Maka Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan empat anasir pohon bangsanya itu pertama-pertama air, kedua tanah, ketiga angin, keempat api. Maka firman Allah ta’ala kepada Nur Muhammad, “Hai Nur Muhammad fikirlah engkau kepada angin itu ku jadikan zahir kelihatan”.
Maka Nur Muhammad pun pergilah kepada angin. Maka angin itu terlalu membesarkan dirinya. Maka kata Nur Muhammad “Assalamualaikum, hai angin”. Maka disahut oleh angin “Waalaikummussalam, hai Nur Muhammad yang amat bercahaya, siapalah engkau?”. Maka sahut Nur Muhammad, “Aku seorang hamba Allah dan engkau pun seorang hamba Allah”. Maka kata Nur Muhammad “Hai angin mengapa engkau pun seorang sangat membesarkan diri mu”. Maka sahut barang sekehendak ku. Maka kata Nur Muhammad kepada angin itu, “Sungguh pun engkau tiada kelihatan orang tetapi lihatlah oleh mu akan diri mu adakah bercela atau tiada”. Maka kata angin, “Apalah cela ku”. Maka kata Nur Muhammad, “Hai angin engkau itu lah hamba orang berlayaran”. Maka kata angin, “Hai Nur Muhammad yang bercahaya, engkau itu lah gerangan yang tiada bercela”. Maka kata Nur Muhammad, “Astarfirulallahhalazim, hamba ini pun sahaja bercela ada pun subhanahuwataala azzawajalla yang tiada bercela, asyadualla ilahaillallah wahdahu lasyarikalah waasyaduanna muhammadan abduhu warasuluh”. Maka kata angin, “Hai Nur Muhammad yang amat bercahaya telah percayalah aku akan di kau dan masuklah aku kepada agama Islam dan ajarlah aku kalimah syahadah”. Maka ajar oleh Nur Muhammad akan syahadah itu demikain bunyinya “Asyhadu an laa ilaaha illallahu waasyhadu anna Muhammadan Rasulullah”. Maka di ucap oleh angin yang demikain itu.
Maka Nur Muhammad pun pergilah kepada api. Maka dilihat oleh api kepada Nur Muhammad itu. Maka ia memohonkan dirinya sekalian alam dan gembiranya dan terlalu sangat membesarkan dirinya itu. Maka kata Nur Muhammad itu, “Assalamualaikum hai api”. Maka disahutlah api salamnya itu, “Waalaikummussalam ya Nur Muhammad amat bercahaya-cahaya, siapa engkau ini?”. Maka sahut Nur Muhammad, “Aku ini hamba Allah dan engkau pun seorang hamba Allah juga yang amat hina”. Maka kata Nur Muhammad “Api mengapa engkau gembira membesarkan diri mu terlalu sangat”. Maka kata api “Barang kehendak ku, aku berlaku akan”. Maka kata Nur Muhammad “Hai api yang hamba ini tiada boleh berlaku kehendak ini dilihat diri mu itu tiadakah bercela?,”. Maka kata api “Hai Nur Muhammad yang amat bercahaya-cahaya, apakah cela ku ini?”. Maka kata Nur Muhammad “Hai api, yang membunuh engkau itu air dan yang mengjadikan engkau itu angin dan engkau itu menjadi hamba orang banyak, iaitu memasakkan segala makanan orang”. Maka kata api “Hai Nur Muhammad yang amat bercahaya-cahaya, engkaulah gerangan yang tiada bercela”. Maka kata Nur Muhammad itu “Astarfirullah halazim yang hamba ini sahaja dengan celanya adapun yang tiada bercela itu melaikan Allah s.w.t jua yang tiada bercela itu, Asyaduallaa ilahaillaallah wahdahu lasyarikalah waasyaduanna muhammadan abduhu warasuluh”. Maka kata api “Hai Nur Muhammad telah percayalah akan engkau dan masuklah aku akan agama Islam itu kepada kamu dan ajarkan lah aku kalimah syahadah itu kepada ku”. Maka kata Nur Muhammad itu, “Ucaplah oleh mu laa ilaaha illallahu Muhammadan Rasulullah”. Maka mengucaplah api demikian itu.
