Berita Harian: 12 Disember 2007
Aidiladha tetap 20 Disember
Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Aidiladha di negara ini tetap disambut pada Khamis, 20 Disember, seperti diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anan C Mohd, berkata ketetapan tarikh berkenaan dibuat berdasarkan hisab dan rukyah di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak mempertikaikan perbezaan tarikh sambutan Aidiladha di Malaysia dengan Arab Saudi.
"Umat Islam di negara ini hendaklah mematuhi keputusan dibuat waliyyul Amri (pemerintah) seperti yang diisytiharkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau diminta mengulas pengumuman Majlis Kehakiman Tertinggi Arab Saudi, kelmarin, bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1428 Hijrah ialah pada Isnin, 10 Disember, iaitu sehari lebih awal daripada yang dijangkakan, selepas anak bulan Zulhijjah kelihatan berdasarkan penentuan tarikh secara rukyah.
Berikutan itu, hari wukuf bagi musim haji tahun ini ditetapkan pada Selasa, 18 Disember manakala Aidiladha di Arab Saudi disambut pada Rabu, 19 Disember.
Di MAKKAH, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin, berkata perubahan tarikh wukuf itu sudah dimaklumkan kepada semua pihak di bawah jagaannya, terutama pengarah peringkat operasi, supaya dapat mempertingkatkan lagi persiapan masing-masing.
"Kita sudah mempertingkatkan persiapan menuju hari Arafah. Saya percaya kita dapat mempertingkatkan persiapan untuk hari wukuf mulai hari ini (semalam)," katanya dipetik Bernama.