ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SEBAHAGIAN ahli yang menghadiri Persidangan Angkasa Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 31 Mac – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) memperkenalkan program sijil patuh syariah untuk dimanfaatkan oleh gerakan koperasi di seluruh negara khusus bagi pembiayaan pinjaman peribadi.
Pendekatan itu diambil selaras dengan pelancaran Indeks Syariah Malaysia oleh kerajaan pada Febuari lalu untuk dijadikan sebagai produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, bagi tujuan itu, pihaknya menyediakan sebanyak 133 produk pembiayaan di bawah koperasi kredit yang layak menerima sijil patuh syariah.
Menurut beliau, sebuah jawatankuasa kerja yang dianggotai pakar daripada Angkasa dan SIRIM Berhad juga telah ditubuhkan.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Angkasa Negeri Terengganu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Angkasa, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dan Kamarudin Ismail serta Pengurus Besar MyAngkasa Services Sdn. Bhd., Husnaidy Ibrahim.
Beliau menjelaskan, pihaknya telah melantik panel syariah yang diketuai oleh bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Mohd. Mokhtar Shafii.
“Kita ambil pendekatan ini (perkenalkan sijil patuh syariah) untuk mengetahui sejauh mana pelaksanaan syariah supaya selaras dengan apa yang disarankan kerajaan dalam pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia.
“Setakat ini kita ada 133 produk pembiayaan untuk menerima sijil patuh syariah yang kita nak perkenalkan kepada keperasi dalam konteks pembiayaan peribadi melibatkan hampir 200 buah koperasi,” katanya.
Abdul Fattah selanjutnya berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama SIRIM bagi membolehkan sijil patuh syariah yang dikeluarkan nanti akan dicop dengan logo SIRIM untuk diterima dan diperakui di peringkat antarabangsa.
“Jawatankuasa yang disertai wakil Angkasa dan SIRIM itu akan dapat mengkaji sijil itu agar diterima dan dinaik taraf. Kalau sebelum ini hanya diakui sah oleh Angkasa tapi kini telah diterima oleh pihak antarabangsa,” katanya.
Kata beliau, banyak koperasi dari pelbagai negara menyatakan minat mereka mengenai kewangan Islam selain produk halal yang dijamin selamat.