SIRI PARA ANBIYA': NABI YUNUS
Nabi Yunus merupakan seorang Nabi dan
Rasul yang dilantik oleh Allah untuk kaum Bani Israil dan kaum Assyria. Beliau merupakan anak kepada MATTA dan berasal dari keturunan Nabi Bunyamin bin Nabi Ya'aqub bin Nabi Ishaq bin Nabi Ibrahim. Menurut sejarah, beliau hidup sekitar tahun 820-750 SM. Kisah beliau yang paling menonjol ketika diutus pada kaum Assyria di Kota Nineveh. Ketika itu raja kaum Assyria bernama Raja Sennacherib 705-681 SM.
Ketika beliau diutuskan kepada penduduk Kota Nineveh, beliau merupakan orang asing yang datang di tengah-tengah penduduk Kota Nineveh itu. Beliau menemui mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran, mereka menyembah berhala menyekutukan kepada Allah. Di antara berhala yang paling menonjol yang disembah di dalam masyarakat itu ialah berhala Ba'al.
Ketika berada di Kota Nineveh, beliau membawa ajaran Tauhid dan iman kepada mereka, mengajak mereka agar menyembah kepada Allah yang telah menciptakan mereka dan menciptakan alam semesta, meninggalkan persembahan mereka kepada berhala-berhala yang mereka buat sendiri dari batu dan berhala-berhala yang tidak dapat membawanya manfaaat atau mudarat bagi mereka. Beliau juga memperingatkan mereka bahawa mereka sebagai manusia makhluk Allah yang utama yang memperoleh kelebihan di atas makhluk-makhluk yang lain tidak sepatutnya merendahkan diri dengan menundukkan dahi dan wajah mereka menyembah batu-batu mati yang mereka pertuhankan, padahal itu semua buatan mereka sendiri yang kadang-kadang dan dapat dihancurkan dan diubah bentuk.
Nabi Yunus juga mengajak mereka berfikir memperhatikan ciptaan Allah di dalam diri mereka sendiri, di dalam alam sekitar untuk menyedarkan mereka bahawa Tuhan pencipta itulah yang patut disembah dan bukannya benda-benda ciptaannya. Ajaran-ajaran Nabi Yunus itu bagi para penduduk Nineveh merupakan hal yang baru yang belum pernah mereka dengar sebelumnya. Sebab itu mereka tidak dapat menerimanya untuk menggantikan ajaran dan kepercayaan yang telah diwarisi dari nenek moyang mereka yang sudah menjadi adat kebiasaaan mereka turun temurun. Apalagi pembawa agama itu adalah seorang asing tidak seketurunan dengan mereka.
Mereka berkata kepada Nabi Yunus: "Apakah kata-kata yang engkau ucapkan itu dan kedustaan apakah yang engkau anjurkan kepada kami tentang agama barumu itu? Inilah tuhan-tuhan kami yang sejati yang kami sembah dan disembah oleh nenek moyang kami sejak dahulu. Alasan apakah yang membenarkan kami meninggalkan agama kami yang diwarisi dari nenek moyang kami dan menggantikannya dengan agama barumu? Engkau adalah seorang yang ditengah-tengah kami yang datang untuk merosakkan adat istiadat kami dan mengubah agama kami dan apakah kelebihan kamu diatas kami yang memberimu alasan untuk mengajar kami. Hentikanlah segala ajakanmu di daerah kami ini. Percayalah bahawa engkau tidak akan dapat pengikut diantara kami dan bahawa ajaranmu tidak akan mendapat sokongan di antara penduduk kota ini yang sangat teguh mempertahankan tradisi dan adat istiadat orang-orang tua kami."
Nabi Yunus pun menjawab: "Aku hanya mengajak kamu semua beriman dan bertauhid menurut agama yang aku bawa sebagai amanat dari tuhanku yang bernama Allah yang wajib ku sampaikan kepadamu. Aku hanya seorang pesuruh yang ditugaskan oleh Allah untuk mengangkat kamu dari lembah kesesatan dan kegelapan serta membawa kamu semua ke jalan yang benar dan lurus serta menyampaikan kepada kamu agama yang suci bersih dari benih-benih kufur dan syirik yang merendahkan martabat manusia yang semata-mata untuk kebaikan kamu sendiri dan kebaikan anak cucumu kelak".
"Aku sesekali tidak mengharapkan sesuatu upah atau balas jasa daripadamu dan tidak pula menginginkan pangkat atau kedudukan. Aku tidak dapat memaksa kamu semua untuk mengikutiku dan melaksanakan ajaran-ajaranku. Aku hanya mengingatkan kepadamu bahawa bila kamu tetap membangkang dan tidak menghiraukan ajakanku, tetap menolak agama Allah yang aku bawa, tetap mempertahankan akidahmu dan agamamu yang bathil dan sesat itu, nescaya Allah kelak akan menunjukkan kepadamu tanda-tanda kebenaran risalahku dengan menurunkan azab seksa-Nya di atas kamu sebagaimana telah dialami oleh kaum terdahulu seperti kaum Nuh, Aad dan Tsamud sebelum kamu".
