| BMU - Profil Pemain |
Siapakah Rasmus Hojlund dan apakah yang boleh beliau tawarankan untuk United untuk bolasepak Inggeris?
Rasmus Winther Hojlund, lahir di Hørsholm, Copenhagen, ialah penyerang berusia 20 tahun yang bermain untuk Atalanta dalam Serie A musim lalu dan pasukan kebangsaan Denmark (6 penampilan, 3 gol dalam 2023). Hojlund memulakan karier profesionalnya bersama kelab Denmark, Copenhagen selepas mempamerkan aksi cemerlang di bawah 19 tahun mereka. Terdahulu, beliau telah beraksi untuk skuad bola sepak remaja untuk HUI (Hørsholm-Usserød Idrætsklub) seawal usia 9 tahun dan Brøndby (12 tahun), sebelum menyertai skuad muda Copenhagen.
Penyerang Denmark berkaki kidal itu menjaringkan 5 gol dalam 32 penampilan untuk Copenhagen sebelum menyertai kelab Austria, Sturm Graz pada 2022. Kurang satu tahun di Austria, beliau kemudiannya menarik minat Atalanta dan dibida pada harga £15 juta pada musim panas lalu. Perpindahannya ke Itali dilakukan selepas beliau meledak 12 gol dan memberikan 4 bantuan gol dalam hanya 21 perlawanan untuk Sturm Graz.
Pada musim sulungnya untuk Atalanta, Hojlund telah menjaringkan 7 gol dan 2 bantuan gol dalam 21 perlawanan dan terbukti menjadi pemain penting untuk Gian Piero Gasperini. Hojlund juga berasal dari keluarga pemain bola sepak. Bapanya, Anders Höjlund aktif bermain bola sepak sejak tahun 1990 sehingga bersara pada tahun 2003. Dua saudara kembarnya, Emil dan Oscar, 18 tahun, kedua-duanya juga adalah pemain bola sepak semasa Copenhagen.
Apabila ditanya tentang siapakah pemain yang mempunyai permainan seperti Hojlund, bekas pemain Itali, Antonio Cassano berkata: "Jika anda berfikir tentang siapa yang menyerupai permainan seperti beliau, ternyata Haaland pantas terlintas di fikiran, tetapi saya lebih sukakan Hojlund berbanding Haaland." Perbandingan dengan penyerang Manchester City itu juga telah ditonjolkan oleh jurulatih Atalanta, Gasperini. "Ciri-ciri yan ada padanya sangat serupa (dengan Haaland), terutamanya dalam pergerakan lariannya, " kata Gasperini.
"Beliau seorang pemain yang sangat pantas, beliau melakukan 100 meter dalam masa kurang daripada 11 saat. Untuk ketinggiannya, beliau mempunyai pusat graviti yang rendah dan kekerapan langkah yang luar biasa. Saya yakin beliau akan mempunyai kerjaya yang hebat. Dari segi teknikal, beliau sentiasa menunjukkan perkara yang berbeza dan lebih baik".
Sebelum Paris Saint Germain, Arsenal di bawah kendalian Mikael Arteta dan Edu juga pernah hampir untuk membawa masuk Hojlund selain pernah diintai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Kapten Atalanta, Rafael Toloi juga memuji penyerang Denmark itu dalam wawancara beliau musim lalu: "Hojlund adalah bakat muda yang hebat, memiliki kekuatan dari segi fizikal dan dengan kelajuan yang hebat. Beliau mempunyai segala yang beliau perlukan untuk menjadi pemain hebat dan bekerja dengan jurulatih yang betul dan dengan pasukan yang betul."