ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Latipah menemubual Irwan yang meminta sedekah di Pasar Besar Melaka Sentral, semalam.
BANDARAYA MELAKA - "Cara ini saja saya dapat sara hidup" kata seorang pesakit kencing manis kronik dikenali sebagai Irwan, 37, yang terpaksa meminta sedekah kerana tidak mampu bekerja.
Irwan ditemui pemberita ketika Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar melakukan tinjauan di Pasar Besar Melaka Sentral di sini, semalam untuk mengesan lelaki terbabit.
Difahamkan, Latipah yang percaya Irwan sudah melakukan aktiviti meminta sedekah sejak dua bulan lalu segera mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak membawa lelaki berkenaan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Irwan berkata, dia terpaksa meminta sedekah untuk menyara kehidupannya selepas tidak mampu bekerja sebagai buruh binaan.
"Memang kaki saya luka teruk kerana kencing manis. Dengan cara ini sahajalah saya mencari rezeki kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.
"Keadaan sakit macam ini susah saya hendak turun naik bas untuk ke pejabat JKM meminta bantuan," katanya bersyukur kerana ibunya sanggup menjaga seorang anaknya berusia 13 tahun akibat kesempitan hidup.
Sementara itu, Latipah terkilan dengan tindakan segelintir golongan kurang kemampuan memilih menjadi pengemis walaupun boleh mendapat bantuan JKM di negeri ini.
Menurut Latipah, mereka sepatutnya berusaha mengubah taraf kehidupan menerusi segala bantuan yang disalurkan kerajaan.
Katanya, aktiviti yang sering kali dilakukan kumpulan kurang upaya dan warga emas boleh mewujudkan pelbagai persepsi negatif masyarakat.
"Saya berharap penerima bantuan JKM atau warga tua elakkan diri daripada meminta-minta atau memohon sumbangan orang ramai.
"JKM sebenarnya sentiasa bergerak mengesan pengemis khususnya gelandangan di negeri ini untuk diberikan bantuan dan ditempatkan di rumah kebajikan," katanya.
Menurutnya, setakat ini lebih 350 warga emas ditempatkan di beberapa rumah kebajikan di setiap daerah, selain di Rumah Seri Kenangan, Cheng.