ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
KEPUTUSAN Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk melabur di luar negara didorong oleh nilai selain mematuhi kriteria dan proses pelaburan sangat ketat dan berdisiplin, menurut Naib Presiden Eksekutif (Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran) Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin.
Beliau berkata, perniagaan antarabangsa menyumbang RM114.1 bilion kepada perolehan Petronas pada 2012 dan syarikat itu akan terus mencari peluang yang membawa nilai dan menepati kriteria pelaburan ketat.
“Dari masa ke masa, kami akan terus menilai pelaburan kami dan membuat keputusan portfolio dengan sewajarnya.
“Kami akan menarik diri jika kami rasa persekitaran perniagaan di pasaran tertentu itu tidak lagi kondusif bagi kami meneruskan pelaburan,” katanya.
Petronas berada di lebih 30 negara dalam pelbagai aktiviti huluan dan hiliran termasuk pemerolehan pengeluar gas asli Kanada, Progress Energy Resources pada RM16 bilion.
Namun Petronas baru-baru ini mengumumkan akan menghentikan operasi cari gali dan pengeluaran di India, Venezuela dan Uzbekistan, tetapi akan mengekalkan operasinya di Sudan yang berdepan kemelut politik.
“Sudan adalah negara di mana Petronas mencapai kejayaan, walaupun keadaan sedikit mencabar beberapa tahun ini berikutan keadaan politik di sana.
“Pengeluaran terhenti lebih setahun tetapi bermula semula pada Mac tahun lalu.
“Kawasan di mana kami mempunyai kepentingan kini mengeluarkan kira-kira 250,000 tong minyak sehari, di mana bahagian pengeluaran kami ialah 110,000 tong sehari,” katanya.
Wee berkata, selain mengembangkan kehadirannya di luar negara, Petronas dengan agresif meningkatkan aktiviti penerokaan dan pengeluaran domestik menerusi perlaksanaan mekanisme kontrak baharu dan teknologi canggih.
Wee juga positif lebih banyak penemuan di masa depan seperti yang dilihat pada penemuan baharu medan minyak darat, Adong Kecil West, 20 kilometer di timur laut Miri oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd dan Petronas Carigali.
Beliau berkata, lapangan minyak itu, penemuan darat pertama Malaysia selepas 24 tahun, membawa bilangan medan minyak darat kepada tiga setakat ini.
Penemuan darat terakhir adalah Lapangan Asam Paya pada 1989, juga di Sarawak.
Berdasarkan hasil penggerudian, beliau berkata, terdapat petunjuk bahawa bahagian yang lebih dalam di kawasan darat itu mungkin mempunyai potensi tambahan untuk pengumpulan hidrokarbon tetapi kerana kawasan itu kurang diteroka, lebih banyak kajian geoteknikal diperlukan untuk menentukan potensi pengumpulan hidrokarbon di kawasan itu.
“Penemuan itu menunjukkan prospek positif dan memberangsangkan bagi lembangan darat dan telah menerima banyak minat daripada syarikat multinasional minyak dan gas untuk menjalankan lebih banyak kajian dan aktiviti penerokaan di Malaysia,” katanya. - Bernama