TAHUN baru 2014 masuk hari kedua. Namun begitu masih belum terlewat buat Turbo mengimbas kembali dunia automotif 2013 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.
Dalam tempoh 12 bulan lalu industri automotif berhasil mempertahankan tahun emasnya. Puluhan unit kenderaan dilancarkan tahun lalu ke dunia automotif negara. Akan saya senaraikan kemudian di akhir artikel.
Seperti kita semua maklum, 2013 adalah tahun penting buat rakyat Malaysia di mana berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Di sini kita bukan sahaja menentukan siapa yang bakal memimpin negara bahkan ia juga memberi kesan kepada dasar automotif negara.
Ketika berlangsung PRU13 sekitar Mei lalu, rata-rata pihak pengeluar yang ditanya mengakui angka jualan kenderaan mereka sedikit menurun kerana perkhabaran harga jualan kereta akan menjadi lebih murah. Sedikit kecewa bagi pihak rakyat, khabar itu ibarat angin lalu.
Oleh kerana adalah mustahil untuk kerajaan melaksanakannya. Entah bila agaknya kita mampu memiliki kenderaan pada harga yang jauh lebih murah tanpa perlu menanggung hutang sehingga sembilan tahun.
Teknologi terkebelakang
Lebih mengecewakan pembeli menerima teknologi terkebelakang yang kurang berbaloi dengan nilai kenderaan yang dibayar. Adakah kerana rakyat kita tidak cukup terdidik?. Tidak perlu melihat jauh. Lihat sahaja pada negara serumpun seperti Thailand dan Indonesia.
Sudah terang lagi bersuluh, secara visualnya dua negara jiran berkenaan jauh meninggalkan Malaysia bukan sahaja dari segi ketibaan model baharu bahkan juga pasaran automotif di sana lebih maju (ketepikan alasan tentang pasaran mereka lebih besar).
Dalam melontarkan pandangan, ada kalanya sifat vokal diperlukan. Sampai bila pengguna di Malaysia perlu menerima ciri-ciri teknologi terkebelakang sedangkan mereka membayar lebih.
Kadang kala kekuatan kelas jumbo itu lebih menangguk manfaat atas dasar keuntungan (sumbangan keadaan ini juga mungkin salah satunya kerana dasar automotif negara). Adakah begitu sukar pelaku pasaran automotif ini untuk berkongsi portfolio teknologi mereka sama rata.
Sebagai contoh masih relevankah kenderaan versi 2014 yang dibawa masuk ke Malaysia didatangkan dengan dua beg udara sebagai standard.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Industri Automotif Malaysia, Madani Sahari, dua beg udara bukan satu isu kerana ia hanya satu ciri penambahan kepada seluruh sistem keselamatan.
Namun begitu, beliau mengharapkan lebih banyak kenderaan didatangkan dengan beg udara tirai (seperti Suprima) pada model 2014 nanti.
Ujarnya ciri keselamatan terpenting yang paling dititikberatkan kepada setiap model adalah zon remuk.
“Ini adalah penting kerana ciri keselamatan berkenaan dibangunkan untuk menyerap momentum perlanggaran pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan bagi melindungi penghuni daripada kecederaan.
“Ia mengorbankan bahagian luaran kenderaan sementara memperkukuhkan dan meningkatkan kekuatan pada bahagian dalam kenderaan dengan menggunakan bahan keluli tinggi,” katanya menambah beg udara hanyalah
untuk menahan hentakan.
Sebuah kenderaan yang selamat harus mampu melindungi penggunanya dari perlanggaran dengan kereta lain atau benda keras yang dilanggar.
Jelasnya pada Dasar Automotif 2014 ini kerajaan lebih ke arah memperkasakan daya saing industri automotif dan juga memperkasakan bidang keselamatan, keselesaan dan alam sekitar.
Justeru itu, penekanan ditumpukan kepada kenderaan yang menawarkan emisi rendah dan kecekapan bahan bakar.
Berdasarkan kenyataan di atas dan juga senarai model terlaris 2013 di Malaysia nampaknya kurang seiring.
Perhatikan senarai kereta terlaris pada jadual yang disediakan. Ternyata kenderaan berkenaan tidak menepati piawaian keselamatan UNECE Regulation. Tetapi ia masih menjadi pilihan rakyat Malaysia. Kenapa?
Keadaan akan berubah sulit jika kita hanya mementingkan keselamatan, namun bajet untuk membeli kereta baharu terbatas. Apa lagi, fakta membuktikan bahawa jumlah wang yang besar diperlukan untuk membeli kereta yang
sejalan dengan jumlah ciri keselamatan yang ditawarkan. Maka tidak hairan jika majoriti kenderaan di bawah RM60K, tidak dilengkapi ciri keselamatan standard, baik aktif mahupun pasif. Ironis memang, tapi itulah kondisi
sebenarnya di Malaysia.
