kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,808
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,808
- Reaction score
- 98
- Points
- 80
Pengalaman Bercuti Cetus Idea Usaha Restoran Nasi Kandar Di Phu Quoc
Pengusaha Mina Nasi Kandar Halal, Dr Nash Ramesh, melayan pelancong dari Malaysia di restoran itu yang terletak di pekan Phu Quoc, Vietnam.
Nasi kandar kuah campur, kubis goreng dan ayam madu yang dipadankan dengan teh tarik tidak lagi mustahil untuk dinikmati di Phu Quoc, pulau terbesar di Vietnam yang semakin menerima kunjungan pelancong Malaysia.
Mina Nasi Kandar Halal yang terletak di pekan pulau itu diusahakan ahli perniagaan Dr Nash Ramesh, 52, dan seorang rakan dari Langkawi, Kedah, sejak hampir tiga bulan lepas setelah melihat potensi restoran halal berdasarkan pengalaman mereka bercuti di situ.
“Selepas tiga hari di Phu Quoc, kami merasakan pilihan makanan agak terhad walaupun terdapat beberapa restoran halal. Jadi, kami mahu menyediakan alternatif kepada pelancong, khususnya dari Malaysia atau mereka yang pernah ke negara kita dan merasai masakan Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia dan mempunyai rakan perniagaan beragama Islam, saya faham betapa penting aspek halal kepada pelancong Muslim dan isu ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya semasa ditemui di restoran itu baru-baru ini.
Nash berkata ayam dan daging yang digunakan di restoran itu hanya dibeli dari Halal Mart, iaitu ahli Halal Vietnam yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan pihak terlibat juga akan membuat pemeriksaan hampir setiap bulan bagi memastikan pematuhan pensijilan halal.
Anak jati Taiping, Perak itu berkata bahan kering, terutamanya rempah tidak menjadi masalah kerana beliau yang mempunyai perniagaan logistik di Ho Chi Minh City ialah pengedar tunggal jenama rempah popular Malaysia di Vietnam.
“Bagaimanapun, saya tetap pulang ke Malaysia selang beberapa bulan untuk membeli barangan yang sukar diperoleh di sini seperti belacan kerana kami juga menyediakan masakan menggunakan bahan itu, termasuk sambal belacan dicicah dengan ulam seperti timun, salad dan bendi rebus,” katanya.
Nash berkata restoran yang mula beroperasi pada 28 Julai itu menjadi restoran pertama Malaysia di Phu Quoc dan restoran nasi kandar pertama di Vietnam, menerima sambutan sangat baik bukan sahaja daripada pelancong Malaysia, tetapi juga dari Brunei, Singapura, India, China dan negara Arab.