ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KEREDUPAN diiringi rintik-rintik hujan menyambut penulis sewaktu tiba di kediaman lot tepi rumah teres dua tingkat yang terletak di Templer Resort, Rawang, Selangor.
Sungguh mendamaikan apabila meniti laluan jambatan kecil yang di bawahnya berenang berpuluh-puluh ekor ikan kap Jepun, ikan kaloi dan ikan arowana yang telah dipelihara sejak membeli rumah ini kira-kira 10 tahun dahulu.
Kolam kecil dengan aliran air daripada binaan batu-batu sungai yang dibuat di tepi tembok menjadikan sesiapa sahaja yang datang ke rumah milik Aminah Md. Jan, 49, dan suami, Amidi Abd. Malek, 50, mahu berada lama di situ memerhatikan ikan-ikan berenang.
Walaupun pada asalnya, iaitu semasa membeli rumah ini, binaan keseluruhannya dibuat daripada batu namun pasangan suami isteri ini memilih untuk menerapkan elemen kayu semasa membuat pengubahsuaian.
“Kami membuat ubah suai rumah ini secara berperingkat dan bukan sekali gus. Jika dibuat berperingkat, kita boleh mengubah pelan asal jika didapati tidak praktikal atau tidak cantik.
“Banyak kerja ubah suai yang dilakukan di rumah ini cuma kami mengekalkan lantai kerana berpendapat lantai marmar ini masih cantik dan membazir pula jika mahu dibuang.
“Bahan-bahan yang digunakan dalam ubah suai seperti batu-batu sungai dan kayu juga kami cari sendiri dan membeli dari beberapa buah kedai selepas kami membuat tinjauan.
“ Ini kerana kami mahu benar-benar berpuas hati dan tidak mahu berasa terkilan atau tidak seronok apabila rumah siap.
“Selain itu, kami juga mendapatkan idea mengenai rekaan daripada majalah dan rumah-rumah yang pernah kami lihat di beberapa tempat,” kata Aminah yang bekerja sebagai Pengurus Akaun di Kelab Golf Templer, Rawang.
Menurut ibu kepada empat orang anak yang berusia 23, 22, 17, dan 14 tahun ini lagi, hiasan dalaman rumah miliknya itu mengambil kira daripada idea suami dan anak-anak juga kerana mahukan setiap penghuni rumah berasa selesa.
Memilih set sofa kelabu gelap untuk ruang tamu, warna krim yang dipilih untuk langsir membuatkan suasana di ruang ini nampak harmoni. Tidak dipenuhi dengan banyak barang, kelihatan cuma sebuah kerusi urut dan sebuah piano yang diletakkan berhadapan dengan set sofa tersebut.
Sebuah para hiasan pasang siap daripada kayu yang dibuat berhadapan dengan pintu masuk utama tersusun perhiasan yang dibeli semasa bercuti ke luar negara. Banyak negara yang pernah dilawati dan ini dapat dilihat pada bingkai peta dunia yang digantung di tepi pintu masuk. Di antaranya ialah negara-negara Eropah termasuk United Kingdom, Peranchis, Switzerland juga Maldives termasuk beberapa tempat seperti Phuket (Thailand), Sapporo (Jepun), Beijing (China) dan Rom.
Di tepi bingkai peta dunia ini pula dapat dilihat sebuah almari kaca perhiasan yang tersusun banyak replika kapal terbang milik penerbangan antarabangsa yang dibeli semasa bercuti ke luar negara pada setiap tahun.
Di sebelah kanan pintu utama dibuat sebuah lagi ruang untuk keluarga berehat bersama-sama sambil menonton televisyen. Ruang ini lebih santai dan menyeronokkan kanak-kanak kerana di kiri kanan atas kabinet televisyen tersusun berpuluh patung beruang dan sebagainya yang menjadi koleksi anak-anak semasa kecil.
Tambahnya, ruang yang paling disukai ialah ruang makan utama kerana berhadapan dengan set meja makan 10 kerusi ini diletakkan sebuah akuarium besar yang di dalamnya berenang-renang ikan-ikan kecil pelbagai warna di celah-celah batu-batu karang.
“Sekali-sekala apabila keluarga berkumpul atau ada saudara-mara yang datang ke rumah, di sinilah tempat kegemaran kerana masa makan kami tidak membosankan melihat ikan-ikan di dalam akuarium ini,” kata Aminah.