Amaran RvP
Manchester: Robin van Persie menggesa rakan sepasukan di Manchester United supaya tidak terpedaya dengan kelebihan tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris, menjelang pertembungan menentang Liverpool, malam ini.
United bakal berdepan musuh lama mereka di Old Trafford dan kemenangan akan meletakkan mereka 10 mata di depan Manchester City yang turun menentang Arsenal selepas itu.
Pemain Belanda itu yang menjaringkan 16 gol liga musim ini selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £24 juta (RM116.8 juta), menuntut pasukannya kekal fokus.
“Hanya tujuh mata, kami perlu tumpu pada setiap perlawanan. Kami perlu harungi separuh kedua liga dan berdepan semua pasukan sekali lagi,” kata Van Persie.
“Semuanya belum diputuskan. Kami kini turun menentang Liverpool dan ia perlawanan yang besar.” Van Persie turut memberi amaran supaya United tidak mengambil mudah kunjungan skuad Brendan Rodgers yang ketinggalan 21 mata selepas menempuhi permulaan kempen yang hambar musim ini.
“Kami perlu memberi tumpuan meraih tiga mata, pertembungan ini sentiasa sengit,” kata Van Persie yang menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi membolehkan United seri 2-2 dengan West Ham pada aksi Piala FA hujung minggu lalu.