ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Abdul Wahid (dua, kiri) merasmikan Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) secara rasmi sambil diperhatikan Presiden PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) dan Presiden BRO, Datuk Ir Khairol Anuar Mohamad Tawi (kiri) sempena Spark 2015.
PEMILIKAN hartanah komersial di kalangan usahawan Bumiputera masih berada di paras rendah, dengan hanya lima peratus dari jumlah keseluruhan yang ada di dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah itu amat sedikit dan perlu diberi perhatian untuk meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera dalam pemilikan tanah komersial.
"Mengikut data yang diperoleh dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) bagi 2014, hanya 2,352 unit hartanah komersial yang diniagakan, dimiliki Bumiputera, berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 30,215 unit.
"Dari segi nilai pula, peniaga Bumiputera memiliki RM1.1 bilion berbanding RM27.1 bilion nilai keseluruhan dengan peratusan 4.1 peratus sahaja dan ia masih rendah," katanya selepas merasmikan Simposium Peruncitan Kebangsaan (Spark) 2015 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Abdul Wahid, jika dilihat purata pemilikan hartanah kaum Bumiputera bermula 2011 hingga 2014, hanya lima peratus sahaja dimiliki golongan tersebut.
"Amat penting untuk kita memperbanyakkan program dalam membantu usahawan Bumiputera terutamanya dalam memiliki hartanah komersial bagi memajukan perniagaan mereka," katanya.
Abdul Wahid berkata, sehingga hari ini penglibatan Bumiputera dalam bidang peruncitan masih rendah dengan peratusan kurang daripada 10 peratus.
"Kita harus tahu, sektor pemborongan dan peruncitan merupakan sektor yang dinamik dan sentiasa berubah mengikut trend serta permintaan semasa pengguna.
"Disebabkan perubahan ini, kerajaan komited membantu dan membangunkan sektor pemborongan dan peruncitan tradisional agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan cita rasa pengguna yang kian berubah," katanya.
Tahun lalu, sektor pemborongan dan peruncitan mencatatkan peningkatan jumlah jualan dari RM881 bilion kepada RM951.2 bilion di mana sebahagian besar peningkatan disumbangkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pemborongan dan peruncitan yang kukuh sebanyak 9.3 peratus, pada suku keempat 2014.