smoulder88
Active Member
- Messages
- 1,738
- Joined
- Feb 25, 2010
- Messages
- 1,738
- Reaction score
- 8
- Points
- 25
NAZA Bikes Sdn Bhd (Naza) yang bernaung di bawah Kumpulan Syarikat Naza melancarkan motosikal mampu milik bersesuaian bagi pengguna berpendapatan rendah iaitu model NZ125R.
Pengenalan pertama motosikal jenis ‘cup’ bagi Naza memberi inspirasi kepada syarikat itu untuk menyaingi 70 peratus pasaran cup yang dikuasai syarikat Jepun.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, syarikatnya mengurangkan harga motosikal itu 15 hingga 25 peratus berbanding model dikeluarkan syarikat Jepun.
“Kami akui pasaran cup memang besar di negara ini dan perlu menghasilkan motosikal yang menepati majoriti pengguna,” katanya pada majlis pelancarannya di Petaling Jaya, semalam.
Ia disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dan dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin.
“Model yang dilancarkan adalah permulaan kepada pengeluaran lebih banyak motosikal jenis cup, malah kami berhasrat mengeluarkan sendiri komponennya tanpa bantuan negara lain,” kata Faisal.
Motosikal Naza NZ125R direka 100 peratus jurutera tempatan manakala 35 peratus bahannya buatan Malaysia mengambil tempoh 18 bulan untuk disiapkan.
“Kami menyasarkan 60 peratus penggunaan bahan tempatan dalam tempoh 24 bulan,” katanya.
Beliau berkata, hampir 400 ribu motosikal cup dikeluarkan setahun di negara ini yang dikuasai model dari Jepun.
“Kami mahu menjual 30 ribu unit tahun ini seterusnya mencapai 7.5 peratus penguasaan pasaran manakala pada 2013, kami menyasarkan jualan hingga 100 ribu unit serta menguasai 25 peratus pasaran,” katanya.
NZ125R mampu menjimatkan sehingga RM500 setahun dengan hanya penggunaan satu liter bagi setiap 65 kilometer yang dijual pada harga bermula RM3,788.
“Kami juga bakal menjual model sama ke negara Asia Tenggara lain yang mempunyai pasaran motosikal meluas.
“Bayangkan, negara Asia Tenggara menjual hingga satu juta unit model cup sebulan yang menggambarkan betapa besarnya pasaran motosikal untuk diteroka,” katanya.
Motosikal empat lejang itu mempunyai beberapa ciri termasuk panel meter reka bentuk baru, lampu belakang unik, ekzos pelindung haba dan panel pengecas (soket DC) yang digunakan untuk mengecas telefon atau peranti mudah alih lain.
