ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Fasiliti gas asli dan cecair terapung Petronas yang dibina di limbungan milik Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering di Okpo, Korea Selatan.
KUALA LUMPUR 10 April – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatatkan sejarah baharu dalam pembangunan fasiliti gas asli dan cecair (LNG) Terapungnya (PFLNG Satu) apabila merekodkan 12 juta pekerja sejam tanpa sebarang kerugian masa akibat kemalangan sejak projek itu dimulakan pada Mac 2012.
Petronas berkata, bagi meraikan pencapaian tersebut, Hari Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) telah dianjurkan di limbungan milik Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME) di Okpo, Korea Selatan pada 7 April lalu.
Turut hadir ialah Naib Presiden Projek LNG Global Petronas, Adnan Zainol Abidin; Pengarah Projek PFLNG Satu, Hamzah Ahmad; Naib Presiden Operasi HSE Daewoo, HK Seo dan Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Technip Malaysia dan Brunei, Syed Feizal Syed Mohammad.
Jelas syarikat minyak negara itu, penganjuran itu juga sebagai usaha menanam budaya keselamatan dalam kalangan semua individu yang terlibat dalam projek tersebut.
Naib Presiden dan Pengarah Usaha Projek LNG Domestik Petronas, Datuk Abdullah Karim berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang terlibat dalam projek tersebut atas ketabahan dan dedikasi merea sehingga mencatatkan prestasi cemerlang itu.
“Keselamatan merupakan aspek penting di dalam segenap perniagaan kami yang perlu diberikan keutamaan. Penekanan ini perlu dalam menjayakan PFLNG Satu untuk menjadi fasiliti LNG terapung pertama di dunia yang akan beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
PFLNG Satu akan diletakkan di lapangan gas Kanowit, iaitu 180 kilometer luar persisir Sarawak dan dijangka menghasilkan 1.2 juta tan LNG setahun.
Tambah Petronas, fasiliti tersebut akan memainkan peranan penting kepada syarikat itu untuk mengusahakan rizab gas negara khususnya yang terletak di kawasan terpencil, yang dianggap tidak ekonomik untuk diusahakan dengan kaedah konvensional. Malah, pengeluaran di rizab gas itu adalah bagi memenuhi permintaan gas yang meningkat.