Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
• Makanan
• Barang-barang dapur
• Pakaian
• Tempat tinggal
• Alat-alat untuk membersihkan diri
• Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/542)
Jangan sesekali meninggalkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Pimpinlah keluarga kita dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Isteri tidak seharusnya membebankan suami seperti menuntut sesuatu diluar kemampuannya, sehingga boleh mendatangkan kemudaratan terhadap hubungan antara suami isteri.
Para ulama fiqh telah sepakat dalam pemberian nafkah terhadap isteri adalah wajib sekadar memenuhi keperluan asas dengan mengikut kemampuan suami, dan melihat kesesuaian tempat yang didiami oleh mereka.
Sesungguhnya tidaklah kamu menginfaqkan suatu nafkah dengan pengharapan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, kecuali kamu akan diberi ganjaran/pahala termasuk sesuatu yang kamu suapkan ke mulut isterimu.
LARANGAN MENGABAIKAN PEMBERIAN NAFKAH KEPADA ISTERI DAN ANAK-ANAK
Diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” [Riwayat Abu Daud (1692)]
Sebagai ketua keluarga, memastikan keperluan isteri dan anak-anak dipenuhi bukanlah sekadar tanggungjawab material, tetapi juga amanah yang berat.
Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pelindung dan pemberi nafkah kepada keluarga tercinta.