ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Noraini Ahmad
BUKAN mudah bagi seorang wanita terutama yang berkhidmat di Unit Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengimbangi kehendak kerjaya, diri dan keluarga, apatah lagi terpaksa menerima pelbagai aduan dan ragam penduduk setempat.
Namun bagi, ketua jabatan bahagian itu, Noraini Ahmad, pengalamannya selama 14 tahun berkhidmat dalam kerjaya itu dianggapnya sebagai 'alah biasa tegar biasa' dalam mengendalikan setiap aduan yang diterima.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang memulakan tugas pada Oktober 2001 itu ternyata tidak mudah mengeluh, malah menganggap segala aduan yang disampaikan pengadu dapat ditangani dengan cara paling baik.
"Apa yang penting, kita kena pandai jaga emosi mereka apabila berdepan dengan pengadu. Mereka yang datang buat aduan macam-macam karenah, kita terpaksa terima dan jangan sesekali marah mereka.
"Beri mereka peluang untuk lepaskan perasaan, apa yang perlu kita buat jaga peribadi dan cuba tenteramkan emosi mereka agar terkawal dengan penjelasan serta fakta yang kukuh," ujar anak kelahiran Sungai Besar itu.
Malah, dia juga mengakui sering menerima ugutan pengadu yang kononnya ingin melaporkan rasa tidak puas hati mereka kepada pengetahuan pengetahuan pihak atasan , media massa serta pemimpin negari, namun menyerahkan tindakan itu kepada pengadu terbabit.
"Sebenarnya banyak faktor menyebabkan pengadu menjadi marah. Faktor utamanya ialah mereka kadang-kadang tak faham situasi sebenar apa yang berlaku. Biasanya saya akan dengar dahulu apa yang diperkatakan dan akan memberi maklum balas lisan terlebih dahulu bagi menjelaskan perkara sebenar.
"Biasanya, MDSB akan memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari kepada pengadu sama ada menghantarnya menerusi surat maklum balas; emel dan penggunaan media sosial yang lain berhubung tindakan yang telah dibuat MDSB selepas aduan terbabit," ujar ibu kepada empat cahaya mata itu lagi.
Memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Komunikasi Korporat MDSB, Noraini, 38, mengakui pelbagai jenis aduan diterima pihaknya terutama dalam soal khidmat perbandaran.
Terima aduan 85 peratus sebulan
Anak kedua daripada lima beradik itu memaklumkan, antara aduan yang sering diterimanya berkaitan dengan aduan kacau ganggu seperti anjing liar dan masalah infrastruktur seperti jalan; lampu jalan serta longkang tersumbat.
"Aduan ini biasanya berkaitan dengan kerja-kerja pembersihan awam seperti longkang tidak di selenggara, rumput tak dipotong ikut jadual, longkang rebak, lampu tidak berfungsi dan sedikit berkenaan kacau ganggu haiwan liar," katanya yang memberitahu MDSB menerima purata aduan sebanyak 85 peratus sebulan.
Selain menangani aduan penduduk, unit itu juga bertanggungjawab mengendalikan kempen kesedaran kepada penduduk seperti perlaksanaan kempen kitar semula dan kempen sampah haram.
"Bagaimanapun, kita masih sedang berusaha untuk menangani secara serius isu sampah haram yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tindakan penguatkuasaan tegas sentiasa dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat," tegasnya.
Selain kempen dengan masyarakat setempat, organisasi itu juga bertindak untuk melaksanakan kempen dalaman sebagai petanda aras kepada jabatan berkenaan seperti kempen 3S iaitu 'sapa, senyum dan salam'.
"Kempen ini bermaksud supaya setiap kakitangan mementingkan kemesraan dan hubungan sesama kakitangan dan juga pelanggan. Jika kita berjaya mewujudkan hubungan yang baik antara kakitangan kita juga mesti mewujudkan hubungan mesra dengan pelanggan," ujarnya.
Selain itu, beberapa program rasmi MDSB turut dilaksanakan di bawah unit itu antaranya hari bertemu pelanggan dan perhimpunan bulanan penjawat awam.
Beliau yang juga Ketua Editor Buletin MDSB juga berdepan dengan cabaran untuk menepati masa dalam menyiapkan buletin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dua kali dalam tempoh setahun.
"Apa jua program jabatan akan dimasukkan dalam buletin ini yang kemudiannya akan diedarkan kepada Ahli Majlis MDSB dan kepada penduduk semasa kempen bertemu pelanggan diadakan," ujarnya yang turut menjelaskan pihaknya turut mengumpul keratin akhbar untuk direkodkan dan diserahkan kepada jabatan berkaitan.
Noraini juga sering menjadi juru acara majlis pada program MDSB dan mengakui pada mulanya amat berasa janggal apabila diminta untuk mengacara majlis.
"Mulanya saya agak kekok juga, tetapi lama-kelamaan dah jadi satu kebiasaan. Saya banyak belajar daripada orang-orang lama, juruacara daripada PBT lain dan jabatan kerajaan lain selain sering mencari maklumat di internet," katanya.
Lebih matang selepas kahwin
Berkahwin pada usia 23 tahun, menjadikan Noraini matang dalam setiap tindakan dan bijak membahagi masa antara tugas di pejabat dan di sebagai isteri dan ibu di rumah.
"Saya amat menitikberatkan soal pendidikan anak-anak. Di rumah, tumpuan saya terarah kepada mereka dan akan memastikan mereka mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan segala tugasan yang diberikan guru.
"Saya juga gemar baca novel dan buku ilmiah jika ada masa lapang. Saya dan suami akan cari masa terluang bercuti bersama-sama keluarga," katanya yang gemar mengajar anaknya hidup berdikari.
Katanya, sebelum menjawat jawatan itu, dia pernah menjadi pembantu klinik swasta dan guru ganti bagi subjek Bahasa Melayu di SMK Sungai Besar dan subjek kemahiran hidup di SMK Tunku Abdul Rahman Putra.
"Cita-cita asal nak jadi cikgu. Tapi saya bersyukur ALLAH tempatkan saya di sini. Saya gembira dan berharap dapat terus beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.