balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
BALING - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) antara yang disaman kerana melanggar peraturan jalan raya dalam operasi lumba haram oleh Ibu Pejabat Polis Baling, malam semalam.
Remaja berusia 16 tahun itu disaman akibat tidak mempunyai lesen memandu selain tidak mengenakan topi keledar semasa di jalan raya.
Bagaimanapun, pelajar sebuah sekolah agama itu menafikan dia bersama seorang rakannya terlibat gejala rempit dan sekadar keluar untuk mengambil angin.
Namun begitu, tindakan undang-undang terpaksa diambil bagi membanteras gejala rempit dalam kalangan remaja yang berusia bawah 18 tahun.
Ketua Polis daerah, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, sebanyak 35 saman dikeluarkan dalam operasi itu.
Menurutnya, 50 kesalahan direkodkan dan 11 motosikal turut disita kerana beberapa kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh.
Pelbagai ragam ditunjukkan golongan itu semasa ditahan antaranya ada yang tidak mengetahui nombor kad pengenalan dan ada yang masih menggunakan kad pengenalan fotostat kerana kad pengenalan sebenar masih dipegang ibu bapa mereka.
Malam Jumaat merupakan tumpuan golongan remaja berkenaan untuk menunjukkan aksi berbahaya mereka sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.
Mereka seolah-olah gembira dengan kehadiran polis malah, cuba menunjukkan aksi yang lebih berbahaya semata-mata untuk menyakiti hati pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kecekapan polis dalam mengatur strategi akhirnya berjaya menahan mereka yang terlibat dalam gejala itu.
Mat Daud berkata, pihaknya akan terus melancarkan operasi itu demi memberikan pengajaran kepada golongan berkenaan, selain menjaga ketenteraman awam.
“Tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa sahaja melakukan kesalahan. Ini untuk kebaikan diri mereka sendiri dari menjadi mangsa jalan raya,” katanya.
Tahun ini sahaja, lebih tiga kemalangan maut dilaporkan dari kalangan mereka yang berusia belasan tahun.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/padah-memandu-tanpa-lesen-1.161342