Mereka menjawab peringatan Nabi Yunus dengan tentangan lalu mereka berkata: "Kami tetap menolak ajakanmu dan tidak akan tunduk pada perintahmu atau mengikut kemahuanmu dan sesekali kami tidak akan takut akan segala ancamanmu. Cubalah datangkan apa yang engkau ancamkan itu kepada kami jika engkau memang orang yang benar dalam kata-katamu dan tidak mendustai kami."
Dalam ramai-ramai penduduk Nineveh, hanya dua orang saja yang beriman dengan seruan Nabi Yunus iaitu Rubil dan Tanuh. Rubil adalah seorang yang alim bijaksana, sedang Tanuh adalah seorang yang tenang dan sederhana.
Tentangan dari penduduk Nineveh membuatkan Nabi Yunus tidak tahan tinggal dengan lebih lama di tengah-tengah kaum yang keras kepala dan bersikap buta-tuli menghadapi ajaran dan dakwahnya. Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Kota Nineveh dengan rasa kesal dan marah sambil memohon kepada Allah untuk menjatuhkan hukumannya atas penduduk kota tersebut.
Sepeninggalan Nabi Yunus, penduduk Kota Nineveh mulai melihat tanda-tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus kepada mereka akan menjadi kenyataan dan hukuman Allah akan benar-benar jatuh di atas mereka membawa kehancuran dan kebinasaan sebagaimana yang telah dialami oleh kaum musyrikin penyembah berhala sebelum mereka. Mereka melihat keadaan udara disekeliling Kota Nineveh makin menggelap, binatang-binatang peliharaan mereka nampak tidak tenang dan gelisah, wajah-wajah mereka tanpa disedari menjadi pucat tidak berdarah dan angin dari segala penjuru bertiup dengan kecangnya membawa suara gemuruh yang menakutkan.
Dalam keadaan panik dan ketakutan, sedarlah mereka bahawa Nabi Yunus tidak berdusta dalam kata-katanya dan bahawa apa yang diancamkan kepada mereka bukanlah ancaman kosong buatannya sendiri, tetapi ancaman dari tuhan. Segeralah mereka menyatakan taubat dan memohon ampun atas segala perbuatan mereka, menyatakan beriman dan percaya kepada kebenaran dakwah Nabi Yunus sambik merasa menyesal atas perlakuan dan sikap kasar mereka yang menjadikan Nabi Yunus marah dan meninggalkan kota itu.
Untuk menebus dosa, mereka keluar dari kota dan beramai-ramai pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, sambil menangis memohon keampunan dan rahmat Allah agar dihindarkan dari bencana azab dan seksaan-Nya. Ibu binatang-binatang peliharaan mereka dipisahkan dari anak-anaknya sehingga terdengar suara teriakan binatang-binatang yang terpisah dari ibunya seolah-olah turut memohon keselamatan dari bencana yang sedang mengancam akan tiba menimpa mereka. Allah Yang Maha Mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya itu jujur dalam taubatnya dan rasa sesalannya serta mereka memang benar-benar beriman dan dari hatinya pula memohon dihindarkan dari azab seksa-Nya, berkenan menurunkan rahmat-Nya dan mengurniakan maghfirat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang dengan tulus ikhlas menyatakan bertaubat dan memohon ampun atas segala dosanya. Udara gelap yang meliputi Kota Nineveh menjadi terang, wajah-wajah yang pucat kembali merah dan berseri-seri dan binatang-binatang yang gelisah menjadi tenang, kemudian kembalilah orang-orang itu ke kota dan ke rumah masing-masing dengan penuh rasa gembira dan syukur kepada Allah yang telah berkenan menerima doa dan permohonan mereka.
Berkatalah mereka didalam hati masing-masing setelah merasa tenang, tenteram dan aman dari malapetaka yang nyaris melanda mereka: "Di manakah Yunus sekarang berada? Kerana kami telah tunduk kepada bisikan syaitan dan mengikuti hawa nafsu, membuatkan dia meninggalkan kami dengan rasa marah dan kecewa kerana sikap kami yang menentang dan memusuhinya. Alangkah bahagianya kami andaikan dia masih berada di tengah-tengah kami menuntun dan mengajari kami hal-hal yang membawa kebahagiaan kami di dunia dan di akhirat. DIa adalah benar-benar seorang Rasul dan Nabi Allah yang telah kami sia-siakan. Semoga Allah mengampuni dosa kami."
Adapun tentang keadaan Nabi Yunus yang telah meninggalkan kota Nineveh secara mendadak, maka beliau berjalan kaki mengembara naik gunung turun gunung tanpa tujuan. Tanpa disedari beliau tiba-tiba berada disebuah pantai dan melihat sekelompok orang yang sedang bergegas hendak menumpang sebuah kapal yang hendak menuju ke Tarsis . Beliau pun meminta dari pemilik kapal agar diperbolehkan ikut serta bersama lain-lain penumpang. Kapal segera melepaskan sauhnya dan meluncur dengan lajunya ke tengah laut yang tenang. Ketenangan laut itu tidak dapat bertahan lama, kerana dengan tidak semena-mena kapal itu bergoncang kuat akibat dari gelombang besar yang datang mendadak diikuti oleh tiupan angin taufan yang kencang, sehingga menjadikan juru mudi kapal berserta seluruh penumpangnya berada dalan keadaan panik ketakutan melihat keadaan kapal yang sudah tidak dapat dikuasai keseimbangannya.
