BTC USD 75,848.5 Gold USD 4,349.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pintas Utama Sumbang Komputer Riba, Perkasa Pendidikan Digital Anak Asnaf

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,138
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,138
Reaction score
346
Points
141

Pintas Utama Sumbang Komputer Riba, Perkasa Pendidikan Digital Anak Asnaf​

367093901dfa87e09a5ca3124c18a3b36a96886fb05e2

75c5235eb58a34896cf39d65700d5fab6a96881188d3b

Ketua Pegawai Operasi MAIPk Wan Maizura Wan Zahari (tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar yang hadir pada Penyampaian Komputer Riba Program Kerjasama Wakalah sempena Seminar kecemerlangan SPM 2026 - Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP), Zon Tengah di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama Rohizan Omar (tiga, kiri).

- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Pintas Utama Sdn Bhd menyalurkan sumbangan komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar daripada keluarga yang memerlukan bagi membantu memperkasakan pendidikan dan pembelajaran digital golongan berkenaan.

Sumbangan itu disalurkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melalui Program Kerjasama Wakalah dalam satu seminar kecemerlangan SPM 2026 - Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah, yang berlangsung di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed berkata serahan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha syarikat membantu melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, khususnya memastikan  pelajar mempunyai akses kepada kemudahan teknologi dan pembelajaran digital.

“Kami percaya akses kepada pendidikan terbaik ialah peluang yang sewajarnya diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi besar untuk mencorakkan masa hadapan negara.

“Dalam persekitaran pendidikan hari ini, komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital mereka,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan majlis penyerahan itu.

Penyerahan sumbangan 50 unit komputer riba itu disempurnakan wakil Pintas Utama dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Wan Maizura Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama Rohizan Omar.

Penyerahan berkenaan kesinambungan daripada pelaksanaan inisiatif Pintas Utama di Perak sebelum ini, yang telah menyumbangkan 30 unit komputer riba kepada pelajar dalam satu program di Manjung pada 26 Ogos lepas.

Sehari sebelum itu, Pintas Utama turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada lebih 80 orang asnaf di Masjid Al-Ikhwan, Tanjong Malim, Perak, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan.

Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen Pintas Utama dalam memastikan manfaat daripada pelaksanaan wakalah zakat dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara berkesan, sekali gus membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang mencukupi.

 
Back
Top
Log in Register