ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Laporan muka depan Sinar Harian berkenaan hospital sesak pada 28 April lalu.
SHAH ALAM - Bilangan pesakit yang meningkat di Lembah Klang dengan kepadatan penduduk seramai 5.6 juta di Selangor menjadi faktor mendorong berlakunya kesesakan di hospital kerajaan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr S Balachandran berkata, di negeri ini juga hanya terdapat 11 hospital kerajaan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit yang ramai.
Merujuk kepada kesesakan yang dilaporkan di Hospital Kajang, beliau berkata, dakwaan wujudnya fenomena pesakit tidur di lantai dan bermalam di koridor (luar wad) adalah tidak benar.
"Memang diakui terdapat katil-katil tambahan di koridor dalam wad dan ia biasa berlaku demi menampung jumlah pesakit yang ramai.
"Bahkan katil kanvas kerap kali digunakan di hospital itu khususnya pada waktu kesesakan bagi menempatkan pesakit yang ramai dan hospital lain juga turut melalui perkara yang sama," katanya bagi menjawab isu laporan kesesakan hospital kerajaan dalam Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, apa yang berlaku di hospital itu tidak menjejaskan rawatan pesakit dalaman, bahkan kualiti rawatan sentiasa diutamakan.
"Bagi waris pesakit pula, kita sediakan dua tempat utama berdekatan bangunan wad empat tingkat hospital itu iaitu sebuah balai pelawat dan tempat duduk di hadapan bangunan wad empat tingkat tersebut.
"Kawasan ini jadi tempat menunggu waris dan ada kalanya waris tertidur masa menunggu," katanya.
Berikutan itu, katanya, pihak hospital telah mengemukakan pelbagai cadangan projek pembangunan semula bagi mengatasi perkara itu.
"Cadangan itu sudah terkandung dalam cadangan pembinaan sebuah Hospital Kajang yang baru sejak tahun 2010, termasuk cadangan pembinaan kompleks pelbagai guna meliputi pusat rawatan harian, wad-wad dan juga jabatan kecemasan yang telah dikemukakan pada Kementerian Kesihatan," katanya.
Berhubung kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pula, Balachandran berkata, apabila berlaku kedatangan pesakit yang ramai, pihak hospital akan menghantar pesakit yang telah distabilkan ke hospital berdekatan sama ada ke Hospital Banting dan Sungai Buloh.
"Beberapa klinik kesihatan di sekitar HTAR juga telah dilanjutkan waktu operasi hingga jam 10 malam. Ia adalah satu langkah bagi mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan," katanya.
Menurutnya, bagi pesakit warga asing yang mendapat rawatan di hospital itu juga akan dikenakan bayaran seperti yang telah ditetapkan dalam Surat Pekeliling Bahagian Kewangan Bilangan 1 2014: Garis Panduan Pelaksanaan Perintah F1 (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.
"Mereka dikehendaki bayar wang pendahuluan bagi kemasukan ke hospital itu melainkan jika mereka (pekerja asing) yang dilindungi oleh Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA)," katanya.
Beliau berkata, berbeza dengan situasi di Hospital Banting apabila kesesakan berlaku adalah semasa wabak denggi bermula Januari lalu.
"Kini keadaannya lebih terkawal dan bagi mengurangkan kesesakan, pihak hospital merancang untuk membina Kompleks Pembedahan baru dan wad tambahan yang mana ia telah dipersetujui oleh Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam semasa lawatan beliau ke Hospital Banting pada 8 Mac 2015 lalu," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, kesesakan yang berlaku ini juga dijangka dapat diatasi dengan kelulusan pembinaan Hospital Tanjong Karang yang baru dengan tambahan 150 katil.