kopirait
CG Top Poster Club

- Messages
- 49,280
- Joined
- Apr 18, 2010
- Messages
- 49,280
- Reaction score
- 5,428
- Points
- 486
PASIR MAS: Idea seorang pemuda mengubah ruang tamunya menjadi studio mini untuk rakaman gambar raya yang pada awalnya sekadar 'suka-suka', akhirnya menjadi rezeki yang memberi pendapatan lumayan buatnya sepanjang Ramadan.
Muhammad Najmuddin Abdul Majid, 30, berkata dia dan isteri, Nur Hidayatul Adni, 30, hampir setiap tahun merakam gambar raya bersama keluarga di rumah memandangkan dia mahir dalam bidang fotografi.
"Saya menawarkan caj serendah RM85 untuk satu slot rakaman yang mengambil masa selama 25 minit dan caj boleh menjadi lebih mahal jika pelanggan mahu bergambar dalam masa yang lebih lama atau membabitkan ramai ahli keluarga.
"Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya merakam gambar raya untuk pelanggan dan ternyata ia memberi suatu rasa yang berlainan apabila dapat melihat kegembiraan yang ada dalam sebuah keluarga," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Repek, di sini.
Dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Persuratan Melayu (Sastera) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengakui pendapatan yang diperoleh daripada studio mini itu di luar jangkaan dan akan digunakan sebaiknya untuk keluarga.
"Alhamdulillah, dengan bermodalkan RM400 sahaja untuk membeli beberapa perhiasan studio, kini saya memperoleh rezeki berlipat kali ganda. Saya hanya membuat penambahan dengan membeli bakul, kerusi rotan, pelita, pasu dan bunga manakala yang selebihnya guna pakai yang sedia ada di rumah.
"Tambahan pula, di Kelantan tidak ramai yang menyediakan studio untuk merakam foto raya. Justeru, saya guna peluang ini untuk mencari wang sampingan sepanjang Ramadan.
"Setakat ini, pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang saya tawarkan selain teruja menerima gambar yang siap disunting untuk mereka simpan sebagai kenangan sempena Hari Raya tahun ini," katanya.
Muhammad Najmuddin berkata dia turut membuka lagu raya sepanjang proses rakaman selain sentiasa membantu pelanggan cara bergaya di hadapan kamera agar mereka tidak berasa janggal, sekali gus menghasilkan gambar yang terbaik.