Bagi memastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, hendaklah kita menjaga adab-adab dan tata tertib ketika berdoa, di antaranya ialah hendaklah ia dalam keadaan berwuduk, memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata'ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika berdoa juga disunatkan menghadap kiblat dengan suara yang rendah sambil menadah dua tangan. Apa yang penting, dalam berdoa hendaklah bersungguh-sungguh dan khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan.
Selain itu, jika kita tidak mahu doa kita ditolak, "kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah adalah daripada sumber yang halal". Dalam sebuah kisah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan tentang seorang lelaki yang telah melalui suatu perjalanan yang jauh, lelaki tersebut dalam keadaan kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan kedua-dua tangannya ke arah langit untuk berdua seraya berkata : 'Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanan lelaki itu dari sumber yang haram, minumannya dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan ia makan makanan yang haram, lalu bagaimanakah doanya akan diterima?'.
Doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang banyak dan sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar. Selain dari itu, doa juga boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada (ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis Baginda maksudnya :
"Dari Sulaiman katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan". (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
http://www.youtube.com/watch?v=jaJjY3Zi4vM