ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Peserta Program Sentuhan Ilmu Petronas bergambar kenangan semasa Majlis Perasmian Penutup Kem Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN 16 Ogos - Murid yang terpilih mengikuti Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Sanctuary Resort di sini bertuah kerana berpeluang menyertai program murni itu yang bertujuan membantu mereka dari keluarga kurang berkemampuan meningkatkan prestasi pembelajaran dan sahsiah diri.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Mansor Ismail berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) yang diusahakan Petronas secara berterusan itu dapat memberi motivasi kepada peserta untuk meningkatkan tahap keyakinan dalam menghadapi peperiksaan seterusnya mendapat keputusan cemerlang.
“Sokongan dan komitmen ibu bapa dan guru juga menjadi pembakar semangat kepada peserta mencipta kejayaan serta dapat melahirkan modal insan yang pakar dalam setiap bidang diceburi.
“Murid seharusnya memanfaatkan peluang terbaik ini untuk memperbaiki kekurangan diri kerana tidak semua diberi peluang untuk menyertai PSIP,” katanya dalam majlis perasmian penutup kem motivasi itu hari ini.
Yang hadir sama Pengurus Jabatan Perhubungan Awam Petronas Wilayah Pantai Timur, Azami Abdullah.
Seramai 165 peserta di bawah PSIP menamatkan kem motivasi tahunan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tersebut.
Peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dari lapan sekolah angkat Petronas di sekitar Pahang dan Terengganu yang kurang berkemampuan dan tergolong dalam kategori harapan lulus yang dibantu setiap tahun.
Program bersepadu anjuran Petronas bersama Kumpulan Utusan menerusi akhbar Tutor itu memberi penekanan kepada peningkatan asas akademik pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta pembentukan peribadi.
Program turut disusuli sesi motivasi bersama komandan program, Dr. Ismail Zain yang juga penasihat pendidikan Utusan Malaysia tentang potensi diri, ciri pelajar bestari, pengurusan diri, emosi dan lain-lain.
Mansor turut melahirkan penghargaan kepada syarikat petroleum utama negara itu kerana banyak menyumbang bakti terutama terhadap pembangunan sektor pendidikan melalui PSIP.
Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paka, Terengganu, Aslinda A. Aziz, 12, berkata, pelbagai pengalaman berharga diperoleh melalui program PSIP yang membuatkannya lebih bersemangat untuk menghadapi UPSR September ini.
“Saya bersyukur kerana terpilih menghadiri kem motivasi ini dan akan membuktikan bahawa mereka yang datang dari keluarga kurang berkemampuan mampu menjadi insan cemerlang dan mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Bagi pelajar SK Seri Gelugor, Kerteh, Mohd. Zharfan Nazri, 12, selain dapat mengenali ramai rakan dari sekolah berlainan, kem motivasi UPSR itu menyuntik semangatnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
“Saya akan manfaatkan sepenuhnya setiap tip dan ilmu yang dicurahkan oleh tenaga pengajar kepada kami sepanjang program ini berlangsung dan berharap dapat mencapai 5A dalam peperiksaan UPSR nanti,” katanya.