Apatah lagi sebaliknya bagi mereka yang membayar lebih tetapi sayangnya hanya dilengkapi dengan dua beg udara. Sedangkan model lain dalam segmen yang sama jauh lebih bermurah hati menawarkan lebih daripada itu.
Jika Altis versi 2014 menawarkan sebaris ciri keselamatan ini:- dua beg udara, VSC, TRC, ABS, Zon Remok. Cuma dibandingkan dengan dua model dalam segmen yang sama ini. Apa yang anda peroleh tanpa perlu membayar lebih.
Ford Focus: 6 beg udara, ESP, TCS, ABS, EBD, EBA, HLA, Active City Stop bahkan model C-segmen ini juga boleh memakir sisi dengan hanya menggunakan komputer.
Kia Cerato: 6 beg udara, ESC, ABS, EBD, BAS, TCS, HAC, DBC dan ESS. Dijual dengan perbezaan harga dengan Altis sekitar RM19K lebih murah.
Apakah rakyat kita begitu setia kepada sesuatu jenama sehingga menghiraukan jenama yang lain. Secara peribadi, rakyat Malaysia belum cukup pintar dalam menilai spesifikasi kereta sekali gus seolah-olah tidak memaksa pengeluar meningkatkan persaingan di tahap tertinggi. Jadi kita banyak tertinggal dalam menikmati teknologi.
Malah kita masih lagi bergantung kepada konsep pelanggan setia dan memikirkan nilai jualan semula dalam membeli kereta. Jikalau tersalah membeli kereta yang rendah nilai jualan belinya maka terpaksalah bertahan sehingga sembilan tahun kerana tidak menguntungkan ditambah pula terpaksa membayar wang tambahan kepada pihak bank.
Cuma satu perkara yang saya puji tentang percaturan Kia dan Hyundai di mana setiap model jenteranya diproduksi secara global. Dengan demikian, secara automatik ciri keselamatan pada model keluarannya adalah seragam bagi setiap negara.
Daripada segi teknologi dan ciri keselamatan yang ditawarkan, Kia sentiasa mendahului segmennya dengan tawaran ciri keselamatan globalnya.
Sebagai contoh bagi model segmen-A, Kia Picanto bukan sahaja di lengkapi dengan enam beg udara, tetapi juga empat brek disk, ESC, HSC da VSM. Cuba anda bandingkan dengan model segmen A keluaran tempatan. Apa yang anda peroleh? Tidak perlu saya nyatakan di sini. Ibarat kata seorang rakan, ‘seperti membandingkan sebuah beca dan kereta’.
Justeru itu, diharapkan pihak pengeluar lain juga mengambil inisiatif yang sama pada produk mereka. Terutamanya pada segmen kereta penumpang kerana segmen ini lebih memonopoli pasaran negara.
Menurut Madani, tahun lalu segmen berkenaan adalah paling laris dalam pasaran Malaysia.
“Tahun ini juga segmen kereta penumpang dijangka akan kekal menjadi pilihan rakyat Malaysia.
“Selain itu model pasaran model SUV dilihat semakin berkembang. Peningkatan jualan model hampir 200 peratus bagi model CRV dan CX-5 pada 2012 dan 2013 cukup memberangsangkan,” katanya.
Berdasarkan rekod dari MAI sehingga November lalu, model kompak Perodua Myvi merupakan model terlaris 2013 dengan rekod jualan sebanyak 88,700 unit. Ia diikuti Proton Saga (63,500 unit), Perodua Viva (45,900 unit), Perodua Alza (43,200 unit), Toyota Vios dan Proton Exora.
Sementara itu, kita imbas kembali model-model yang telah tiba ke pelabuhan Malaysia seputar 2013 antaranya Volkswagen Golf GTI dan TSI. Volkswagen Polo Sedan CKD, Suzuki Swift Sport dan Jimny, Mitsubishi Attrage, Ford Fiesta, Audi A6 hibrid, Kia Picanto dan Rio, Honda Accord dan Jazz CKD, Toyota Vios, Lexus IS dan ES, Peugeot 208 GTI, BMW 4 Series, Nissan Leaf, Nissan Grand Livina, Nissan Serena Hibrid, Mazda Biante, Hyundai i40 dan lain-lain. Bahkan penghujung 2013 juga tidak sepi berbanding tahun sebelumnya di mana pihak pengeluar turut mengambil peluang hujung tahun memperkenalkan produk baharu mereka.
KERETA TERLARIS 2013 (DATA SEHINGGA NOV)
1) PERODUA MYVI
2) PROTON SAGA
3) PERODUA VIVA
4) PERODUA ALZA
5) TOYOTA VIOS
6) PROTON EXORA
7) PROTON PREVE
8) PROTON PERSONA
9) HONDA CITY
10) HONDA CIVIC
11) HONDA CRV
http://www.sinarharian.com.my/myvi-model-terlaris-2013-1.236520
Masing-masing ada selera masing-masing
