ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Dr Mohamad (tengah) bersama pegawai Jabatan Kesihatan dan JKR Terengganu serta Besut melawat tapak klinik kesihatan yang bakal dibina.
PULAU PERHENTIAN - Penantian penduduk kampung pulau ini untuk menikmati sebuah klinik kesihatan lebih moden lengkap dengan pegawai perubatan (doktor) bakal berakhir apabila kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah klinik seumpama itu di pulau berkenaan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar berkata, kerajaan pusat melalui Kementerian Kesihatan telah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian yang bernilai RM20 juta bagi menggantikan klinik sedia ada.
Menurutnya, tapak baru seluas 1.3 hektar untuk pembinaan klinik tersebut sudah dikenal pasti dan terletak lebih kurang 500 meter dari kawasan perkampungan.
"Kementerian telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengendalikan pembinaan kompleks klinik tersebut dan pembinaan dijangka bermula tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawat tapak pembinaan kompleks klinik itu di Pulau Perhentian Kecil semalam yang turut disertai pegawai JKR.
Mohamad berkata, klinik kesihatan baharu itu kelak akan disediakan kemudahan pegawai perubatan, pegawai pergigian selain kemudahan lain seperti klinik pergigian, farmasi dan bilik kecemasan.
Menurutnya, turut dibina 12 unit rumah kakitangan bagi memberi kemudahan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk kampung dan pelancong.
"Dengan adanya klinik itu nanti sudah tentu akan memberi manfaat besar kepada penduduk dan pelancong memandangkan klinik kesihatan yang ada sekarang tidak mempunyai kemudahan pegawai perubatan dan kemudahan lain," katanya.
Sementara itu Sinar Harian pada 18 Ogos tahun lalu pernah menyiarkan keluhan penduduk pulau tersebut yang merayu kerajaan menempatkan pegawai perubatan di klinik kesihatan pulau berkenaan selaras dengan kemajuan kampung yang berstatus pulau peranginan antarabangsa itu.
Pengerusi JKKK Pulau Perhentian, Zainuddin Mohammad berkata, kerajaan sewajarnya menimbang untuk menempatkan sekurang-kurangnya seorang doktor di pulau tersebut berikutan naik taraf daripada klinik desa sebelum ini kepada klinik kesihatan sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, walaupun telah dinaik taraf tetapi agak menyedihkan kerana kemudahan dan peralatan yang disediakan di klinik masih ditakuk lama.
"Sudah tiba masanya kerajaan menyediakan perkhidmatan doktor di situ memandangkan penduduk kampung sekarang sudah mencecah 2,163 orang manakala lebih 100,000 pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke pulau ini setiap tahun.
"Ketiadaan doktor dan kemudahan di pulau ini bukan sahaja amat menyulitkan penduduk kerana terpaksa ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan walaupun untuk kes tidak serius selain memalukan kepada pelancong," katanya yang mewakili suara penduduk kampung ketika itu.
Sehubungan dengan kelulusan kerajaan untuk pembinaan sebuah kompleks klinik kesihatan yang baharu, Zainuddin berkata, penduduk berasa amat gembira kerana ia memberi kemudahan kepada penduduk dan pelancong mendapat perkhidmatan lebih baik.
"Sebelum ini bagi masalah kesihatan teruk, penduduk terpaksa ke tanah besar. Ia bukan sahaja menelan belanja yang tinggi tetapi memakan masa yang panjang untuk penduduk memperoleh rawatan," katanya.