Para penumpang dan juru mudi melihat tidak ada jalan untuk menyelamatkan keadaan jika keadaan cuaca tetap mengganas dan tidak mereda, kecuali dengan jalan meringankan beban berat muatan dengan mengorbankan salah seorang daripada para penumpang. Undian lalu dilaksanakan untuk menentukan siapakah di antara penumpang yang harus dikorbankan. Pada tarik pertama keluarlah nama Yunus, seorang penumpang yang mereka paling hormati dan cintai, sehingga mereka semua merasa berat untuk melemparkannya ke laut untuk menjadi mangsa ikan.
Kemudian diadakanlah undian bagi kali kedua dengan masing-masing penumpang mengharapkan jangan sampai keluar lagi nama Yunus yang mereka sayangi itu, namun melesetlah harapan mereka dan keluarlah nama Yunus kembali pada undian yang kedua itu. Demikianlah bagi undian bagi kali yang ketiganya yang disepakati sebagai yang terakhir dan yang menentukan nama Yunus juga yang muncul yang harus dikorbankan untuk menyelamatkan kapal dan para penumpang yang lain. Nabi Yunus yang memperhatikan sewaktu undian dibuat merasa bahawa keputusan undian itu adalah kehendak Allah yang tidak dapat ditolaknya yang mungkin didalamnya terselit hikmah yang ia belum dapat menyelaminya. Beliau sedar bahawa pada saat itu beliau telah melakukan dosa dengan meninggalkan Kota Nineveh sebelum memperoleh perkenan dari Allah, sehingga mungkin keputusan undian itu adalah sebagai penebusan dosa yang beliau lakukan itu.
Kemudian beliau beristikharah sejenak dan tanpa ragu segera melemparkan dirinya ke laut yang segera diterima oleh lipatan gelombang yang sedang mengamuk dengan dahsyatnya di bawah langit yang kelam-pekat. Ketika berada di dalam air, dengan tidak semena-mena atas kehendak Allah, datang seekor ikan Nun lalu terus menelan Nabi Yunus. Beliau yang berada di dalam perut ikan Nun yang membawanya memecah gelombang timbul dan tenggelam ke dasar laut merasa sesak dada dan bersedih hati lalu memohon ampun kepada Allah atas dosa dan tindakan yang salah yang dilakukannya. Beliau berseru didalam kegelapan perut ikan paus itu: "Ya Tuhanku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau, Maha sucilah Engkau dan sesungguhnya aku telah berdosa dan menjadi salah seorang dari mereka yang zalim."
Setelah selesai menjalani hukuman Allah, selama beberapa waktu yang telah ditentukan, ikan Nun pun meluahkan Nabi Yunus di daratan. Beliau terlempar dari mulut ikan ke pantai dalam keadaan kurus lemah dan sakit. Akan tetapi Allah dengan rahmat-Nya menumbuhkan di tempat beliau terdampar sebuah pohon labu yang dapat menaunginya dengan daun-daunnya dan menikmati buahnya. Nabi Yunus setelah sembuh dan menjadi segar kembali diperintahkan oleh Allah agar pergi kembali mengunjungi Kota Nineveh di mana seratus ribu lebih penduduknya mengharapkan kedatangannya untuk memimpin mereka dan memberi tuntunan lebih lanjut untuk menyempurnakan iman dan aqidah mereka.
Dan alangkah terkejutnya Nabi Yunus ketika beliau memasuki Kota Nineveh, beliau tidak melihat satu pun patung berhala berdiri. Sebaliknya ia menemui orang-orang yang dahulunya berkeras kepala menentangnya dan menolak ajarannya dan kini sudah menjadi orang-orang mukmin, soleh dan beribadah memuja-muji Allah s.w.t.
Dengan penuh kerahmatan dan keharmonian dalam mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa, penduduk Kota Nineveh hidup dalam aman dan sentosa. Begitu juga Nabi Yunus meneruskan seruan demi seruannya di dalam kelompok tersebut hinggalah beliau wafat dan dimakamkan di sana.
Cerita tentang Nabi Yunus di atas ada dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Yunus ayat 98, surah Al-Anbiaa' ayat 87, 88 dan surah Ash-Shaffaat ayat 139 sehingga ayat 148.
#MAMR
SIRI PARA ANBIYA': NABI YUNUS Nabi Yunus merupakan seorang Nabi dan Rasul yang dilantik oleh Allah untuk kaum Bani Israil dan kaum Assyria. Beliau merupakan anak kepada MATTA dan berasal dari...
www.facebook.com