Lebih 8 jam sehari semai benih kopi
Oleh
Noorazura Abdul Rahman- Oktober 11, 2022 @ 1:03pm
[email protected]
Peranan wanita sebagai pekebun kopi membantu memenuhi permintaan tinggi komoditi itu di pasaran. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
SIK: Aroma kopi dapat membangkitkan 'mood' dan emosi yang baik kepada penggemar kopi sehingga akan ada yang berasa 'rindu' sekiranya tidak minum kopi dalam sehari.
Namun di sebalik semua itu, ada insan yang bertungkus-lumus termasuk kalangan wanita dalam memastikan pokok kopi di negara ini dapat ditanam secara meluas bagi memenuhi permintaan yang tinggi saban tahun.
Di Bandar Baru Beris Jaya di sini, siapa menyangka kawasan penempatan perumahan yang rata-ratanya terdiri daripada penoreh getah sudah menghasilkan puluhan ribu anak pokok kopi untuk pasaran di seluruh negara.
Mereka terdiri daripada wanita berhati waja yang sanggup menghabiskan masa lebih lapan jam sehari menyemai benih dan mencantum tunas kopi jenis Robusta yang lebih digemari rakyat Malaysia.
Dengan usia yang sudah mencapai 67 tahun, nenek kepada dua cucu ini mampu mencantum tunas kopi sehingga 200 pokok sehari.
Romlah Hamid berkata, dia mula melakukan kerja itu sejak 2019 menerusi tunjuk ajar daripada pihak Nestle.
Romlah antara pekebun wanita yang menyemai benih pokok. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
"Halaman belakang rumah saya jadikan sebagai tapak semaian anak pokok kopi, saya perlu memenuhi permintaan pelanggan yang terdiri daripada peladang dan juga agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.
"Saya rasa kerja ini sudah sebati dengan saya, sebab itulah saya sanggup duduk di kerusi dan meja selama berjam-jam sehari untuk memastikan tempahan pelanggan dapat disiapkan mengikut jadual," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Romlah yang mempunyai masalah sakit lutut dan gout berkata dia tetap menggagahkan diri melakukan rutin itu setiap hari berikutan suaminya tidak dapat bekerja kerana penyakit darah tinggi dan jantung.
Katanya, ibunya juga kini uzur dan kerap dimasukkan ke hospital.
"Saya cuma ada seorang anak perempuan, jadi saya perlu kuatkan semangat untuk pastikan kelangsungan hidup keluarga saya.
"Mujur saya mempunyai minat tinggi dalam bidang pertanian, sebab itu saya rasa bersemangat setiap pagi untuk menyemai dan mencantum pokok kopi, ia memerlukan proses yang sangat teliti bagi memastikan tunas pokok ini hidup.
"Sehingga kini, anak pokok kopi dari Sik sudah dijual ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak, setiap anak pokok dijual antara RM5 hingga RM7...Secara purata setahun jualan boleh mencecah 10,000 pokok dengan pendapatan bulanan saya boleh mencecah hingga RM3,000," katanya.
Ibu tunggal, Haslina Hamid, 50, berkata dia mula mengusahakan nurseri anak pokok kopi bersama suaminya, Rosaly Ahmad, 62, juga pada 2019 selepas pendapatan mereka sebagai penoreh getah tidak menentu iaitu kira-kira RM500 sebulan.
Haslina menjadikan pekerjaan menanam pokok kopi sebagai sumber rezeki. - NSTP/Luqman Hakim Zubir.
Bagaimanapun, selepas setahun, suaminya meninggal dunia pada Disember 2020 kerana kegagalan organ dalaman.
"Selepas itu, saya usahakan kerja di nurseri seorang diri sambil dibantu anak-anak, mereka menjadi penguat semangat untuk terus berusaha mengubah kehidupan kami sebagai penoreh getah.
"Alhamdulillah, tempahan yang diterima sangat menggalakkan, ketika pandemik COVID-19, tempahan berkurangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). namun saya dapat harungi ketika itu bersama suami sebelum dia meninggal dunia," kata ibu kepada lima anak.
Haslina berkata, dia kini sedang meniti kehidupan yang lebih baik apabila pendapatannya mampu mencecah hampir RM3,000 sebulan.
Jamaliah bersama anak pokok kopi Robusta yang ditanam di sekitar rumahnya. NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pembekal anak pokok kopi, Jamaliah Ahmad, 51, berkata dia kini bersyukur apabila dapat menjana pendapatan yang lebih baik menerusi kerja menyemai dan mencatum anak pokok kopi.
Katanya, kerja yang dilakukan setiap hari menjadi terapi untuk dirinya dan berasa lebih sihat ketika menjaga kira-kira 15,000 anak pokok kopi di tepi rumahnya.
"Setiap hari saya dan suami Md Shafie Hamid, 54, akan siram pokok dan asingkan sekiranya ada anak pokok yang mati, begitu juga dengan daun kuning saya buang supaya tidak berjangkit dengan daun lain.
"Di sini sumber rezeki kami, hanya dari rumah, saya gembira menjadi sebahagian petani yang dapat membantu negara dalam soal keselamatan makanan," katanya ibu tiga anak ini.