ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
LEWIS HAMILTON (empat dari kiri) bergambar bersama pelajar dari Akademi Laut Malaysia (Alam) yang memberi tabik hormat kepada jaguh pemandu F1 berkenaan di Pusat Penapisan Petronas di Sungai Udang, Melaka pada 24 Mac lalu.
SIDANG akhbar eksklusif juara dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton bersama beberapa petugas media cetak dan televisyen di Pusat Penapisan Petronas Sungai Udang, Melaka baru-baru ini baru sahaja bermula kira-kira dua minit.
Namun sidang akhbar itu terganggu apabila tiba-tiba nada dering telefon bimbit seorang jurugambar bebas berbunyi lagu, Awak Kat Mana dendangan Taufik Batisah menyebabkan pelumba dari Britain itu terhenti memberikan kenyataan.
Mungkin panik, pemilik telefon bimbit itu tidak dapat memberhentikan deringan tersebut serta-merta. Suasana sunyi beberapa saat, lalu bagi menceriakan keadaan sambil tersenyum, Hamilton menegur, “Nice ringtone buddy”, disusuli tawa para petugas media yang berada dalam bilik sidang akhbar itu.
Hamilton muncul di Melaka pada 24 Mac lalu untuk menghadiri program All About Youth di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh beberapa hari sebelum penyertaannya dalam kejohanan F1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Beliau didatangkan khas untuk menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas, meluangkan masa beramah mesra dengan 340 pelajar dari 15 buah sekolah menengah di Melaka dan dua buah sekolah dari Pagoh, Johor yang menyertai program tersebut.
All About Youth adalah program tahun kedua anjuran Petronas bagi mendedahkan para pelajar dengan pelbagai aktiviti yang menggalakkan kepimpinan dan kerja berpasukan.
Menerusi program itu, Petronas menyediakan peruntukan RM2,000 kepada setiap sekolah yang turut serta untuk menyiapkan projek khas bagi membantu sama ada sekolah atau komuniti dalam tempoh enam minggu.
Apa yang menarik, kemunculan Hamilton pada program bermula pukul 10 pagi itu ‘dirahsiakan’ oleh pihak Petronas bertujuan memberi kejutan kepada pelajar terlibat.
Para pelajar dikumpulkan dalam sebuah dewan di MITC dan ketibaan Hamilton pada pukul 10.30 pagi benar-benar mengejutkan semua yang ada di dalam dewan itu. Keadaan itu menyebabkan dewan riuh dengan sorakan pelajar sebelum mereka diminta meneruskan aktiviti menyiapkan replika Menara Berkembar Petronas menggunakan akhbar dan alat tulis.
Walaupun sibuk dengan persiapan kejohanan Grand Prix Malaysia, kehadiran Hamilton biarpun singkat iaitu kira-kira setengah jam untuk mengambil gambar dan selfie dengan para pelajar di program itu, cukup bermakna.
Ditanya kehadirannya dalam program CSR seperti itu, Hamilton berkata, beliau berbangga apabila diberi peluang menjelajah ke beberapa lokasi menarik di negara ini.
“Saya bangga dapat bekerja dengan Petronas yang memberi saya peluang untuk berada di negara yang cantik seperti Malaysia ini. Penyertaan saya dalam program sebegini juga memberi ruang untuk saya menasihatkan pelajar yang turut serta bahawa jika mahu setiap impian tercapai, jangan sesekali membenarkan orang lain menghalangnya dan mengatakan kita akan gagal. Teruskan usaha dengan gigih sehingga berjaya,” katanya.
Hamilton memuji program CSR yang dianjurkan Petronas ini kerana mendedahkan pelajar dengan semangat berpasukan sebagaimana diperlukan oleh pasukan F1 setiap kali perlumbaan. Baginya, beliau dapat berkongsi cerita tersebut dengan pelajar, selain pengalamannya melalui kepayahan sebelum mendaki tangga kejayaan.
“Pada usia muda inilah para pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti seperti ini bagi membentuk keyakinan diri. Saya sempat berkongsi pengalaman bermula dari bawah, bagaimana saya berusaha untuk mencapai kejayaan kerana saya bukannya daripada keluarga yang mewah,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Norliza Kamaruddin berkata, semua pelajar dan guru pengiring yang menghadiri program tersebut disifatkan sebagai bertuah kerana dapat berjumpa dengan pelumba dunia nombor satu yang mewakili pasukan Petronas.
“Memandangkan program All About Youth kali ini diadakan di Melaka beberapa hari sebelum berlangsung kejohanan F1, dan jaraknya dari Kuala Lumpur tidak jauh, Petronas membawa Hamilton untuk bertemu dengan peserta.
“Malah Hamilton sendiri berminat mengadakan pertemuan dengan pelajar sekolah kerana beliau begitu memberi sokongan terhadap apa jua program CSR yang dijalankan oleh Petronas,” katanya.
Hamilton turut dibawa menghadiri Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya, Petronas StreetSmart anjuran Petronas Dagangan Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Tanjung ****** sebelum melawat Pusat Penapisan Petronas di Sungai Udang.
Ternyata walaupun kehadirannya di Melaka cukup singkat, iaitu secara kebetulan ketika berlangsung kejohanan F1 Grand Prix Malaysia, Hamilton menunjukkan contoh bahawa walau sesibuk mana sekali pun seseorang itu, tidak ada alasan tidak ada masa untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau selaku pelumba F1 nombor satu di dunia mampu melakukannya, kenapa tidak kita?