Setelah itu, maka Nur Muhammad pun pergilah kepada air. Maka dilihat oleh Nur Muhammad air itu terlalu amat gembiranya dan sangat membesarkan dirinya. Maka Nur Muhammad pun pergilah kepada air serta katanya “Assalamualaikum hai air”. Maka disahut oleh air itu “Walaikummussalam hai Nur Muhammad”. Maka kata Nur Muhammad “hai air, engkau itu seorang hamba Allah dan aku pun seorang hamba Allah yang hina, mengapa engkau membesarkan dirimu itu?”. Maka sahut air itu “Barang kehendakku peroleh”. Maka sahut Nur Muhammad “Hai air yang hamba ini tiadalah boleh dengan sekehendak hati hamba”. Maka kata Nur Muhammad “Hai air lihatlah dirimu adakah bercela atau tiadakah?”. Maka sahut air itu “Apakah celaku ini?”. Maka kata Nur Muhammad, “Engkau itulah hamba segala najis, engkau yang menyucikan”. Maka sahut air itu “Engkau gerangan yang tiada bercela”. Maka kata Nur Muhammad itu, “Astarfirullahalazim yang hamba ini sahaja dengan bercelanya, maka adapun yang tiada ia cela itu hanya Allah subhanahu wa taala jua asyaduallaa ilahaillaallah wahdahu lasyarikalah waasyaduanna muhammadan abduhu warasuluh”. Maka kata air telah percayalah aku akan di kau dan masuklah aku kepada agama mu Islam dan ajarkanlah aku kalimah syahadah. Maka kata Nur Muhammad, “Hai air, ucaplah oleh mu kalimah LailahaillaAllah Muhammadar Rasulullah”. Maka mengucaplah air yang demikian itu.
Maka Nur Muhammad pergilah kepada tanah. Maka memberi salam “Assalamualaikum hai tanah”. Maka sahut oleh tanah “Walaikummussalam ya Nur Muhammad”. Maka dilihat oleh Nur Muhammad itu tanah sangat merendahkan diri dengan malunya dan sopannya dan hormatnya serta takutnya akan Allah ta’ala serta dengan malunya akan Nur Muhammad itu. Maka kata tanah “Ya Nur Muhammad yang amat bercahaya terlalu baik sekali tuan hamba datang ini daripada firman Allah ta’ala kepada hamba ini”. Maka dilihat oleh Nur Muhammad tanah itu sangat merendahkan diri serta dengan malunya dan sopannya melihatkan Nur Muhammad. Lalu dipeluk dan dicium oleh Nur Muhammad itu akan tanah itu. Maka sembah Nur Muhammad “Ya Aiyuha Ya Rabbi Ya Saiidi Ya Maulana Ya Tuhan ku engkaulah jua yang terlebih mengetahuai dan yang mendengarkan, penuhlah hambamu dan empat anasir.
Maka itulah segala manusia di dalam dunia ini dapat tabiat setengah daripada tabiat api itu hangat dan setengah manusia itu angin iaitu keras dan setengah daripada tabiat air sejuk dan setengah daripada tabiat bumi itu itu basah kering, Tetapi murah dan merendahkan dirinya. Di dalam kitab pertama-pertama nurain anasir itulah dijadikan Allah Taala nabi Allah Adam dan barang siapa ada menaruh cetera peri Nur Muhammad tatkala peri kemuliaan Nur Muhammad Rasulullah sallallah alaihi wassallam. bercahaya-bercahaya itu atau mendengarkan dia, maka Allah ta’ala memberi nugerah di dalam kitab pertama-pertama Taurat dan kedua Injil dan ketiga Zabur, keempat Furqanulazim iaitu kepada Rasulullahi sallallah alaihi wassallam. dinugerahkan Allah subhanahu wa ta’ala akan dia pahalanya subhanahu wa ta’ala pertama-pertama Jibril alaihis salam, kedua Mikael alaihis salam dan ketiga Israfil alaihis salam. Akan memeliharakan dia dan dinugerahkan Allah taala pahalanya seperti pahala orang naik haji dinugerahkan Allah ta’ala akan segala yang membaca dia itu atau orang yang mendengarkan dia.
Cetera ini daripada permulaan datang kepada kesudahan cetera Nur Muhammad itu. Maka disuratkan Allah subhanahu wa ta’ala pahalanya itu seperti orang yang mengelilingi ka’aba Allah tujuh kali pahalanya dan barang siapa ada ia membaca akan dia pada tiap-tiap malam atau tiap-tiap hari, maka pahalanya itu seperti orang yang mati syahid tujuh puluh perbendaharaan yang terbuka kepadanya dan dinugerahkan Allah Taala akan dia dan hendaklah kiranya segala Islam menaruh peri kejadian bercahaya Nur Muhammad itu kerana telah diharuskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan hendaklah memberi panji daripada suatu rumah kepada suatu rumah supaya memuji-memuji penghulu kita dan lagi supaya mengenal akan tuhannya dan lagi mengerjakan suruhnya akan membesarkan tuhan kita amin yarabbalalamin wasallaallahuala hairuholqahu sdiidina muhammaadawwaala alihi waashabihi ajmain birahmatika ya arhamarrohimin intahiyal kalamu panji Hikayatun Nur Muhammadun SallaAllualaihissalam.
ini adalah sekadar hikayat...ntah betul ntah x...alao citer nie hikayat sekali pun x salah asalkan untuk memuliakan Islam...
ia bukan dijadikan pegangan "SOLID"..........