lempeng
Fun Poster
- Messages
- 895
- Joined
- Dec 16, 2005
- Messages
- 895
- Reaction score
- 145
- Points
- 23
PENGALAMAN ANEH DAN SERAM DI PENJARA TAIPING
Ada satu lagi kisah yang menyeramkan semasa saya bertugas di Penjara Taiping, Perak.
Pada satu malam, suasana dalam Penjara Taiping cukup sunyi dan sepi. Keadaan juga agak gelap. Hanya cahaya lampu dari blok-blok tahanan dan tembok pemisah penjara saja yang sedikit sebanyak dapat membantu menerangki kawasan sekitar.
Dari bilik, saya pandang ke luar. Hujan renyai-renyai masih turun. Sesekali, bunyi air hujan jatuh ke atas bumbung zink agak menyeramkan.
Saya yang baru dua minggu bertugas sebagai pelatih pegawai penjara – mengerling jam di tangan. Sudah pukul 3.00 pagi. Sejam sekali, saya perlu meronda sekitar blok tahanan wanita.
Berbekalkan lampu suluh, saya mengatur langkah. Tapi baru beberapa tapak berjalan, saya mula merasa merinding dan gerun. Entah kenapa tiba-tiba saja fikiran saya teringat kisah-kisah seram yang pernah diceritakan oleh para pegawai senior di Penjara Taiping ni.
Pernah beberapa orang senior terserempak kelibat menakutkan di kawasan itu.
Ada yang pernah melihat makhluk berbungkus kain putih yang berterbangan tanpa arah.
Ada juga yang pernah lihat objek berbentuk bulat bergolek-golek di sekitar penjara. Semuanya berlaku pada waktu malam ketika mereka sedang membuat rondaan berseorangan.
Cepat-cepat saya tepis dan lupakan semua kisah yang saya pernah dengar, kerana kalau difikirkan sangat, lagilah rasa takut. Saya pun terus mengatur langkah perlahan-lahan meneruskan tugas rondaan.
Baru beberapa meter berjalan, sekali lagi saya rasa tak sedap hati dan rasa seram tak tentu pasal. Bulu roma meremang naik dan kepala rasa kembang kecut.
Baru saya teringat – di kawasan itu juga terletak sebuah bilik mayat yang menempatkan jenazah banduan akhir yang dihukum gantung atau yang mati dalam tahanan.
Sekitar kawasan itulah staf lain kerap terserempak dengan lembaga menakutkan dalam kisah-kisah tadi. Jantung berdebar dengan begitu kencang, tapi saya gagahkan juga diri meneruskan tugas rondaan. Macam mana pun, tugas dan tanggungjawab adalah lebih utama.
Sedang saya berjalan-jalan, saya terpandang beberapa kelibat lembaga sedang berjalan bertentangan arah dalam jarak lebih kurang 20 meter daripada saya.
“Siapa pulak tu,” bisik hati kecil saya sambil mengintai-ngintai memanjangkan leher.
Kelihatan di hadapan saya, tiga orang lelaki – dua dari mereka adalah banduan dan seorang lagi drebar warden yang berseragam lengkap, sedang menolak stretcher. Di atas stretcher tersebut pula terbaring sekujur mayat yang ditutup dengan kain putih.
“Banduan mana pulak yang mati ni?” kepala saya ligat berfikir. Ketiga-tiga lelaki itu terus menolak stretcher menuju ke arah van jenazah yang diparkirkan di bawah sebuah garaj berhampiran bilik mayat. Enjinnya sedang hidup.
Tapi yang peliknya, sepanjang masa mereka menolak mayat itu, tidak pula saya dengar sebarang perbualan dari mulut mereka. Semuanya diam membisu sahaja.
Lagi satu, setahu saya biasanya kalau ada banduan yang meninggal dunia, segala urusan penghantaran atau pengebumian akan dilakukan selepas waktu subuh. Mengapa pula dilakukan seawal pagi sebegini? Fikiran saya terus berkecamuk.
Pada masa yang sama, saya terus memerhatikan gerak-geri ketiga lelaki tersebut. Mereka terus menolak stretcher tersebut hingga ke belakang van jenazah, buka bonet belakang lalu sorong masuk mayat tersebut ke dalam van.
Kemudian berlaku lagi satu keanehan – seperti dalam mimpi, ketiga-tiga sosok tubuh lelaki itu terus menembusi badan van jenazah itu dan terus hilang dari pandangan mata saya ketika itu. Mereka seolah-olah bayang-bayang yang telus.
“Eh… betul ke apa yang aku nampak ni?” getus hati saya sambil mengosok-gosok mata kebingungan.
Degup jantung makin kencang bila saya berjalan menghampiri van jenazah itu. Sebaik saja saya sampai, enjinnya yang tadi hidup tiba-tiba mati. Suasana terus bertukar jadi sunyi dan sepi.
Saya pegang bonet bahagian enjin van – sejuk.
Tiada tanda-tanda ia dihidupkan pun sebelum ini. Saya tinjau pula ke dalam van.
Sah! Tidak kelihatan sebarang jenazah yang bertutup kain putih pun di dalamnya.
Siapa sebenarnya mereka itu tadi?
…Ketika itu saya mula terfikir satu benda je – HANTU!
Keesokan pagi, saya ceritakan semua kejadian yang berlaku semalam kepada semua senior dan rakan-rakan yang lain. Ada yang ketawa, ada yang percaya dan tidak kurang ada yang menganggap cerita saya tu karut je semata-mata.
Apapun, bukan semua orang percaya ‘makhluk halus’ itu wujud. Ada orang yang boleh nampak dan ada yang tidak. Bagi saya, terpulanglah pada makhluk-makhluk halus ini hendak tunjukkan dirinya kepada sesiapa yang disukainya. Tapi, saya percaya mereka memang wujud berdasarkan dua kisah yang saya kongsikan tadi.
:::::::::::::::::::::::::::
Kisah ini diceritakan kepada wartawan Mastika, Kairul Anwar Yusop oleh Haji Nor Shahid Mohd Nor, bekas Timbalan Pengarah Penjara. Beliau pernah memegang jawatan Pegawai Penguasa Penjara Pudu dari tahun 1978 hingga 1981 sebelum bersara pada tahun 1989.
Sumber: Mastika, Mei 2011.
