combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,197
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,197
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Puteri Wangsa, Machap, Pasir Raja Antara Kerusi Tumpuan PRN Johor
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) bersalaman bersama calon Pakatan Harapan (PH) Nor Hafiz Roslan selepas pengumuman pencalonan di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Dewan Muafakat, Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Simpang Renggam.
Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula hari ini dijangka tertumpu kepada beberapa ‘kerusi panas’ membabitkan calon berprofil tinggi, penyandang serta kemunculan muka lama yang berpotensi mempengaruhi keputusan keseluruhan pada hari pengundian 11 Julai ini.
Antara paling mencuri perhatian ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap apabila Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga seorang peguam Nur Hafiz Roslan.
Kawasan yang mempunyai 35,206 pemilih berdaftar itu dianggap sebagai medan menguji penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Onn Hafiz selepas empat tahun menerajui pentadbiran negeri.
Turut menjadi perhatian ialah DUN Puteri Wangsa yang menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mewakili PH berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia - Bersama), Rashifa Al Junied (Parti Ikatan Demokratik Malaysia - MUDA) dan calon Bebas Wang Wee Siong.
Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia merupakan antara kerusi terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit pada PRN kali ini.
Di utara Johor pula, DUN Bukit Kepong dijangka menyaksikan saingan sengit apabila bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan calon BN Ahmad Syar’e Yusof dan calon PH C. Subramani.
Pertembungan tiga penjuru di kerusi yang mempunyai 37,683 pengundi itu disifatkan sebagai antara ujian terbesar buat PN.
Bagi DUN Permas, Parti Amanah Negara (Amanah) mencipta kelainan apabila buat pertama kali mempertaruhkan calon berbangsa Cina, Sharon Teo Siew Hui, dalam pertandingan empat penjuru membabitkan Baharudin Mohamed Taib (BN), T. Vela (PN) dan Dr Zamil Najwah Arbain daripada Bersama.
Kemunculan semula bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja turut menjadi antara tarikan utama PRN Johor.