oldtbone
Legendary Member

- Messages
- 17,323
- Joined
- May 25, 2012
- Messages
- 17,323
- Reaction score
- 3,695
- Points
- 191
PENGARAH Bomba JBPM Kelantan, Nazili Mahmood memeriksa perbarisan pada majlis tamat latihan kursus pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) siri 1/2018 di Pusat Latihan Negeri Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima sebanyak 170 panggilan berhubung ‘kehadiran’ ular manakala 190 untuk haiwan berbisa lain sepanjang tahun ini.
Pengarah Bomba JBPM Kelantan, Nazili Mahmood, berkata angka itu semakin meningkat dengan perubahan cuaca termasuk hujan berterusan kebelakangan ini yang menyebabkan reptilia itu masuk ke rumah selain kenderaan untuk berlindung.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus menghubungi pihak bomba sekiranya kediaman atau kenderaan mereka dimasuki ular dan pada masa sama mengawasi pergerakan reptilia itu sementara menunggu ketibaan bantuan.
Katanya, JBPM sentiasa bersedia membantu orang ramai yang ‘didatangi’ haiwan berbisa kerana anggotanya dilengkapi kepakaran menangkap reptilia berkenaan.
“Minggu lalu seramai 30 anggota dari semua balai bomba seluruh Kelantan menyertai kursus menangkap ular di Ibu Pejabat Bomba di Tunjong selama tiga hari.
“Mereka diajar teknik menangkap dan berdepan dengan ular serta mengenalpasti lokasi yang biasanya terdapat binatang berbisa itu,” katanya pada sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Terdahulu Nazili merasmikan majlis tamat latihan kursus pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) siri 1/2018.
Seramai 82 PBB menamatkan kursus selama 10 hari itu yang merangkumi aspek teori dan fizikal mengikut modul yang disediakan JBPM.
Nazili berkata, PBB itu nanti akan ditempatkan di tiga balai bomba baharu iaitu Balai Bomba Tok Bali (Pasir Puteh), Sungai Durian (Kuala Krai) dan Wakaf Bharu (Tumpat).
“Dengan penempatan PBB ini akan meningkatkan lagi penugasan dan masa tindakan semakin pantas semasa berlaku kecemasan,” katanya.
sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/12/504416/perubahan-cuaca-punca-ular-masuk-rumah
.