combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Presiden ANGKASA Ketuai Delegasi Malaysia Ke Persidangan ICA
Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bakal bersaing dengan 23 calon dari seluruh dunia, bagi merebut 15 kerusi Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) untuk penggal 2026-2030.
ANGKASA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu, dijadualkan berlangsung pada 15 Sept sempena ICA Global Conference and Assemblies 2026 di Panama dan pencalonan Abdul Fattah merupakan usaha untuk mempertahankan kedudukan Malaysia, dalam barisan kepimpinan tertinggi ICA.
“Kerusi Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2022-2026 disandang Naib Presiden ANGKASA Datuk Kamarudin Ismail,” menurut kenyataan itu.
Abdul Fattah kini mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke persidangan yang berlangsung dari 13 hingga 18 Sept itu, selain dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan bersemuka dengan pemimpin badan puncak koperasi antarabangsa di Panama.
Persidangan bertemakan Building Bridges: Cooperative Contributions for a Peaceful World itu, dijangka menghimpunkan lebih 850 delegasi dari seluruh dunia terdiri daripada pemimpin koperasi, pengamal dan pembuat dasar serta rakan kerjasama.
Persidangan itu menjadi platform untuk membincangkan hala tuju, cabaran serta potensi gerakan koperasi dalam mendepani perubahan landskap ekonomi dunia.
Menurut kenyataan itu, penglibatan ANGKASA dalam perhimpunan tertinggi gerakan koperasi dunia tersebut, penting bagi memastikan suara dan kepentingan koperasi Malaysia terus mendapat tempat dalam pembentukan agenda serta hala tuju gerakan koperasi antarabangsa.
Platform itu juga membuka peluang untuk memperluas jaringan, meneroka kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta berkongsi amalan terbaik dengan organisasi koperasi dari pelbagai negara.
“Antara program yang akan disertai ialah Perhimpunan Agung ICAO, sesi jaringan bersama dengan anggota ICA dan calon Ahli Lembaga ICA, Mesyuarat Ahli Lembaga ICA serta Perhimpunan Agung ICA yang melibatkan pemilihan Presiden dan Ahli Lembaga ICA bagi penggal baharu.