masukkan gambar-gambar pahala dan balasan.
- Dalam kerjaya kita, kita masukkan gambar-gambar kebolehan dan keupayaan kita dalam memutuskan sesuatu.
- Semasa belajar kita datangkan rupa gambar-gambar dan tayangan sijil-sijil dan pengiktirafan makhluk.
- Dalam mengajar kita selitkan wajah-wajah riya' dan ujub diri.
- Dalam berwirid dan berzikir, kita bawakan juga pandangan-pandangan yang tidak sebenar.


Maka betapa akan bercahaya hati yang sebegini sibuk dan kalut dengan sesuatu yang gelap. Halakan pandangan ke Timur dengan meninggalkan Barat. Barulah kita akan dapat menemui matahari siang. Halakan pandangan anda kepada hakikat Diri anda nescaya akan menemui Dia Yang Bercahaya itu. Jika kita terus berlari ke Barat, selama-lamanya matahari Timur tidak akan muncul. Sebaliknya gelap dan gelap jua yang akan kita temui. Jika kita terus bermasghul dengan jasad ini, selama-lamanya untuk mencapai Diri Yang Bercahaya, Mencapai dan Bermakrifat itu tidak akan muncul.

Bila sudah gelap, maka yang terang akan jadi samar, yang berwarna akan nampak hitam, yang nyata tegak berdiri akan dikatakan terselindung. Oleh itu wahai diriku, halakan perjalananmu ke Timur dengan meninggalkan barat kerana hanya dengan jalan itu sahajalah engkau akan menemui cahaya siang. Halakan pengisian itu kepada Dirimu Yang Bercahaya itu dengan meninggalkan tabiat badan yang gelap itu. Hanya dengan itu mata hatimu akan bersinar bercahaya.

- Tinggalkan kepentingan dirimu.
- Buangkan bayangan-bayangan kehendak dan tadbirmu.
- Lontarkan jauh-jauh kebendaan yang kasar itu.


Tetapi;

- Masuklah ke dalam kepentingan agamamu.
- Datangkan bayangan-bayangan Jalal dan JamalNya.
- Dakaplah erat-erat keruhanian yang Lathif itu
 
Last edited:
agar bercahayalah hati itu dengan rupa-rupa dan kenyataan hakikat itu.

atau bagaimana akan berjalan kepada Allah yang kakinya masih tertambat dengan nafsu syahwat;

Orang yang tertambat manakan bisa berjalan. Kaki rasa seperti melangkah, tetapi sebenarnya melangkah pada tempat yang sama. Jauhlah terasa sudah perjalanan itu. Penat dan lelah kian terasa menghayung kaki dalam kegelapan malam itu. Namun, kakinya masih berpijak pada bumi yang sama itu juga. Dengan itu tiadalah boleh kembali ia kepada Musyahadah akan TuhanNya dengan segala pertambatan syahwatnya.

Jalan tabiat mesti ditinggalkan untuk menuju kepada Hadirat Al-Haq. Tabiat tidur, tabiat makan, tabiat minum, tabiat beristirahat, tabiat keselesaan, tabiat kesenangan, tabiat keuntungan, tabiat inginkan penghargaan, tabiat inginkan kemasyhuran, kemegahan, kemewahan, inginkan kedudukan walaupun sebagai seorang makhluk yang terlebih baik daripada anjing sekalipun, mesti dilepaskan. Barulah kaki itu akan berjalan ke Hadirat TuhanNya. Jika masih sayangkan semua itu, maka hemahmu(wahai diriku) tidaklah jauh bezanya dengan mereka yang berkaki empat itu, malah lebih dari itu lagi. Benarlah kata mereka yang Arif bahawa sengat tebuan atas badan yang luka itu terlebih mudah daripada sengat syahwat atas hati orang yang tawajjuh kepada Allah Taala.

atau betapa akan loba untuk masuk ke Hadirat Tuhan, sedangkan ia belum sucikan dari junub kelalaian;

Pintu ke tempat yang mulia itu sentiasa terbuka. Menanti akan ketibaan diri yang suci itu. Dengan memasuki Hadirat Tuhan itu, bererti terbukalah pandangan pada tiap-tiap waktu dengan melihat akan hakikat rahsia diri ini yang berada dalam Qudrat dan IradatNya. Diri berada dalam pandangan yang melepasi alam-alam benda yang kasar kepada alam-alam tinggi; yang membukakan hijab antaranya dengan Tuhan. Sentiasa tersyuhud kepada A'yan Saabitah di mana dimaklumi dirinya dan yang lain-lainnya adalah sudah tetap Qadim bersama dengan Ilmu Allah Yang Qadim itu. Maka selama pandangan itu tetap kepada yang demikian itu, maka di Hadirat Tuhanlah ia; dan apabila berpaling pandangan ia daripada pandangan itu, maka keluarlah ia daripada Hadirat TuhanNya. Hanya yang suci dan bersih sahaja bisa beribadat dalam masjid. Yang berhadas besar tidak harus berada di situ. Sesungguhnya Hadirat Ilahiyyah itu Maha Suci dan tidak akan masuk sesuatu kepadanya, melainkan yang suci.

atau betapa bisa mengerti yang halus-halus dan rahsia, pada hal ia belum bertaubat dari kekeliruannya.

Banyak yang terkeliru bila mata melihat kepada sesuatu yang samar atau yang kelam. Tidak kurang pula ramai yang tergelincir bila berjalan di dalam gelap. Rahsia yang seni-seni dan halus-halus di sebalik kehijaun pokok itu tidak bisa dimengerti melainkan pada pandangan yang nampak yakin itu adalah sarang lebah yang di dalamnya terdapat madu. Orang yang tidak terkeliru boleh membezakan antara sarang lebah dan sarang tebuan. Sebaliknya orang yang terkeliru pula bermatian-matian menganggap pemandu itulah yang cuai kerana melanggar mati anak dan isterinya.

- Kita katakan itu hidup, tetapi dia anggap yang itu mati.
- Kita katakan itu mati, tetapi dia anggap ianya hidup.
- Kita katakan itu cuma bayang-bayang, tetapi disangkanya itulah ain zatnya.
- Kita katakan api tidak ada kuasa untuk membakar, ditunjukkan nasi yang mendidih sedang dibakar api.

Bertaubatlah dari kekeliruan dan kesalahan itu. Angkatkan pandangan dari bumi tempat lupa kepada syurga tempat jaga. Perhatikan Allah itu di mana-mana sahaja kau hadapkan pandanganmu. Dan bagaimana boleh bertaubat orang yang sentiasa ditawan oleh syahwatnya Dengan itu keluarkan yang hidup daripada yang mati dan keluarkan yang mati daripada yang hidup untuk persediaan menerima rezeki yang tiada terhitung banyaknya.

"Qalbu tidak menghendaki apa-apa selain daripada ilmu dan tidak gemarkan sesuatupun selain daripada ilmu. Ia belajar dan belajar sepanjang usianya. Ia menghiasi dirinya dengan ilmu dalam seluruh zaman hingga waktu bercerainya dari badan. Jika ia menerima sesuatu yang lain daripada ilmu, maka penerimaannya ini cuma untuk kepentingan badan, bukan untuk kepentingan dirinya dan kecintaan asalnya" (Imam Ghazali r.a).

Allahu A'lam
 
Last edited:
Back
Top
Log in Register