ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Malaysia komited merealisasikan hak–hak wanita di negara ini. Bagi mencapai matlamat ini, perubahan perlu dilakukan terhadap kerangka institusi dan perundangan sedia ada bagi menjaga, memelihara dan melindungi hak golongan itu di negara ini, sekali gus meningkatkan status mereka dalam semua sektor.
Di Malaysia, peranan dan status wanita telah mengalami perubahan yang ketara sejak lebih lima dekad yang lalu terutamanya dalam sektor sosial seperti pendidikan dan kesihatan. Walau bagaimanapun, perubahan yang sama tidak berlaku di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat terutamanya sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai awam (PLC) di Bursa Malaysia. Sehingga 31 Disember 2014, hanya terdapat 10.2 peratus wanita yang memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah PLC berbanding dengan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat menjelang tahun 2016 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada Jun 2011.
Matlamat untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor korporat telah pun dilaksanakan sebelum ini oleh negara-negara lain. Bagi mencapai matlamat ini, negara-negara seperti Perancis dan Itali melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif yang telah memperlihatkan kesan positif, manakala negara Norway, Sepanyol dan Australia pula menetapkan sasaran atau kuota sebagai satu langkah bagi meningkatkan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor korporat.
Beberapa laporan dan kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan bahawa pelantikan wanita di peringkat pembuat keputusan dapat meningkatkan prestasi sesuatu syarikat. Kajian yang dijalankan oleh Standard Chartered Bank pada tahun 2012 menunjukkan bahawa prestasi syarikat utama di Hang Seng Index yang mempunyai ahli lembaga pengarah wanita adalah lebih baik berbanding dengan syarikat yang tidak mempunyai barisan pengurusan sama.
Sejak pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2011 itu, kerajaan telah melaksanakan Program Pengarah Wanita sebagai satu langkah afirmatif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor korporat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Sebahagian daripada inisiatif di bawah program tersebut adalah penubuhan Kelab 30 % Malaysia yang dilancarkan secara rasminya oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
Kelab ini adalah berteraskan model Kelab 30 % United Kingdom yang ditubuhkan oleh Helena Morrisey. Kelab ini bukanlah satu syarikat, pertubuhan bukan kerajaan atau badan sukarela. Kelab tersebut tidak mempunyai struktur formal tetapi merupakan satu business led campaign.
Kelab tersebut dijangka dapat memacu kesaksamaan gender di peringkat pembuat keputusan dan meningkatkan bilangan ahli lembaga pengarah wanita di Malaysia pada masa hadapan. Struktur Kelab tersebut dijangka memberi fleksibiliti yang lebih dalam pendekatan dan operasinya. Malah, turut tidak terikat dengan sebarang kekangan atau mempunyai apa-apa implikasi undang-undang.
Kelab 30 % Malaysia akan dianggotai sekumpulan tokoh korporat dan pengerusi syarikat multinasional tempatan serta luar negara termasuk PLC dan bukan tersenarai awam. Mereka berperanan untuk memastikan lebih ramai wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat di negara ini.
Objektif Kelab 30 % Malaysia adalah:
Bergerak secara sukarela
Tidak menetapkan sebarang kuota
Memberi pengiktirafan kepada syarikat yang mencapai sasaran ditetapkan
Memberi tumpuan kepada peringkat pembuat keputusan dan juga peringkat eksekutif.
Kejayaan Kelab 30% tersebut yang bertindak sebagai fasilitator dan operasinya meliputi dalam serta luar negara adalah tertakluk kepada beberapa faktor seperti berikut:
Berkecuali
Bukan politik
Bukan komersial
DATUK SERI ROHANI ABDUL KARIM ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.